Semangat Hijrah 1448H, pemangkin perubahan diri mahasiswa ke arah kualiti cemerlang

SDGSDG4SDG8

📝 Ringkasan

Semangat Hijrah 1448H menyeru mahasiswa untuk melakukan transformasi diri secara holistik dengan meninggalkan budaya negatif seperti sikap bertangguh dan kebergantungan melampau kepada rakan sebaya serta teknologi kecerdasan buatan (AI). Perubahan ini merangkumi peningkatan kualiti akademik dan sahsiah melalui perancangan rapi, pemikiran kritis, serta pengukuhan motivasi berteraskan agama dan bimbingan keluarga demi membina masa depan yang cemerlang.

Tahun Baru 1448 Hijrah menandakan bermulanya detik yang penting dalam kalangan umat manusia, khususnya umat Islam. Ia bukan sahaja peristiwa untuk mengenang penghijrahan umat Islam yang diketuai oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW dari Kota Mekah ke Kota Madinah pada tahun 622 Masihi, tetapi lebih daripada itu. Jika dihayati dengan lebih mendalam, penghijrahan ini adalah lambang transformasi diri, pengorbanan dan ketabahan dalam menegakkan syiar Islam.

Oleh yang demikian, penghayatan terhadap peristiwa agung ini perlu difahami dengan mendalam oleh anak-anak muda hari ini, khususnya pelapis bangsa yang dianggap terpelajar, iaitu mahasiswa.

Mengambil kira semangat hijrah yang ditonjolkan oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat, mahasiswa perlu memandang tinggi semangat hijrah tersebut dengan terlibat secara signifikan dan berprinsip ke arah perubahan diri yang lebih baik dan berkualiti. Perubahan ini amat penting kerana merekalah yang bakal mewarisi kepimpinan hari ini dan membina tamadun yang lebih cemerlang pada masa hadapan.

Justeru, tahun baharu ini wajar dijadikan titik tolak bagi setiap pelajar untuk melakukan perubahan diri secara holistik, merangkumi aspek kecemerlangan akademik dan juga sahsiah diri yang baik untuk membina kualiti hidup yang lebih cemerlang demi masa hadapan yang gemilang.

Antara budaya negatif yang sering diamalkan oleh pelajar universiti adalah sikap suka bertangguh. Budaya ini boleh membawa kepada pelbagai masalah seperti kerja tidak sempurna dan kualiti tugasan yang rendah. Lebih teruk lagi, budaya ini akan menyebabkan tekanan melampau akibat cuba menyiapkan tugasan secara saat akhir.

Oleh yang demikian, berlandaskan semangat hijrah yang tinggi oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat, pelajar perlu mengambil iktibar daripada perancangan rapi yang dibuat untuk mengelakkan sebarang masalah pada masa hadapan.

Bak kata pepatah Melayu, “sediakan payung sebelum hujan”. Hasil daripada persediaan awal dan perancangan yang rapi mampu membantu pelajar sendiri untuk menyemak semula hasil kerja dan seterusnya melakukan sebarang pembetulan yang sewajarnya sebelum menghantarnya kepada pensyarah atau dibentangkan di dalam kelas.

Justeru, persediaan awal dan perancangan yang teliti adalah punca kejayaan. Sebaliknya, pelajar yang gemar bertangguh bukan sahaja akan merugikan diri sendiri, malah boleh menjejaskan prestasi keseluruhan kumpulan. Sikap proaktif ini mencerminkan semangat hijrah yang sebenar, iaitu meninggalkan kebiasaan lama yang buruk kepada amalan baharu yang lebih berdisiplin dan bertanggungjawab.

Selain daripada tidak mengamalkan sikap bertangguh, adalah penting bagi pelajar yang ingin berhijrah ke arah kualiti yang lebih baik agar tidak terlalu bergantung kepada pengaruh rakan sebaya. Ramai yang merasakan bahawa mereka perlu mengikut trend terkini atau menunggu rakan-rakan sebelum memulakan sesuatu usaha, terutamanya dalam menyiapkan tugasan atau melibatkan diri dalam aktiviti akademik yang lain. Hakikat yang perlu disedari pelajar adalah kejayaan tidak pernah datang kepada mereka yang hanya menunggu orang lain.

Setiap pelajar harus memahami bahawa laluan ke puncak kejayaan adalah unik bagi setiap individu. Pelajar tidak perlu risau atau berasa tersisih sekiranya mereka melakukan perkara yang betul seperti fokus terhadap matlamat akademik berbanding aktiviti sosial yang membawa mudarat. Pepatah Melayu ada menyebut, “biar lambat asalkan selamat”. Namun dalam konteks ini, adalah lebih tepat kita katakan “biar sendiri asalkan berkesan”.

Pelajar perlu sedar bahawa akan tiba masanya nanti rakan-rakan yang kita ikuti itu akan sibuk dengan kehidupan peribadi masing-masing dan akan meninggalkan kita. Perlu disedari bahawa pertemuan di universiti hanyalah persinggahan sementara untuk menuntut ilmu sebaik mungkin, manakala masa hadapan adalah milik kita sendiri.

