UTM anjur bengkel STEM, beri pendedahan awal teknologi Arduino kepada murid sekolah rendah

SDGSDG4SDG8SDG9SDG10SDG16

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengadakan bengkel STEM bagi memberi pendedahan awal kepada murid Sekolah Kebangsaan Kalumpang tentang teknologi Arduino. Bengkel ini diketuai oleh Dr. Yusnaidi Md. Yusof dan melibatkan 20 orang murid yang belajar tentang asas teknologi Arduino melalui pendekatan pembelajaran amali yang interaktif. Program ini bertujuan meningkatkan kefahaman murid tentang konsep STEM dan membina keyakinan diri, kemahiran berfikir secara kritis, kreativiti dan kerjasama berpasukan.

KALUMPANG, 10 Jun – Seramai 20 orang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kalumpang telah menyertai Bengkel Pemindahan Ilmu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) berasaskan Aplikasi Pintar menggunakan Arduino, anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama pihak sekolah.

Program ini dilaksanakan bagi memberi pendedahan awal kepada murid mengenai asas teknologi Arduino melalui pendekatan pembelajaran amali yang interaktif, menyeronokkan dan mudah difahami.

Bengkel ini diketuai oleh Dr. Yusnaidi Md. Yusof dari Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), selaku ketua fasilitator program. Sepanjang sesi berlangsung, para peserta didedahkan kepada pengetahuan asas berkaitan komponen elektronik, fungsi papan Arduino serta aplikasi teknologi pintar dalam menghasilkan sistem mudah.

Aktiviti secara amali yang dijalankan membolehkan murid belajar sambil mencuba, sekali gus meningkatkan kefahaman mereka terhadap konsep STEM dalam suasana yang lebih dekat dengan dunia sebenar.

Penganjuran bengkel ini turut mendapat sokongan padu daripada pihak sekolah yang diwakili oleh Guru Besar, Nursanty Hassan Berseri, serta guru lain, termasuk Damitsah Aluwi, Farayusnida Khairuddin dan Haffiz Razali. Kerjasama erat antara UTM dan warga SK Kalumpang ini memastikan kelancaran program serta memberi ruang kepada murid untuk mengikuti aktiviti dengan lebih berkesan dan teratur.

Reka Edukit V1.2 yang digunakan dalam bengkel ini

Sehubungan itu, program ini merupakan sebahagian daripada projek Program Pemindahan Ilmu-Geran Teknologi Penyelidikan (KTP-RIG) bertajuk “Digital Rakyat di Mukim Sungai Gumut: Merentas Generasi melalui Media Digital Kreatif”.

Bengkel di SK Kalumpang ini juga merupakan program pertama daripada empat program yang akan dilaksanakan di kawasan Sungai Gumut dan Kalumpang dalam beberapa bulan akan datang, sebagai usaha berterusan memperkasa komuniti setempat melalui pemindahan ilmu dan pendedahan teknologi digital.

Dari sudut manfaat pula, program ini bukan sahaja memperkukuh pengetahuan asas STEM, malah turut membantu membina keyakinan diri, kemahiran berfikir secara kritis, kreativiti dan kerjasama berpasukan dalam kalangan murid. Pendekatan sebegini dilihat mampu menyuntik motivasi baharu kepada mereka untuk lebih berminat menceburi bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik pada masa hadapan.

Cikgu sekolah yang membantu dalam membimbing pelajar semasa bengkel berlangsung

Selain itu, inisiatif seperti ini juga penting dari perspektif kelestarian kerana ia menyokong usaha pemindahan ilmu secara berterusan antara institusi pengajian tinggi dengan masyarakat. Pendedahan awal kepada teknologi pintar dapat membantu merapatkan jurang digital, membentuk minat terhadap pembelajaran berasaskan inovasi, dan seterusnya melahirkan generasi muda yang lebih bersedia menghadapi cabaran era digital.

Secara keseluruhannya, bengkel ini berjaya memberi impak positif kepada murid-murid SK Kalumpang menerusi pengalaman pembelajaran yang bermakna dan berorientasikan masa depan. Program seumpama ini wajar diteruskan sebagai platform untuk memperkukuh hubungan antara universiti dengan sekolah, di samping menyemarakkan budaya ilmu, inovasi dan kecemerlangan pendidikan STEM.

 

Oleh Dr. Yusnaidi Md Yusof dan Dr. Sya Azmeela Shariff 

Explore More

UTM Open Day