Mahasiswa UTM diperkasa literasi kewangan menerusi pengalaman pembelajaran bersama ASNB

SDGSDG4SDG8

📝 Ringkasan

100 mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru menyertai Program Pengalaman Pembelajaran di bawah Kursus Cerdik Kewangan. Program ini dianjurkan oleh pelajar Kursus Kokurikulum Cerdik Kewangan dengan kerjasama strategik Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai pengurusan aliran tunai, ancaman inflasi serta kepentingan memulakan amalan menyimpan dan melabur sejak usia muda.

JOHOR BAHRU, 13 Jun – Menyedari kepentingan literasi kewangan dalam kalangan generasi muda, seramai 100 mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru menyertai Program Pengalaman Pembelajaran di bawah Kursus Cerdik Kewangan, hari ini.

Program yang berlangsung selama empat jam itu dianjurkan oleh pelajar Kursus Kokurikulum Cerdik Kewangan di Bilik Seminar 2, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), UTM dengan kerjasama strategik Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Inisiatif akademik ini dirangka khusus bagi memberi pendedahan secara realistik kepada pelajar mengenai pengurusan aliran tunai, ancaman inflasi serta kepentingan memulakan amalan menyimpan dan melabur sejak usia muda. Pada masa sama, program ini turut menjadi platform yang menghubungkan teori yang dipelajari di bilik kuliah dengan amalan sebenar industri kewangan di Malaysia.

Penasihat Kewangan ASNB, Azizan Ali, menyampaikan slot pertama bertajuk Bijak Wang, Cerah Masa Depan yang memberi fokus kepada pengurusan kewangan dalam kalangan Generasi Z

Menerusi slot pertama bertajuk Bijak Wang, Cerah Masa Depan, Penasihat Kewangan ASNB, Azizan Ali berkongsi formula pengurusan kewangan peribadi serta panduan membuat persediaan pelaburan asas sebelum melangkah ke alam pekerjaan. Pelajar turut diperkenalkan dengan konsep gandaan faedah (compounding interest) yang berupaya menjana pulangan lebih tinggi dalam jangka panjang sekiranya pelaburan dimulakan lebih awal.

Bagi memberikan pengalaman pembelajaran secara praktikal, slot kedua diteruskan dengan simulasi pelaburan digital menggunakan aplikasi MyASNB. Melalui sesi ini, peserta didedahkan kepada kaedah mengurus portfolio pelaburan secara sistematik menerusi produk-produk ASNB yang selamat dan patuh Syariah seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Malaysia (ASM).

Peserta memanfaatkan kaunter bergerak ASNB untuk mengemas kini maklumat pelaburan masing-masing

Menurut Azizan, program seumpama ini amat bertepatan dengan aspirasi negara untuk melahirkan golongan muda yang celik dan bijak mengurus kewangan. Walaupun hadir daripada pelbagai latar belakang, setiap individu perlu memiliki literasi kewangan yang kukuh bagi menjamin kesejahteraan kehidupan pada masa hadapan.

“Pihak ASNB sentiasa menyokong usaha kolaborasi ini dan kita sentiasa berusaha mendekati komuniti pelajar sebagai persediaan awal sebelum mereka memasuki alam pekerjaan,” ujar beliau.

Peserta program, Nurlaila Izzati Rahiman, ketika ditemui melahirkan rasa teruja kerana program ini berjaya membuka perspektif baharu mengenai pengurusan kewangan, khususnya dalam pelaburan amanah saham.

“Saya dapat belajar cara melabur dengan betul. Yang paling memudahkan ialah pihak ASNB menyediakan kiosk bergerak untuk mengaktifkan akaun dan mengemas kini maklumat peribadi tanpa perlu ke mana-mana cawangan ASNB,” ujarnya yang merupakan pelajar Tahun 2 Program Sarjana Muda Pemasaran.

Program ini bukan sahaja tertumpu kepada perkongsian ilmu, malah turut dimeriahkan dengan kuiz interaktif menggunakan platform Kahoot bagi menguji tahap kefahaman peserta terhadap kandungan yang disampaikan. Suasana menjadi lebih meriah apabila para peserta bersaing memberikan jawapan yang tepat dan pantas untuk merebut hadiah yang disediakan.

Pengajar Kursus Cerdik Kewangan, Dzulhelmi Mohd Razali (kanan), menyampaikan cenderamata kepada Penasihat Kewangan ASNB, Azizan Ali, sebagai penghargaan atas perkongsian ilmu bersama peserta program

Kerjasama dinamik antara UTM dan ASNB ini diharapkan dapat diteruskan secara berkala pada masa hadapan dalam usaha melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki tahap literasi kewangan yang tinggi sebagai persediaan menghadapi cabaran kehidupan selepas menamatkan pengajian.

Explore More

UTM Open Day