Program STEM Eco-Print perkasa kreativiti, kelestarian dan pendidikan mampan di Sekolah Agama Tunjuk Laut

SDGSDG4SDG7SDG12SDG13SDG15SDG17

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui program STEM Eco-Print telah memperkasa kreativiti dan kesedaran kelestarian dalam kalangan murid Sekolah Agama Tunjuk Laut melalui teknik cetakan pigmen tumbuhan semula jadi pada fabrik. Program berasaskan pengalaman ini bukan sahaja mengintegrasikan elemen sains dan inovasi tekstil mesra alam, malah turut melibatkan penyelenggaraan sistem solar sekolah bagi menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

KOTA TINGGI, 16 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Pusat Kelestarian Kampus (UTMCCS) terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa pendidikan berteraskan kelestarian menerusi penganjuran Program STEM Eco-Print: Kesenian Alam @ Sekolah Agama Tunjuk Laut, Kota Tinggi.

Program yang menggabungkan elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan kreativiti seni berasaskan alam semula jadi itu disertai oleh 40 murid Tahap 2 bersama tiga orang guru, iaitu Guru Besar, Ustaz Zairullizam Ikhwan, Ustazah Haliza Salim dan Ustazah Ezlyn Nadhirah Jumaat. Delegasi UTM pula terdiri daripada enam orang staf UTMCCS yang diketuai oleh Pengarah Program, Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Sarip.

Menurut Dr. Shamsul, program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif pemindahan ilmu UTM kepada masyarakat melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (Experiential Learning) yang menghubungkan ilmu sains dengan pemuliharaan alam sekitar, kreativiti dan pembangunan lestari.

“Aktiviti utama program ialah Eco-Print, iaitu teknik menghasilkan corak semula jadi pada fabrik menggunakan daun, bunga dan tumbuhan tempatan tanpa penggunaan pewarna sintetik.

“Melalui aktiviti ini, murid didedahkan kepada cara pigmen semula jadi yang terdapat pada tumbuhan dipindahkan ke permukaan kain menggunakan teknik tekanan (hammering) dengan bantuan tukul getah,” katanya.

Murid Sekolah Agama Tunjuk Laut menghasilkan karya seni Eco-Print berasaskan daun dan bunga menggunakan teknik cetakan semula jadi pada fabrik

Sebelum aktiviti bermula, fasilitator UTM memberikan penerangan mengenai konsep asas Eco-Print, termasuk jenis tumbuhan yang sesuai digunakan, kandungan pigmen semula jadi dalam daun dan bunga, kepentingan biodiversiti tempatan serta prinsip kelestarian dalam menghasilkan produk mesra alam.

Sepanjang aktiviti berlangsung, para peserta kelihatan teruja memilih pelbagai spesies daun dan bunga yang mempunyai bentuk unik sebelum menyusunnya secara kreatif di atas beg kanvas.

“Melalui proses mengetuk menggunakan tukul getah, corak dan warna semula jadi berjaya dipindahkan ke permukaan fabrik, sekali gus menghasilkan karya seni yang unik dan tidak dapat diulang dengan corak yang sama,” tambah beliau.

Murid didedahkan kepada teknik pemindahan pigmen semula jadi daripada tumbuhan ke permukaan kain menggunakan kaedah hammering dengan bantuan tukul getah

Selain memupuk kreativiti, aktiviti tersebut turut memperkenalkan pelbagai konsep saintifik seperti struktur daun, pigmen tumbuhan, tekstur, kelembapan, tekanan mekanikal serta interaksi antara bahan organik dengan fabrik.

Mengulas lanjut, Dr. Shamsul berkata program berkenaan bukan sahaja memperkenalkan seni berasaskan alam semula jadi, malah menerapkan pendekatan pembelajaran STEM secara praktikal.

“Berbeza dengan pembelajaran konvensional di dalam bilik darjah, program ini menggunakan pendekatan ‘learning by doing’, iaitu murid bukan sahaja mempelajari teori, malah mengalami sendiri proses saintifik melalui aktiviti amali,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa aktiviti Eco-Print mengintegrasikan elemen STEM secara menyeluruh melalui pemahaman terhadap struktur tumbuhan, klorofil, pigmen semula jadi dan biodiversiti bagi komponen Sains; penggunaan teknik Eco-Print sebagai inovasi tekstil lestari bagi komponen Teknologi; aplikasi teknik pemindahan corak menggunakan tekanan dan susunan bahan bagi komponen Kejuruteraan; serta penghasilan corak yang seimbang, simetri dan estetik bagi komponen Matematik.

Pendekatan bersepadu ini membantu meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), kreativiti serta keupayaan menyelesaikan masalah dalam kalangan murid.

Selepas aktiviti Eco-Print selesai, pasukan UTMCCS meneruskan program dengan melaksanakan kerja penyelenggaraan sistem fotovoltaik solar (PV) yang telah dipasang di sekolah menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebelum ini.

Kerja-kerja penyelenggaraan melibatkan pemeriksaan visual terhadap sistem, pemantauan keadaan panel solar serta pembersihan ringan bagi memastikan sistem terus beroperasi dengan cekap dan mampu membekalkan tenaga elektrik secara optimum kepada sekolah.

Aktiviti tersebut turut memberi pendedahan kepada pihak sekolah mengenai kepentingan penyelenggaraan berkala bagi memastikan sistem tenaga boleh diperbaharui itu sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan mampu beroperasi secara berterusan.

Penganjuran Program STEM Eco-Print: Kesenian Alam ini mencerminkan komitmen berterusan UTM dalam memperkasa pendidikan STEM berteraskan kelestarian melalui pendekatan pembelajaran yang kreatif, interaktif dan berimpak. Inisiatif ini bukan sahaja menyemai minat murid terhadap sains dan alam sekitar sejak usia muda, malah menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab).

Explore More

UTM Open Day