Oleh yang demikian, jangan sesekali membiarkan ketakutan untuk disisih menghalang kita daripada mencapai potensi diri yang sebenar. Pelajar perlu belajar untuk berdikari, membuat keputusan sendiri dan menjadikan keunikan diri sebagai kekuatan, bukan kelemahan.

Selain daripada itu, pelajar boleh meningkatkan penghijrahan diri ke arah kualiti yang lebih baik melalui motivasi daripada bimbingan agama dan ibu bapa serta nasihat daripada mereka yang lebih pakar. Mereka perlu sedar bahawa pelajar yang mudah terikut perkara-perkara negatif sepanjang pengajian amatlah merugikan diri mereka sendiri.

Oleh itu, motivasi adalah bahan bakar utama dalam perjalanan menuntut ilmu. Namun begitu, motivasi luaran sahaja tidak memadai tanpa adanya dorongan dalaman yang kukuh. Pelajar perlu menjadikan agama sebagai panduan hidup yang penting tatkala menepis pengaruh negatif kerana ia amat berkesan untuk mengelakkan pelajar terjebak dengan sesuatu yang merugikan diri mereka sendiri.

Pada masa yang sama, mereka perlu mengenang kepayahan dan pengorbanan ibu bapa dalam menanggung pengajian mereka sebagai satu suntikan semangat yang vital. Hal ini kerana sudah tentu ibu bapa berpenat lelah membanting tulang bekerja keras siang dan malam untuk melihat anak-anak mereka berjaya dalam pengajian. Seterusnya, motivasi juga boleh diperoleh pelajar melalui peranan Penasihat Akademik atau pensyarah.

Penasihat Akademik atau pensyarah dilihat sebagai “ibu bapa kedua” mereka di institusi pengajian dan mereka lebih dahulu berpengalaman di universiti. Dalam erti kata lain, mereka sudah tentu terlebih dahulu merasai pahit manis kehidupan, justeru nasihat dan bimbingan mereka tidak boleh diabaikan.

Pelajar tidak perlu malu atau segan untuk bertemu dan berbincang mengenai masalah pembelajaran atau minat terhadap sesuatu, kerana pengalaman mereka adalah panduan terbaik untuk pelajar mengemudi bahtera kehidupan di universiti dan selepas bergelar graduan yang berkualiti.

Akhir sekali, untuk menjadi seorang pelajar yang berkualiti dalam penghijrahan ini, mereka perlu menggunakan kemampuan berfikir dan janganlah bergantung sepenuhnya kepada Kecerdasan Buatan (AI). Tidak dinafikan bahawa revolusi teknologi terkini seperti AI telah melahirkan alat bantu yang memudahkan urusan pembelajaran.

AI sangat membantu dari segenap segi termasuklah mencari maklumat, menyusun data bahkan menyunting tatabahasa. Namun begitu, pelajar perlu sedar bahawa AI hanyalah mesin yang membantu, bukannya pengganti kepada pemikiran yang kritis dan kreatif.

Ketaasuban kepada penggunaan AI untuk menyelesaikan tugasan adalah satu bentuk kemalasan intelektual yang boleh merosakkan kualiti pemikiran pelajar itu sendiri. Mengharapkan AI untuk berfikir memberi makna yang jelas, iaitu pelajar mengabaikan proses pembelajaran yang sebenar.

Sedangkan kebolehan berfikir secara mendalam adalah kemahiran yang paling berharga dalam membangunkan potensi diri. Kemahiran ini bukan sahaja dapat menajamkan minda, malah meningkatkan usaha dan dedikasi dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.

Apabila pelajar menggunakan akal fikiran sendiri, mereka dapat melatih diri menjadi penyelesai masalah yang berkesan, inovatif dan lebih berdaya saing dengan cara bertanya soalan yang bermakna serta mencabar idea-idea sedia ada untuk manfaat masyarakat sekeliling. Jelas sekali bahawa manifestasi sebenar hijrah akal lahir daripada kemerdekaan berfikir yang tuntas dan kritis, bukannya kebergantungan, serta memberi impak yang terbaik kepada pembangunan kendiri yang lebih berkualiti.

Kesimpulannya, Tahun Baru 1448 Hijrah membawa seribu satu makna yang perlu dihayati pelajar secara lebih holistik. Perubahan diri bukanlah sesuatu yang mustahil jika kita mempunyai azam yang jitu dan strategi yang sistematik. Dengan mengelakkan sikap suka bertangguh, tidak terlalu mengikut trend rakan-rakan yang lain, berusaha meningkatkan motivasi diri melalui agama, dorongan ibu bapa dan nasihat pensyarah berpengalaman, serta menggunakan kebolehan berfikir tanpa bergantung sepenuhnya kepada AI, setiap pelajar mampu meningkatkan kualiti diri yang lebih gemilang.

Semoga semangat dan inspirasi hijrah ini kekal terpahat dalam sanubari, membimbing kita menuju kejayaan. Ingatlah bahawa perubahan bermula daripada diri sendiri, dan masa hadapan adalah milik mereka yang berani berubah.

Explore More

UTM Open Day