Program Nanoventure UNAIR perkukuh jaringan akademik dan penyelidikan antara UTM dan Indonesia

SDGSDG4SDG17

📝 Ringkasan

Program Nanoventure Universiti Airlangga (UNAIR) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya memperkukuh jaringan akademik dan penyelidikan antara kedua-dua institusi. Program tersebut melibatkan 10 pelajar dan dua pensyarah UNAIR yang mengikuti lawatan ke UTM dari 8 hingga 12 Jun. Mereka berinteraksi dengan pensyarah dan penyelidik UTM, melawat Pusat Penyelidikan Bahan Nano Lestari dan Pusat Laser UTM, serta mengikuti kelas Kimia Bio-organik. Program ini juga termasuk lawatan kampus dan Malam Kebudayaan untuk mempererat hubungan persahabatan dan meningkatkan pemahaman antara Malaysia dan Indonesia.

JOHOR BAHRU, 10 Jun – Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan menerusi penganjuran Program Lawatan Inbound Pelajar Universitas Airlangga (UNAIR), Indonesia, yang berlangsung dari 8 hingga 12 Jun 2026. Program anjuran Fakulti Sains dengan kerjasama UTM International ini melibatkan penyertaan 10 orang pelajar dan dua orang pensyarah daripada Fakultas Teknologi Maju dan Multidisiplin (FTMM), UNAIR.

Program tersebut bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar antarabangsa mengenai sistem pengajaran dan pembelajaran di UTM, menggalakkan interaksi akademik dan pertukaran budaya, serta memperkukuh hubungan strategik antara UTM dan institusi pengajian tinggi di Indonesia.

Delegasi UNAIR disambut oleh pihak Fakulti Sains sebelum mengikuti sesi taklimat dan perbincangan bersama pengurusan fakulti. Sesi pembukaan disampaikan oleh wakil Fakulti Sains dan Institut Ibnu Sina untuk Penyelidikan dan Perindustrian (ISI-SIR), yang memperkenalkan ekosistem akademik, penyelidikan dan inovasi di UTM. Sepanjang lawatan, para peserta turut berpeluang berinteraksi secara langsung dengan pensyarah dan penyelidik UTM bagi memahami budaya penyelidikan yang diamalkan di universiti.

Antara pengisian utama program ialah lawatan ke Pusat Penyelidikan Bahan Nano Lestari (CSNano) di bawah ISI-SIR. Delegasi didedahkan kepada pelbagai aktiviti penyelidikan berkaitan nanoteknologi mampan, biomaterial dan aplikasi nanomaterial dalam bidang kesihatan serta alam sekitar. Sesi perkongsian ini turut membuka ruang perbincangan mengenai potensi kolaborasi penyelidikan dan mobiliti pelajar antara kedua-dua institusi.

Sesi perkongsian penyelidikan dan perbincangan akademik bersama penyelidik CSNano, ISI-SIR UTM

Selain itu, peserta turut mengadakan lawatan ke Pusat Laser UTM, di mana mereka diberi penerangan mengenai kemudahan penyelidikan berteknologi tinggi yang terdapat di universiti. Perbincangan bersama penyelidik pusat tersebut memberi gambaran tentang aplikasi teknologi laser dalam pelbagai bidang penyelidikan dan industri moden.

Delegasi UNAIR menerima penerangan mengenai kemudahan dan aplikasi teknologi laser semasa lawatan ke Pusat Laser UTM

Bagi memberi pengalaman pembelajaran sebenar di universiti, pelajar UNAIR turut mengikuti kelas Kimia Bio-organik yang dikendalikan oleh Prof. Madya Ts. ChM Dr. Nik Ahmad Nizam Nik Malek bersama pelajar Bioteknologi, Jabatan Biosains, Fakulti Sains. Pengalaman ini membolehkan mereka memahami pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang diamalkan di UTM serta berinteraksi secara langsung dengan pelajar tempatan dalam suasana akademik yang kondusif.

Program ini turut diserikan dengan lawatan kampus yang merangkumi beberapa lokasi di UTM seperti Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ), Bangunan C17 Fakulti Sains, Institut Ibnu Sina, Masjid Sultan Ismail dan Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim. Lawatan ini memberi peluang kepada peserta mengenali kemudahan akademik, penyelidikan dan kehidupan kampus yang ditawarkan oleh UTM.

Prof. Madya Ts. Dr. Muhammad Safwan Abd Aziz memperkenalkan ekosistem penyelidikan UTM kepada delegasi UNAIR semasa lawatan ke ISI-SIR

Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan budaya antara pelajar Malaysia dan Indonesia, delegasi UNAIR turut menyertai Malam Kebudayaan yang diadakan di Kolej Tun Hussein Onn (KTHO). Program tersebut menjadi platform untuk berkongsi budaya, mempererat hubungan persahabatan serta meningkatkan pemahaman antara dua negara serumpun.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen Fakulti Sains dalam memperluaskan jaringan akademik antarabangsa dan menyokong aspirasi UTM sebagai universiti penyelidikan bertaraf global. Melalui interaksi akademik, perkongsian penyelidikan dan pertukaran budaya yang berlangsung sepanjang program, lawatan ini dijangka menjadi asas kepada lebih banyak kerjasama strategik antara UTM dan UNAIR pada masa hadapan.

Delegasi UNAIR dan pelajar UTM bergambar sempena Program Inbound UNAIR-UTM sebagai tanda kerjasama akademik dan persahabatan antara Malaysia dan Indonesia

Explore More

UTM Open Day