📝 Ringkasan
Program Kayak Jejak Warisan 2026 di Sungai Dungun telah berjaya menghimpunkan 36 peserta dari pelbagai institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat dalam satu program berimpak tinggi yang menggabungkan elemen kelestarian alam sekitar, biodiversiti, kesukarelawanan, pembangunan komuniti dan penghayatan warisan. Program ini telah meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemeliharaan biodiversiti sungai serta peranan masyarakat dalam melindungi sumber semula jadi negara.
DUNGUN, 6 Jun – Sungai Dungun menjadi saksi kepada kejayaan penganjuran Program Kayak Jejak Warisan 2026 yang menghimpunkan seramai 36 peserta terdiri daripada mahasiswa dan wakil institusi pengajian tinggi, termasuk Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), serta komuniti setempat dalam satu program berimpak tinggi yang menggabungkan elemen kelestarian alam sekitar, biodiversiti, kesukarelawanan, pembangunan komuniti dan penghayatan warisan.
Program selama tiga hari bermula 4 hingga 6 Jun 2026 itu dianjurkan bersempena Minggu Biodiversiti UTM 2026 dengan tema “Menyusuri Warisan, Memelihara Diversiti”. Ekspedisi berkayak sejauh 36 kilometer bermula dari Dataran Kejat Pasir Raja, menyusuri keindahan Sungai Dungun melalui Kampung Jongok Batu sebelum berakhir di Taman Rekreasi Kuala Jengal.
Penganjuran program ini diterajui oleh UniSZA dengan kerjasama pelbagai institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan serta komuniti setempat bagi memperkukuh hubungan strategik antara universiti dan masyarakat dalam mempromosikan agenda kelestarian dan pemuliharaan biodiversiti.

Majlis Perasmian dan Pelepasan Kayak Jejak Warisan 2026 telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah UMT, Dato’ Dr. Hj. Din Adam, bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniSZA, Dato’ Prof. Madya Dr. Mohd Hafiz Yusoff.
Dalam ucapannya, Dato’ Prof. Madya Dr. Mohd Hafiz Yusoff menegaskan bahawa program seperti Kayak Jejak Warisan merupakan platform penting dalam membentuk mahasiswa yang seimbang dari aspek kepimpinan, kesukarelawanan, ketahanan diri dan tanggungjawab sosial. Menurut beliau, program ini bukan sekadar ekspedisi rekreasi, tetapi medium yang menghubungkan mahasiswa dengan masyarakat melalui aktiviti pendidikan, kelestarian alam sekitar, pemeliharaan warisan dan pembangunan komuniti.
Program ini turut mendapat perhatian apabila Ahli Lembaga Pengarah UTM, Prof. Ts. Dr. Abd Latif Saleh, menyertai keseluruhan ekspedisi berkayak sejauh 36 kilometer bersama para peserta. Penyertaan beliau mencerminkan komitmen kepimpinan universiti terhadap agenda kelestarian, pembangunan komuniti dan gaya hidup sihat. Kehadiran beliau sepanjang laluan ekspedisi bukan sahaja memberi inspirasi kepada mahasiswa dan peserta, malah memperkukuh semangat kebersamaan antara pengurusan universiti, warga kampus dan komuniti setempat dalam menjayakan program berteraskan kesukarelawanan serta pemeliharaan alam sekitar.



