Pelajar UTM dan penduduk Kampung Parit Gantong giat tanam anak pokok melalui KERAKED ’26 Fasa 2

SDGSDG2SDG13SDG15

📝 Ringkasan

Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan penduduk Kampung Parit Gantong melaksanakan Fasa 2 program Kembara Razak ke Desa 2026 (KERAKED ’26) dengan menanam anak pokok dan memeriksa baja kompos. Fasa ini merupakan kesinambungan daripada Fasa 1 yang menekankan penghasilan baja kompos menggunakan sisa organik. Pelajar UTM membimbing penduduk kampung dalam proses penanaman anak pokok dan pemeriksaan baja kompos. Melalui aktiviti ini, peserta didedahkan kepada tanda-tanda baja kompos berkualiti dan kepentingan baja kompos sebagai sumber nutrien semula jadi.

RENGIT, 7 Jun Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) Kolej Tun Razak (KTR), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama penduduk Kampung Parit Gantong meneruskan kesinambungan program Kembara Razak ke Desa 2026 (KERAKED ’26) melalui pelaksanaan Fasa 2 yang memberi tumpuan kepada penanaman anak pokok serta pemeriksaan baja kompos yang telah siap dihasilkan pada fasa sebelumnya.

Fasa kedua ini merupakan kesinambungan daripada Fasa 1 yang menekankan penghasilan baja kompos menggunakan sisa organik. Pada fasa ini, peserta terlebih dahulu membersihkan kawasan tapak aktiviti dan memeriksa baja kompos yang telah siap bagi memastikan ia sesuai digunakan untuk menyuburkan tanah sebelum proses penanaman dilakukan. Peserta turut didedahkan kepada teknik menggembur tanah bagi memastikan struktur tanah lebih longgar, membolehkan akar pokok menembusi dengan mudah serta meningkatkan kadar serapan air dan nutrien.

Para peserta membersihkan tapak aktiviti yang telah dibaja pada Fasa 1 sebelum memulakan aktiviti Fasa 2
Aktiviti menggembur tanah yang dilakukan oleh para peserta dan penduduk kampung dalam Fasa 2 KERAKED ’26

Pelajar UTM turut membimbing penduduk kampung dalam proses penanaman anak pokok. Setiap langkah dijelaskan dengan teliti, bermula daripada penyediaan lubang tanaman, cara meletakkan anak pokok hinggalah teknik penyiraman awal bagi melembabkan tanah. Penduduk kampung diberi peluang untuk mencuba sendiri kaedah tersebut, sekali gus memperoleh pengalaman praktikal yang boleh diaplikasikan dalam kebun masing-masing.

Selain penanaman, pemeriksaan baja kompos turut dijalankan. Baja yang telah siap diperiksa dari segi struktur, warna dan bau bagi memastikan ia benar-benar matang dan sesuai digunakan. Melalui aktiviti ini, peserta didedahkan kepada tanda-tanda baja kompos berkualiti seperti warna gelap menyerupai tanah, tekstur halus serta bau yang tidak menyengat. Pendedahan ini membantu komuniti memahami kepentingan baja kompos sebagai sumber nutrien semula jadi yang mampu menggantikan baja kimia.

Proses selepas menggembur tanah melibatkan pelajar UTM bersama peserta kampung
Proses penyediaan lubang tanaman yang melibatkan pelajar UTM dan penduduk kampung dalam Fasa 2 KERAKED ’26

Kerjasama erat antara mahasiswa UTM dan penduduk kampung sepanjang program berjaya mewujudkan suasana mesra dan semangat gotong-royong. Aktiviti menggembur tanah dan menanam anak pokok yang dilakukan secara bersama menjadikan tapak tanaman lebih terurus dan sistematik. Hubungan yang terjalin bukan sahaja memperkukuh ikatan sosial, malah memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan ilmu pertanian dalam konteks sebenar masyarakat luar bandar.

Secara keseluruhannya, Fasa 2 KERAKED ’26 berjaya memperkenalkan teknik penanaman anak pokok serta penjagaan tanah yang telah dibaja. Inisiatif ini bukan sahaja memastikan projek tanaman berkembang dengan baik, malah berpotensi meningkatkan produktiviti pertanian komuniti pada masa hadapan. Program ini turut memberi impak positif kepada komuniti setempat dengan menanam kesedaran tentang kepentingan baja organik dan amalan pertanian yang lebih mampan dan lestari.

Proses penanaman anak pokok melibatkan pelajar UTM bersama penduduk kampung

 

Oleh Nur Amarah Auni Mazlan

Explore More

UTM Open Day