Keluar dari Lingkaran B40: Usaha dan Nilai Diri Penentu Kejayaan

SDGSDG1SDG4SDG8SDG10

📝 Ringkasan

Mobiliti sosial merujuk kepada keupayaan individu meningkatkan kedudukan sosioekonomi mereka melalui pendidikan, pekerjaan dan peluang. Kejayaan dalam mobiliti sosial bergantung kepada faktor ekonomi, psikologi dan sosial. Individu yang mempunyai keyakinan diri, motivasi, daya tahan emosi dan kepercayaan terhadap kemampuan diri lebih berupaya menghadapi cabaran dan mencapai kehidupan yang lebih stabil. Latar belakang keluarga, jaringan sosial dan persekitaran memainkan peranan besar dalam membentuk cara seseorang melihat diri dan menghadapi cabaran kehidupan.

Dalam era ekonomi semasa yang dinamik, topik mobiliti sosial sering menjadi perbincangan hangatdalam kalangan masyarakat. Mobiliti sosial merujuk kepada keupayaan seseorang individu untuk meningkatkan kedudukan sosioekonomi mereka berbanding keadaan asal melalui pendidikan, pekerjaan dan peluang yang tersedia. Ahli sosiologi terkenal, Pitirim Sorokin, mentakrifkan mobiliti sosial sebagai perubahan kedudukan individu dalam struktur sosial masyarakat. Dari perspektif ekonomi pula, Bank Dunia melihat mobiliti sosial sebagai keupayaan seseorang meningkatkan taraf hidup dan mencapai kesejahteraan ekonomi yang lebih baik.

Namun, kejayaan dalam mobiliti sosial bukan hanya bergantung kepada faktor ekonomi semata-mata. Dari sudut psikologi, aspek seperti keyakinan diri, motivasi, daya tahan emosi (resilience) dan kepercayaan terhadap kemampuan diri (self-efficacy) turut memainkan peranan penting dalam membantu seseorang keluar daripada kelompok berpendapatan rendah dan mencapai kehidupan yang lebih stabil. Individu yang mempunyai kekuatan mental serta sikap yang positif lazimnya lebih berupaya menghadapi cabaran, merebut peluang dan mengekalkan usaha untuk mencapai matlamat jangka panjang.

Menurut Pegawai Psikologi Kanan merangkap Menjalankan Tugas Pengarah Pusat Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Nik Rafidah Nik Yusoff, latar belakang keluarga, jaringan sosial dan persekitaran memainkan peranan besar dalam membentuk cara seseorang melihat diri dan menghadapi cabaran kehidupan.

“Individu yang membesar dalam persekitaran yang stabil, mendapat sokongan emosi dan galakan positif biasanya mempunyai tahap keyakinan diri, daya tahan dan motivasi yang lebih tinggi untuk berjaya,” katanya.

Golongan graduan baru dilihat sebagai kelompok yang sangat aktif dalam mencari peluang pekerjaan dalam meningkatkan taraf hidup, kemahairan dan pengalaman (Gambar hiasan)

Beliau menambah individu daripada keluarga yang mengalami tekanan kewangan atau konflik dalam tempoh yang lama akan mengalami tekanan psikologi, perasaan bimbang, dan pemikiran negatif berkaitan masa depan. Natijahnya boleh membawa kepada kesejahteraan mental yang lemah, menyebabkan seseorang itu kurang keyakinan diri.

Selain pengaruh keluarga terhadap peningkatan kualiti hidup, rangkaian sosial seseorang juga boleh menyumbang kepada kesedaran dalam meningkatkan mobiliti sosial. Dengan sokongan daripada rakan dan komuniti, seseorang mungkin dapat mencari lebih banyak peluang untuk membantu meningkatkan kualiti hidupnya.

Dalam masa yang sama, taraf pendidikan masih dilihat sebagai medium paling penting dalam membantu individu keluar daripada kelompok B40. Namun menurut Dr. Nik Rafidah, pendidikan bukan sekadar memperoleh sijil atau ijazah semata-mata, tetapi turut membentuk keyakinan diri dan cara seseorang membuat keputusan.

