Program Dreams Need Action MSNJ suntik minda juara atlet Johor menjelang SUKMA Selangor 2026

SDGSDG3SDG4SDG10

📝 Ringkasan

Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) menganjurkan Program Dreams Need Action (DNA) melibatkan lebih 500 atlet bagi memantapkan kekuatan mental dan psikologi sebagai persediaan menghadapi SUKMA serta Para SUKMA Selangor 2026. Program ini menekankan pembentukan minda juara menerusi teknik imageri dan pengurusan tekanan bagi memastikan atlet mampu mengekalkan prestasi optimum serta disiplin diri yang tinggi semasa bertanding.

JOHOR BAHRU, 23 Jun – Seramai lebih 500 atlet Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA Johor telah menyertai Program Dreams Need Action (DNA) yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) bertempat di Pusat Belia Tunku Mahkota Ismail (TMIYC), Iskandar Puteri, sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi temasya SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026. Pengarah MSNJ, Hasnul Atmam Othman, dan para pegawai MSNJ turut hadir menjayakan program ini.

Program DNA menampilkan penceramah jemputan, Dr. Muhamad Hafiz Ismail, Pensyarah Kanan Sains Sukan daripada Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang menyampaikan sesi motivasi bertajuk “The Champion’s Mindset” dan turut dibantu oleh pasukan psikologi MSNJ.

Sesi berkenaan memberi penekanan kepada pembentukan minda juara yang merupakan komponen penting bagi seseorang atlet untuk kekal fokus dengan matlamat yang telah ditetapkan. Selain itu, Dr. Hafiz turut memperkenalkan teknik imageri dan visualisasi sukan yang sesuai dan perlu dilakukan oleh atlet setiap hari sehingga SUKMA Selangor 2026.

Kekuatan mental dan disiplin diri dalam kalangan atlet juga diberi penekanan sebagai asas penting dalam merealisasikan impian dan mencapai kecemerlangan seperti yang diimpikan. Bukan mudah bagi para atlet untuk memberi tumpuan dan sentiasa mengekalkan prestasi dan persembahan dalam sesuatu pertandingan jika mereka tidak memiliki kekuatan mental yang mantap.

Justeru, komponen psikologi merupakan salah satu kemahiran yang perlu diajar dan dikuasai oleh para atlet agar mereka mampu mengurus tekanan, kebimbangan dan rasa gementar sebelum dan semasa pertandingan.

Dr. Muhamad Hafiz Ismail mengendalikan sesi pengenalan The Champion’s Mindset kepada atlet SUKMA dan Para SUKMA Johor sempena Program Dreams Need Action

Program ini merupakan antara inisiatif penting yang dilakukan oleh pihak MSNJ dalam usaha memastikan atlet SUKMA dan Para SUKMA Johor bukan sahaja bersedia dari aspek fizikal dan teknikal, malah memiliki kekuatan mental yang tinggi untuk menghadapi cabaran serta tekanan ketika beraksi di pentas pertandingan.

Atlet yang mempunyai kekuatan mental pada tahap optimum mampu meredakan tekanan yang dihadapi, malah turut mampu menenangkan serta memberi motivasi kepada rakan sepasukan. Perkara ini sangat penting dalam pertandingan berprestasi tinggi seperti SUKMA Selangor 2026 kerana hanya atlet yang mampu menguruskan tekanan dan kekal fokus akan lebih tenang serta mampu mempamerkan prestasi yang terbaik.

Atlet SUKMA dan Para SUKMA Johor didedahkan kepada teknik imageri dan visualisasi sukan sepanjang Program Dreams Need Action di TMIYC, Iskandar Puteri

Sepanjang sesi berlangsung, para atlet didedahkan dengan pelbagai aspek pembangunan kendiri, termasuk penetapan matlamat, pengurusan emosi, pembinaan keyakinan diri dan kepentingan sikap positif dalam usaha mencapai prestasi terbaik. Atlet turut didedahkan dengan kaedah yang betul dalam mengatasi tekanan semasa pertandingan agar mereka tidak mudah menyerah dan kembali bangkit walaupun dalam situasi yang sukar.

Program DNA dilihat sebagai platform yang mampu menyuntik semangat dan meningkatkan motivasi atlet dalam misi membawa nama Johor dengan cemerlang pada temasya SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026.

“Setiap kejayaan bermula dengan satu langkah dan impian. Teruskan bermimpi, terus berusaha dan terus bertindak kerana impian hanya menjadi nyata apabila kita berani menggerakkannya,” demikian antara mesej yang dikongsikan kepada para atlet sepanjang program tersebut.

Psikologi sukan merupakan satu kemahiran yang sangat penting kepada setiap atlet yang bertanding, kerana jika atlet hanya disiapkan dengan fizikal, teknikal dan taktikal sahaja tanpa mempedulikan faktor psikologi, kemungkinan besar mereka tidak mampu mengawal kebimbangan dan tekanan yang boleh memberi kesan negatif kepada prestasi.

Dr. Muhamad Hafiz Ismail (kanan) bersama Pengarah MSNJ, Hasnul Atmam Othman (kiri), sempena Program Dreams Need Action di TMIYC, Iskandar Puteri
Pegawai MSNJ, Natasha Eryna Mohd Nasir (kanan), menyampaikan cenderahati kepada Dr. Muhamad Hafiz Ismail sebagai tanda penghargaan atas penyampaian sesi motivasi The Champion’s Mindset

Dengan semangat juang yang tinggi dan persediaan yang menyeluruh, kontinjen Johor diharapkan mampu menampilkan prestasi cemerlang serta mengharumkan nama negeri Johor pada SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026. Sesungguhnya kejayaan akan hadir dengan usaha keras yang berterusan serta komitmen yang tinggi dalam kalangan atlet, jurulatih, pihak pengurusan dan semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung. Semoga SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026 menjadi medan perjuangan untuk semua atlet Johor mencipta nama dan kenangan terindah.

Explore More

UTM Open Day