📝 Ringkasan
Tapak Parkir Tasik Ilmu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi lokasi penganjuran Uniform Bodies Convention 2026 (UNICON ’26) yang berlangsung selama tiga hari. Program ini menghimpunkan pelbagai badan beruniform, mahasiswa, alumni serta rakan kolaborasi dalam usaha memperkukuh nilai kepimpinan, disiplin dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan peserta. Acara-acara yang diadakan termasuk Sesi Perkongsian Alumni, Ceramah Kesedaran Jenayah Penipuan, National Uniform Parade, PALAPACE Night Run dan aktiviti lainnya.
JOHOR BAHRU, 12 Jun – Tapak Parkir Tasik Ilmu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi lokasi penganjuran Uniform Bodies Convention 2026 (UNICON ’26) yang berlangsung selama tiga hari bermula 12 hingga 14 Jun 2026. Program ini menghimpunkan pelbagai badan beruniform, mahasiswa, alumni serta rakan kolaborasi dalam usaha memperkukuh nilai kepimpinan, disiplin dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan peserta.
Penganjuran UNICON ’26 bermula dengan pengisian UNICON Street Vendor (USV) yang mewujudkan suasana meriah serta menjadi tarikan kepada pengunjung kampus dan komuniti setempat. USV turut membuka peluang kepada usahawan mahasiswa mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka, sekali gus menyokong agenda pembangunan keusahawanan dalam kalangan pelajar.
Sambutan yang menggalakkan daripada warga universiti dan komuniti setempat berjaya menyemarakkan lagi suasana sepanjang program berlangsung. Program diteruskan dengan Sesi Perkongsian Alumni yang menampilkan perkongsian pengalaman daripada alumni badan beruniform yang menekankan nilai kepimpinan, pembangunan sahsiah serta kepentingan penglibatan kokurikulum dalam pembentukan kerjaya graduan.

Selain itu, peserta turut didedahkan dengan Ceramah Kesedaran Jenayah Penipuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil yang memberi pendedahan mengenai ancaman penipuan kewangan dan keselamatan digital. Para peserta turut diberikan panduan mengenal pasti taktik penipuan yang sering berlaku serta langkah pencegahan yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian. Pengisian ini berjaya meningkatkan kesedaran peserta terhadap isu keselamatan semasa.
Majlis perasmian UNICON ’26 disempurnakan dengan kehadiran tetamu kehormat serta rakan kolaborasi antarabangsa dari Indonesia. Gimik perasmian “Rise of ROTU” menjadi simbol kebangkitan dan semangat badan beruniform, di samping mengukuhkan jaringan kerjasama strategik antara institusi serantau. Kehadiran delegasi antarabangsa turut memperlihatkan komitmen UTM dalam memperluaskan jaringan kerjasama rentas sempadan melalui aktiviti kokurikulum dan pembangunan kepimpinan mahasiswa.

Hari kedua diteruskan dengan National Uniform Parade yang menghimpunkan pelbagai badan beruniform termasuk Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS), Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (SISPA), Kelana Siswa serta Resimen Mahasiswa (MENWA) Indonesia. Program ini menyerlahkan disiplin, ketahanan dan semangat berpasukan. Demonstrasi MENWA Command serta SISPA: Duty In Motion turut memberi pendedahan kepada pengunjung mengenai kemahiran ketenteraan dan pengurusan kecemasan.

Pada sebelah malam, PALAPACE Night Run menjadi acara kemuncak yang menggalakkan gaya hidup sihat dan semangat kesukanan dalam kalangan peserta. Penyertaan yang memberangsangkan daripada mahasiswa, alumni serta komuniti sekitar membuktikan sokongan berterusan terhadap penganjuran aktiviti yang menggabungkan elemen kecergasan, perpaduan dan kesejahteraan.

Hari terakhir pula menampilkan pengisian interaktif seperti Seloca: Sembang Loreng Kadet, demonstrasi PALAPES Laut serta aktiviti Kelana Siswa yang menekankan komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan. Program turut diserikan dengan kunjungan Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, yang menyantuni peserta serta merasmikan majlis penutupan program. Acara diteruskan dengan senamrobik dan Cabutan Bertuah UNICON ’26 yang menutup tirai program dalam suasana meriah dan penuh keterujaan.

Secara keseluruhannya, UNICON ’26 berjaya mencapai objektif dalam memperkukuh pembangunan sahsiah, kepimpinan serta jaringan kerjasama antara badan beruniform di peringkat nasional dan antarabangsa. Program ini turut menjadi platform penting dalam melahirkan mahasiswa holistik yang berdaya saing, berdisiplin dan berjiwa sukarelawan, selaras dengan aspirasi universiti.