📝 Ringkasan
Penggunaan lakaran tangan dan teknologi digital dalam pendidikan Diploma Seni Bina masih relevan. Lakaran tangan membantu pelajar meneroka idea secara bebas, kritis dan kreatif, manakala teknologi digital digunakan untuk memperhalusi reka bentuk dan menyampaikan cadangan secara lebih tepat. Keseimbangan antara kedua-dua kaedah ini perlu dipupuk untuk menghasilkan graduan seni bina yang memiliki daya fikir kreatif, kepekaan ruang, integriti akademik dan jati diri profesional yang kukuh.
Dalam era digital yang berkembang pesat, bidang seni bina mengalami perubahan besar dari segi kaedah menjana, mengolah dan mempersembahkan idea reka bentuk. Penggunaan perisian reka bentuk berbantukan komputer (CAD), pemodelan maklumat bangunan (BIM) serta perisian pemodelan tiga dimensi kini menjadi sebahagian daripada amalan biasa dalam pendidikan dan industri seni bina.
Teknologi ini menawarkan ketepatan, kecekapan dan visualisasi yang lebih meyakinkan. Namun, di sebalik kemajuan tersebut, timbul satu persoalan penting dalam pendidikan seni bina, khususnya di peringkat diploma, iaitu adakah lakaran tangan masih relevan dalam era yang semakin bergantung kepada tetikus, skrin dan perisian digital?
Walaupun teknologi digital memberikan pelbagai kelebihan, lakaran tangan tetap menjadi asas penting dalam pembentukan pemikiran reka bentuk. Dalam konteks seni bina, lakaran bukan sekadar aktiviti melukis di atas kertas, tetapi merupakan proses berfikir secara visual.
Melalui lakaran, pelajar dapat menterjemahkan pemerhatian, imaginasi dan idea awal dengan cepat serta spontan. Kajian terdahulu menegaskan bahawa lakaran merupakan elemen asas dalam pendidikan seni bina kerana ia membantu pelajar membangunkan idea dalam suasana studio reka bentuk. Hal ini menunjukkan bahawa lakaran tangan masih mempunyai peranan penting sebagai medium awal untuk memahami ruang, bentuk, fungsi dan konteks.
Selain itu, lakaran tangan juga berkait rapat dengan hubungan antara mata, minda dan tangan, yang menjelaskan bahawa proses melakar merupakan satu bentuk “pemikiran terwujud”. Aktiviti melakar bukan sahaja melibatkan penghasilan imej, tetapi turut menggabungkan persepsi, imaginasi dan refleksi.
Apabila pelajar melakar, mereka sebenarnya sedang menilai hubungan antara struktur, material, pengalaman ruang dan pergerakan pengguna. Proses ini membolehkan kefahaman seni bina berkembang secara lebih mendalam berbanding hanya melihat imej digital yang telah siap diproses.
Dalam fasa awal reka bentuk, lakaran tangan memainkan peranan yang sangat penting. Pada peringkat penjanaan idea, pelajar memerlukan kebebasan untuk mencuba pelbagai kemungkinan reka bentuk tanpa terlalu terikat kepada arahan teknikal perisian.
Kajian terdahulu menunjukkan bahawa lakaran manual mampu menghasilkan kuantiti idea yang lebih banyak berbanding lakaran digital, terutamanya pada peringkat awal reka bentuk. Hal ini kerana lakaran tangan membolehkan idea dilahirkan dengan pantas, kasar dan terbuka. Kesilapan dalam lakaran juga boleh menjadi sebahagian daripada proses penemuan idea baharu.
Sebaliknya, penggunaan perisian digital yang terlalu awal boleh menyebabkan pelajar terlalu menumpukan perhatian kepada kemasan visual dan ketepatan teknikal. Mereka mungkin sibuk memilih arahan, tetapan, tekstur atau gaya persembahan sebelum konsep reka bentuk benar-benar matang.