Pada sebelah petang hari pertama program, para peserta dan sukarelawan dibawa menyertai lawatan warisan ke Kubu Mat Kilau yang terletak di Padang Jerangau, Kampung Pasir Raja. Lawatan tersebut memberi peluang kepada peserta untuk menghayati sejarah perjuangan pahlawan Melayu terkenal, Mat Kilau, dalam mempertahankan tanah air daripada penjajahan British pada penghujung abad ke-19. Kubu bersejarah itu pernah berfungsi sebagai pusat perlindungan, pertahanan dan penyusunan strategi serangan terhadap penjajah sekitar tahun 1890-an, serta dipercayai menjadi lokasi persinggahan Mat Kilau sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu. Melalui sesi perkongsian sejarah di tapak warisan tersebut, peserta bukan sahaja dapat memahami nilai patriotisme dan kepimpinan tokoh pejuang negara, malah menyedari kepentingan memelihara warisan sejarah sebagai sebahagian daripada identiti dan jati diri bangsa.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti berteraskan komuniti dan pembangunan mampan telah dilaksanakan, antaranya program Recycle4Life, pemasangan lampu solar, gotong-royong membersihkan kawasan sekolah, pemeriksaan kesihatan percuma, pertandingan mewarna, Treasure Hunt, sukan rakyat, penanaman pokok serta penyampaian Bakul Kasih Madani kepada golongan yang memerlukan. Aktiviti-aktiviti tersebut berjaya meningkatkan penglibatan masyarakat setempat serta memupuk kesedaran mengenai kepentingan amalan kelestarian dan pembangunan komuniti yang inklusif.
Aktiviti penanaman pokok turut dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, melibatkan penyertaan tetamu kehormat termasuk ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti UTM sebagai simbol komitmen peserta terhadap usaha penghijauan dan pemeliharaan alam sekitar.
Salah satu pencapaian menarik sepanjang ekspedisi ialah dokumentasi biodiversiti ikan air tawar di Sungai Dungun. Beberapa spesies tempatan berjaya direkodkan, termasuk ikan Sikang dan Rong Ekor Merah atau nama saintifiknya Osteochilus waandersii, spesies asli Malaysia daripada keluarga Cyprinidae. Kehadiran Rong Ekor Merah amat signifikan dari sudut ekologi kerana spesies ini berfungsi sebagai pengawal alga semula jadi yang membantu mengawal pertumbuhan alga pada batu dan kayu tenggelam. Ia turut memainkan peranan sebagai pengitar semula nutrien melalui pemakanan detritus dan bahan organik dalam ekosistem sungai.
Lebih penting lagi, Rong Ekor Merah dikenali sebagai bioindikator yang sensitif terhadap pencemaran. Kehadiran spesies ini menunjukkan bahawa Sungai Dungun masih mempunyai kualiti habitat yang baik, kandungan oksigen terlarut yang mencukupi serta tahap gangguan manusia yang relatif rendah. Penemuan spesies seperti Sikang dan Rong Ekor Merah ini membuktikan bahawa Sungai Dungun masih mengekalkan komuniti ikan air tawar yang kaya dan stabil, sekali gus menjadi petunjuk penting kepada kesihatan ekosistem sungai tersebut.

Selain memberi peluang kepada peserta menikmati keindahan alam semula jadi, ekspedisi ini turut meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemeliharaan biodiversiti sungai serta peranan masyarakat dalam melindungi sumber semula jadi negara. Pengalaman pembelajaran berasaskan lapangan yang diperoleh sepanjang program membolehkan peserta memahami secara langsung hubungan antara kelestarian alam sekitar, kesejahteraan komuniti dan pembangunan mampan.
Majlis Penutupan Program Kayak Jejak Warisan 2026 telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Pembangunan Holistik Pelajar (PPHP) UniSZA, Kapt. Dr. Akila Mamat, yang turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang tenaga, masa dan komitmen dalam menjayakan program tersebut.
Secara keseluruhannya, Program Kayak Jejak Warisan 2026 berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dengan menggabungkan elemen kesukarelawanan, pembangunan komuniti, pendidikan, kesihatan, pemuliharaan alam sekitar, biodiversiti dan penghayatan warisan dalam satu platform pembelajaran berasaskan pengalaman yang berimpak tinggi.
Kerjasama erat antara institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan komuniti setempat membuktikan bahawa semangat kesukarelawanan dan kebersamaan mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan masyarakat yang lebih lestari, berdaya tahan dan sejahtera.
Program ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) berkaitan Air Bersih dan Sanitasi (SDG 6), Bandar dan Komuniti Mampan (SDG 11), Tindakan Iklim (SDG 13), Hidupan di Bawah Air (SDG 14), Hidupan di Darat (SDG 15) dan Perkongsian untuk Matlamat (SDG 17), selaras dengan aspirasi UTM dalam memperkukuh agenda kelestarian, biodiversiti dan pembangunan masyarakat yang mampan.