Generasi MADANI Bebas Dadah pupuk kesedaran awal komuniti tentang bahaya penyalahgunaan dadah

JOHOR BAHRU, 6 Jun – Suasana ceria dan penuh semangat menyelubungi Dewan Terbuka Surau Nur Hidayah, Perumahan Lima Kedai apabila kehadiran kanak-kanak Tabika Perpaduan bersama ibu bapa serta penduduk setempat memeriahkan Program Generasi MADANI Bebas Dadah. Inisiatif kesedaran komuniti ini dilaksanakan dalam suasana santai namun sarat dengan mesej pencegahan dadah yang mendalam.

Kanak-kanak Tabika Perpaduan tekun mendengar sesi interaktif serta menyertai aktiviti permainan “Snake and Ladder” yang disediakan

Kempen ini dianjurkan oleh pelajar Kursus Pendidikan Pencegahan Dadah (ULRF2322), iaitu salah satu kursus di bawah Kokurikulum Kluster Kesukarelawanan yang dikendalikan oleh Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Program berasaskan pendekatan pembelajaran melalui pengalaman (experiential learning) ini dibimbing oleh pensyarah kursus, Muhammad Azali Kalki Abdullah, serta diselia oleh Dr. Lukman Hakim Ismail selaku Penyelaras Kursus Kluster. Pelaksanaannya menekankan penglibatan aktif mahasiswa dalam situasi sebenar bersama masyarakat.

Detik perasmian dan pelancaran rasmi Program Generasi MADANI Bebas Dadah di Dewan Terbuka Surau Nur Hidayah

Program ini turut menerima sokongan padu daripada pelbagai pihak berwajib serta pemimpin tempatan yang hadir memberikan dorongan moral kepada mahasiswa dan komuniti. Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Pengerusi Perumahan Rakyat Lima Kedai, Hj. Salamian Surip, yang juga bertindak sebagai perasmi program.

Kehadiran pihak berkuasa dan agensi penguatkuasaan turut menyerikan program, termasuk Ketua Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, ASP Satiyaseelan Balakrishnan, serta Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Nur Idayu Ibrahim.

Selain itu, program ini turut diperkukuh dengan kehadiran Pegawai Perpaduan, Hj. Helmy Mohamad Yahya, serta Ketua Kampung Melayu Lima Kedai, Abd Halim Abdullah.

Kanak-kanak tidak melepaskan peluang mengabadikan kenangan di photo booth bertemakan “Generasi MADANI Bebas Dadah” yang disediakan oleh pelajar UTM

Bagi memastikan mesej pencegahan dadah dapat disampaikan secara kreatif dan mesra keluarga, pelbagai aktiviti menarik telah diatur sepanjang program berlangsung. Slot pagi dimeriahkan dengan permainan interaktif khusus untuk murid Tabika Perpaduan serta pengisian yang bertujuan menerapkan nilai murni sejak peringkat awal.

Pada masa sama, sesi bersama ibu bapa turut diadakan menerusi pameran informatif oleh AADK bagi memberi pendedahan realistik mengenai bahaya penyalahgunaan dadah. Bagi menambah keterujaan pengunjung, kuiz kesedaran dan cabutan bertuah turut diadakan, selain pembukaan gerai jualan oleh penduduk setempat.

Kemunculan maskot bertemakan “Squid Game” di kawasan photo booth menjadi antara tarikan utama yang berjaya menceriakan suasana dan menarik perhatian kanak-kanak sepanjang program berlangsung.

Kemunculan maskot bertemakan “Squid Game” bersama pelajar Tabika Perpaduan dan guru pengiring yang memeriahkan suasana program

Keseluruhannya, Program Generasi MADANI Bebas Dadah ini berjaya mencapai objektifnya dalam menyemai kesedaran awal mengenai bahaya penyalahgunaan dadah melalui pendekatan pendidikan yang interaktif, kreatif dan mesra komuniti. Pelaksanaan program berasaskan libat sama mahasiswa bersama masyarakat ini bukan sahaja memperkukuh kefahaman dalam kalangan kanak-kanak dan ibu bapa, malah turut mengukuhkan peranan universiti sebagai pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang lebih peka, berpengetahuan dan berdaya tahan terhadap ancaman sosial.

Explore More

UTM Open Day