Mahasiswa UTM perkenal Konsep Kacau Ganggu kepada murid SK Kangkar Pulai 2

SDGSDG4SDG16

📝 Ringkasan

Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengadakan program interaktif komuniti di Sekolah Kebangsaan Kangkar Pulai 2 untuk memperkenalkan konsep kacau ganggu kepada murid. Program ini bertujuan untuk memupuk sikap saling menghormati, menjaga kemudahan awam dan bertanggungjawab terhadap setiap tindakan dalam kehidupan seharian. Mahasiswa UTM telah merancang dan mengendalikan modul pembelajaran yang menghubungkan teori di bilik kuliah dengan situasi sebenar dalam kehidupan masyarakat. Program ini telah berjaya memperkenalkan konsep kacau ganggu kepada murid melalui pendekatan yang bersesuaian dengan tahap perkembangan mereka.

JOHOR BAHRU, 25 Jun – Ilmu yang dipelajari di bilik kuliah diterjemahkan ke dalam bentuk aktiviti komuniti apabila 88 mahasiswa Program Sarjana Muda Pengurusan Harta Tanah dengan Kepujian, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berkongsi pengetahuan mengenai konsep kacau ganggu dengan 60 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kangkar Pulai 2 menerusi Program Interaktif Komuniti Sekolah: Mengurus Gangguan dan Memupuk Tanggungjawab dalam Kalangan Murid.

Inisiatif yang dilaksanakan sebagai sebahagian daripada kursus berteraskan Pembelajaran Khidmat Masyarakat Malaysia-Universiti untuk Masyarakat (SULAM) ini menggabungkan pembelajaran akademik dengan khidmat kepada komuniti. Di bawah bimbingan Dr. Siti Radiaton Adawiyah Zakaria dan Dr. Zafirah Ab Muin, para mahasiswa merancang serta mengendalikan modul pembelajaran yang menghubungkan teori di bilik kuliah dengan situasi sebenar dalam kehidupan masyarakat.

Murid SK Kangkar Pulai 2 mendengar penerangan sebelum memulakan aktiviti interaktif

Bertemakan “Kacau Ganggu: Kenali, Elakkan, Hormati Semua”, program ini memperkenalkan konsep kacau ganggu melalui pendekatan yang kreatif, interaktif dan mudah difahami. Murid didedahkan kepada pelbagai situasi yang boleh menjejaskan hak, keselesaan dan kesejahteraan orang lain, sama ada di sekolah, di rumah mahupun dalam komuniti.

Mahasiswa UTM memberikan penerangan sambil menguji kefahaman murid mengenai konsep kacau ganggu

Sepanjang program, pelbagai aktiviti menarik dijalankan, termasuk penerangan menggunakan poster bergambar, aktiviti mengenal pasti situasi kacau ganggu, permainan pendidikan serta pembelajaran berasaskan stesen. Mahasiswa turut memperkenalkan modul Kenali Gangguan Digital dan Kawal Media Sosial menerusi teknik FOKUS, iaitu Fokus Senyap, Offline Sebentar, Kawal Masa, Utamakan Tugas dan Simpan Jauh.

Selain itu, murid turut didedahkan secara asas kepada konsep remedi sebagai panduan menyelesaikan konflik secara berhemah. Menerusi pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, murid bukan sahaja lebih mudah memahami konsep kacau ganggu, malah turut didorong untuk mengamalkan sikap saling menghormati, menjaga kemudahan awam dan bertanggungjawab terhadap setiap tindakan dalam kehidupan seharian.

Belajar sambil bermain melalui aktiviti silang kata

Menurut Dr. Siti Radiaton Adawiyah, program ini dirancang untuk memperkenalkan konsep kacau ganggu kepada murid melalui pendekatan yang bersesuaian dengan tahap perkembangan mereka.

“Kami mahu murid memahami bahawa kacau ganggu bukan sekadar mengganggu rakan, tetapi merangkumi apa-apa tingkah laku yang boleh menjejaskan hak, keselesaan dan kesejahteraan orang lain. Nilai saling menghormati, bertanggungjawab dan menjaga keharmonian perlu dipupuk sejak di bangku sekolah agar menjadi amalan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Permainan Imposter menjadikan pembelajaran tentang kacau ganggu lebih menyeronokkan

Sementara itu, Dr. Zafirah berkata pendekatan pembelajaran berasaskan komuniti memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di universiti dalam situasi sebenar.

“Konsep kacau ganggu merupakan antara topik yang dipelajari dalam kursus Undang-undang Kontrak, Ejensi dan Tort. Melalui inisiatif ini, mahasiswa belajar menterjemahkan konsep perundangan kepada bahasa yang lebih mudah difahami oleh murid sekolah. Pengalaman ini menunjukkan bahawa ilmu perundangan bukan sekadar teori di bilik kuliah, tetapi mampu dimanfaatkan untuk membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab, saling menghormati dan peka terhadap hak orang lain,” ujarnya.

Kejayaan program ini turut disokong oleh komitmen Guru Besar SK Kangkar Pulai 2, Yackob K. Pareeth, bersama barisan guru yang memberikan kerjasama erat sepanjang proses perancangan dan pelaksanaan program. Sokongan tersebut memastikan setiap aktiviti berjalan lancar serta mencapai objektif yang ditetapkan.

UTM dan SK Kangkar Pulai 2 berganding bahu menjayakan Program Interaktif Komuniti Sekolah

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga SK Kangkar Pulai 2 atas komitmen, sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang menjayakan program ini. Inisiatif ini menunjukkan bahawa pembelajaran yang dipadankan dengan penglibatan komuniti bukan sahaja memperkukuh pengalaman mahasiswa, malah turut menjadi medium pemindahan ilmu yang memberi manfaat kepada masyarakat. Diharapkan jalinan kerjasama antara UTM dan SK Kangkar Pulai 2 akan terus diperkukuhkan melalui lebih banyak inisiatif yang memberi impak positif kepada komuniti pada masa hadapan.

Oleh Dr. Zafirah Ab Muin dan Dr. Siti Radiaton Adawiyah Zakaria

Explore More

UTM Open Day