“Pendidikan membantu meningkatkan efikasi kendiri atau kepercayaan terhadap kemampuan diri. Apabila seseorang merasakan dirinya berkemampuan, mereka akan lebih yakin untuk mencuba peluang baharu dan menghadapi cabaran hidup,” jelas beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan kemahiran seperti komunikasi, kepimpinan, pengurusan emosi dan kemahiran digital amat penting dalam dunia pekerjaan hari ini. Ramai graduan memiliki pencapaian akademik yang baik, namun masih menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan kerana kurang kemahiran insaniah dan keyakinan diri.

Menurut beliau lagi, kejayaan untuk keluar daripada kelompok B40 bukan hanya bergantung kepada usaha individu semata-mata, tetapi turut dipengaruhi oleh peluang, sokongan sistem dan keadaan ekonomi semasa negara.

“Tidak semua individu bermula dari titik permulaan yang sama. Ada yang mempunyai akses lebih baik kepada pendidikan, jaringan sosial dan peluang pekerjaan, manakala sebahagian yang lain perlu berjuang dengan tekanan kewangan dan kekangan sumber,” katanya.

Sementara itu, dalam konteks kesihatan mental, apabila terdapat keadaan kehidupan di mana seseorang individu mengalami tekanan berterusan, ia boleh memberi kesan kepada tahap motivasi dan produktiviti mereka. Individu yang bergelut dalam mod kelangsungan hidup sukar untuk menumpukan perhatian kepada peningkatan diri kerana semua tenaga mereka ditumpukan kepada cara menangani tekanan hidup.

Bagi graduan yang berasal daripada latar belakang B40, masalah terbesar mereka berkisar tentang tekanan akibat isu kewangan, kekurangan rangkaian profesional serta tanggungjawab membantu keluarga selepas tamat pengajian. Ramai yang berdepan dilema antara mengejar peluang kerjaya yang sesuai dengan kelayakan akademik atau memilih pekerjaan yang dapat memberikan pendapatan segera bagi menyara keluarga. Keadaan ini menjadi lebih mencabar apabila mereka tidak mempunyai akses yang sama kepada jaringan profesional dan sumber yang boleh membantu mempercepat perkembangan kerjaya.

Dalam keadaan ekonomi semasa yang menyaksikan peningkatan kos sara hidup, harga rumah yang semakin tinggi serta persaingan sengit dalam pasaran pekerjaan, perjalanan untuk mencapai kestabilan kewangan menjadi semakin sukar. Terdapat juga graduan yang terpaksa menerima pekerjaan yang tidak setara dengan kelayakan akademik atau bekerja dalam sektor berpendapatan rendah demi memenuhi keperluan hidup. Situasi ini bukan sahaja memberi kesan kepada kedudukan ekonomi mereka, malah boleh menjejaskan kesejahteraan mental akibat peningkatan tekanan, kebimbangan dan ketidakpastian terhadap masa depan.

Oleh itu, usaha memperkukuh mobiliti sosial memerlukan kerjasama pelbagai pihak, termasuk institusi pendidikan, industri dan kerajaan. Inisiatif seperti program pembangunan kerjaya, latihan kemahiran, peluang jaringan profesional serta sokongan psikologi yang berterusan dapat membantu graduan meningkatkan keyakinan dan daya saing mereka. Pada masa yang sama, graduan juga perlu bersikap proaktif dengan memperkukuh kemahiran diri, membina rangkaian profesional dan mengamalkan pengurusan kewangan yang baik bagi meningkatkan kebolehpasaran serta membuka lebih banyak peluang untuk mencapai mobiliti sosial yang lebih baik.

Tuntasnya, mobiliti sosial bukan hanya bergantung kepada kerja keras semata-mata, tetapi memerlukan keseimbangan antara usaha individu, sokongan sosial dan peluang yang disediakan. Dengan sokongan yang tepat serta kekuatan mental yang baik, golongan muda mampu keluar daripada lingkaran B40 dan membina masa depan yang lebih stabil untuk diri serta keluarga mereka.

Explore More

UTM Open Day