Keadaan ini boleh mengehadkan eksplorasi idea kerana pelajar mula berfikir mengikut kemampuan perisian, bukan berdasarkan kekuatan konsep. Terdapat sumber yang menjelaskan bahawa hubungan biologi antara mata, otak dan tangan dalam lakaran manual membantu meningkatkan pemahaman ruang serta memori visual pelajar. Oleh itu, lakaran tangan memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih langsung dan organik.
Namun begitu, cabaran sebenar di peringkat Diploma Seni Bina ialah wujudnya jurang antara pelajar yang mahir lakaran manual dengan pelajar yang lebih bergantung kepada media digital. Berdasarkan pemerhatian dalam sesi pengajaran studio, pelajar yang menguasai lakaran tangan lazimnya lebih cepat menjana idea dan lebih yakin menerangkan konsep reka bentuk.
Mereka mampu menghasilkan beberapa alternatif susun atur ruang, bentuk bangunan dan hubungan fungsi dalam tempoh yang singkat. Walau bagaimanapun, kelompok ini kadangkala memerlukan masa yang lebih panjang untuk menghasilkan produk akhir yang kemas, teknikal dan sesuai untuk penilaian formal.
Di pihak lain, pelajar yang mahir menggunakan perisian digital sering kali mampu menghasilkan persembahan visual yang menarik dalam masa yang singkat. Lukisan perspektif, rendering dan susun atur papan persembahan boleh kelihatan profesional serta meyakinkan.
Namun, kelebihan ini turut membawa risiko tertentu. Visual yang cantik kadangkala boleh mengaburi kelemahan asas dalam pemikiran reka bentuk. Sesebuah cadangan mungkin kelihatan menarik pada permukaan, tetapi lemah dari segi konsep, keaslian idea, logik ruang dan justifikasi reka bentuk. Kebergantungan melampau kepada imej digital, templat atau sumber luar juga boleh menimbulkan persoalan berkaitan integriti akademik.
Oleh itu, pendekatan terbaik bukanlah memilih antara lakaran tangan atau teknologi digital, tetapi menggabungkan kedua-duanya secara seimbang. Lakaran tangan wajar diletakkan sebagai medium utama pada fasa awal reka bentuk kerana ia membantu pelajar meneroka idea secara bebas, kritis dan kreatif.
Setelah idea asas dibentuk, teknologi digital boleh digunakan untuk memperhalusi reka bentuk, menghasilkan lukisan teknikal, membina model tiga dimensi dan menyampaikan cadangan secara lebih tepat. Dengan cara ini, lakaran tangan menjadi asas pemikiran, manakala teknologi digital menjadi alat pengukuhan dan penyampaian.

Peranan pensyarah amat penting dalam memastikan keseimbangan ini berlaku dalam pendidikan studio. Pensyarah tidak seharusnya menilai hasil akhir semata-mata, tetapi perlu memberi perhatian kepada proses perkembangan idea. Pelajar boleh digalakkan mendokumentasikan lakaran awal, catatan konsep, kajian ruang dan evolusi reka bentuk sebelum menghasilkan persembahan digital.
Pendekatan ini dapat mengelakkan teknologi digital daripada menjadi jalan pintas kepada visual yang menarik tetapi kosong dari segi pemikiran. Pada masa yang sama, pelajar juga perlu dibimbing supaya tidak menolak teknologi, kerana kemahiran digital merupakan keperluan penting dalam industri seni bina masa kini.
Kesimpulannya, lakaran tangan tetap relevan dalam pengajian Diploma Seni Bina walaupun teknologi digital semakin dominan. Lakaran tangan bukan sekadar kemahiran tradisional, tetapi merupakan asas kepada pemikiran reka bentuk, kefahaman ruang dan keaslian idea.
Teknologi digital pula berfungsi sebagai alat sokongan yang memperkukuh ketepatan, visualisasi dan komunikasi reka bentuk. Keseimbangan antara mata, minda dan tetikus perlu dipupuk supaya graduan seni bina bukan sahaja mahir menggunakan perisian, tetapi juga memiliki daya fikir kreatif, kepekaan ruang, integriti akademik dan jati diri profesional yang kukuh.
Oleh Wafa’ Hassan @ Kamaruddin, pensyarah SPACE UTM