📝 Ringkasan
Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bekerjasama melaksanakan Ujian Profisiensi Bahasa Inggeris Linguaskill yang melibatkan 140 guru opsyen Bahasa Inggeris dari Pontian, Kulai, dan Pasir Gudang. Inisiatif ini bertujuan menilai dan memperkukuh tahap penguasaan guru agar mencapai standard CEFR C1 selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 bagi meningkatkan kualiti pengajaran di sekolah.
JOHOR BAHRU, 26 Jun – Seramai 140 orang guru opsyen Bahasa Inggeris dari daerah Pontian, Kulai dan Pasir Gudang telah menduduki Ujian Profisiensi Bahasa Inggeris Linguaskill yang berlangsung pada 22, 24 dan 26 Jun 2026 di Makmal Bahasa, Akademi Bahasa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Pelaksanaan ujian ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Akademi Bahasa, FSSH UTM dalam usaha memperkukuh tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru opsyen Bahasa Inggeris selaras dengan aspirasi pendidikan negara.
Pelaksanaan ujian telah diselia oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahasa, Sektor Pembelajaran JPNJ, Hj. Rahilme Mohd Noor; Penolong Pengarah Bahasa, Sektor Pembelajaran JPNJ, Mohd Ermy Mohd Kasah; serta Pensyarah Kanan Akademi Bahasa, FSSH UTM, Dr. Nur’ain Balqis Haladin.
Ujian ini turut dibantu oleh tiga pegawai School Improvement Specialist Coaches Plus (SISC+), Penolong Jurutera S. Syed Alwi Suleiman dan Mohd Dzulkifli Abdollah, serta Guru Bahasa, Johana Jobil, yang memastikan kelancaran pelaksanaan ujian sepanjang tiga hari tersebut.

Inisiatif ini sejajar dengan hasrat Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang menetapkan semua Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) opsyen Bahasa Inggeris perlu mencapai sekurang-kurangnya tahap penguasaan Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) C1 bagi memastikan penyampaian pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris yang berkualiti di sekolah.

Bagi menyokong usaha tersebut, English Language Teaching Centre (ELTC), Kementerian Pendidikan Malaysia telah melaksanakan program Pro-ELT Enhance yang melibatkan guru opsyen Bahasa Inggeris. Program ini bertujuan meningkatkan kompetensi linguistik guru melalui latihan profesional yang sistematik dan berfokus.
Sebagai kesinambungan kepada program tersebut, para peserta telah menjalani Ujian Profisiensi Bahasa Inggeris Linguaskill bagi menilai tahap penguasaan bahasa Inggeris mereka secara komprehensif. Ujian ini merangkumi empat komponen utama, iaitu Reading, Listening, Speaking dan Writing, yang dibangunkan berdasarkan piawaian antarabangsa CEFR.

Ujian Linguaskill kali ini dilaksanakan secara remote-proctored test, yang membolehkan pemantauan dijalankan secara dalam talian melalui prosedur keselamatan dan integriti yang ketat. Pelaksanaan ujian melibatkan tiga pusat ujian utama yang diperakukan oleh Sasbadi, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Ismail, Parit Raja; University of Reading; dan Akademi Bahasa, FSSH UTM, sekali gus memastikan proses pentaksiran memenuhi standard antarabangsa
Penganjuran ujian ini mencerminkan komitmen berterusan JPNJ dan UTM dalam memastikan guru Bahasa Inggeris terus meningkatkan tahap profesionalisme serta kompetensi bahasa mereka. Keupayaan guru mencapai tahap CEFR C1 bukan sahaja dapat memperkukuh keyakinan dan keberkesanan pengajaran di dalam bilik darjah, malah turut menyumbang kepada usaha melahirkan generasi pelajar yang lebih kompeten dalam penggunaan bahasa Inggeris di peringkat nasional dan global.

Lebih penting, kerjasama strategik ini mengukuhkan lagi hubungan antara Akademi Bahasa, FSSH UTM dengan JPNJ dalam memperkasakan pembangunan profesional guru. Jalinan erat antara institusi pengajian tinggi dan agensi pendidikan negeri ini diharap dapat terus diperluaskan menerusi pelbagai inisiatif pembangunan kapasiti, penyelidikan, latihan profesional dan pemindahan ilmu pada masa hadapan, sekali gus menyokong agenda transformasi pendidikan negara serta melahirkan tenaga pendidik yang berdaya saing di peringkat global.