Pada 38 tahun yang lalu, Malaysia telah memperkenalkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai landasan utama hala tuju sistem pendidikan di negara ini. Falsafah ini menegaskan bahawa pendidikan merupakan suatu usaha berterusan bagi melahirkan individu yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani, berlandaskan agama dan kepercayaan masing-masing.

Matlamat falsafah ini jelas menekankan kecemerlangan graduan yang bukan sahaja berilmu pengetahuan, malah berakhlak mulia, berketerampilan, bertanggungjawab serta berupaya mencapai kesejahteraan diri. Pada masa yang sama, mereka diharapkan mampu memberi sumbangan bermakna kepada keharmonian keluarga, masyarakat dan negara.

Namun begitu, realiti pendidikan di Malaysia hari ini sering kali dilihat berdepan cabaran dalam mengekalkan keseimbangan antara matlamat falsafah dan tuntutan semasa. Dalam sesetengah keadaan, wujud persepsi bahawa sistem pendidikan terlalu dipengaruhi oleh elemen daya saing dan keperluan industri sehingga mengutamakan pencapaian akademik semata-mata.

Institusi pendidikan sama ada di peringkat tadika, sekolah rendah, sekolah menengah mahupun institusi pengajian tinggi awam dan swasta, sering dikaitkan dengan usaha melahirkan modal insan untuk keperluan pasaran kerja. Dalam masa yang sama, terdapat juga pandangan bahawa masyarakat khususnya ibu bapa lebih cenderung memberi tumpuan kepada prestij institusi tanpa menilai secara menyeluruh matlamat pendidikan sebagaimana yang digariskan dalam falsafah ini.

Jika diteliti secara lebih mendalam, peranan universiti bukan sekadar menjadi platform mencapai “Graduate On Time (GOT)”, tetapi lebih besar daripada itu iaitu sebagai pemacu pembinaan ilmu yang berterusan. Universiti dan pentadbirnya bertanggungjawab membentuk graduan yang bukan sahaja kompeten dalam bidang masing-masing, tetapi juga memiliki sahsiah terpuji, keupayaan berfikir secara kritis serta kreatif.

Pendidikan di peringkat universiti seharusnya menjadi wadah pembangunan potensi diri secara menyeluruh, bukan sekadar mengejar sijil atau gelaran semata-mata. Ilmu yang diperoleh perlu menjadi asas kepada pembelajaran sepanjang hayat, selaras dengan prinsip “usaha berterusan” yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Justeru, pencapaian seperti kebolehpasaran graduan seharusnya dilihat sebagai hasil keseimbangan antara ilmu, kemahiran dan nilai yang dibina sepanjang pengajian.

Selain itu, peranan ibu bapa juga tidak kurang penting dalam memastikan matlamat falsafah ini dapat direalisasikan. Ibu bapa perlu memberi galakan dan sokongan berterusan terhadap perkembangan anak-anak di institusi pengajian tinggi, bukan bersikap lepas tangan selepas mereka melangkah ke universiti.

Sebagai contoh, apabila dihubungi oleh pihak penasihat akademik, kerjasama ibu bapa amat penting sebagai tanda sokongan moral terhadap usaha universiti dalam membimbing pelajar. Sinergi antara ibu bapa dan institusi pendidikan ini dapat membantu pelajar menghadapi cabaran pengajian dengan lebih berkesan, sekali gus menyumbang kepada pembentukan graduan yang lebih holistik.

Pada masa yang sama, pelajar sendiri memikul tanggungjawab besar dalam menjayakan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Mereka perlu menghargai pengorbanan ibu bapa dengan menumpukan usaha terhadap pengajian dan mengelakkan sikap sambil lewa seperti meniru dalam peperiksaan, tidak menyiapkan tugasan atau mengabaikan kehadiran ke kelas.

Sebagai pelajar, tanggungjawab utama adalah menimba ilmu dengan bersungguh-sungguh, bukan sekadar lulus semata-mata sehingga menjejaskan kualiti pembelajaran, umpama peribahasa Melayu “melepaskan batuk di tangga”. Dalam masa yang sama, pelajar perlu menggalas amanah dalam melaksanakan tugasan akademik dengan penuh integriti, termasuk mengelakkan kebergantungan sepenuhnya kepada Kecerdasan Buatan (AI) tanpa kefahaman sebenar.

Tekanan dan stres dalam kalangan pelajar merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam proses pembelajaran. Namun begitu, ia perlu diurus secara bijaksana dengan mengukuhkan motivasi dalaman serta mendapatkan sokongan daripada pensyarah dan penasihat akademik. Dalam hal ini, penasihat akademik boleh dianggap sebagai rujukan penting dalam membimbing pelajar membuat keputusan sepanjang pengajian.

Peranan pensyarah juga amat signifikan dalam merealisasikan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pensyarah bukan sahaja bertanggungjawab menyampaikan ilmu, tetapi juga membentuk sahsiah dan pemikiran pelajar secara berterusan.

Mereka perlu memastikan pelajar memahami kepentingan setiap tugasan yang diberikan sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran, bukan sekadar untuk memenuhi keperluan penilaian. Pada masa yang sama, pensyarah juga berperanan memberi bimbingan kepada pelajar yang lemah agar mereka dapat meningkatkan prestasi akademik secara berperingkat.

Dalam konteks ini, pensyarah turut berfungsi sebagai suri teladan kepada pelajar, bukan sahaja dari segi keilmuan tetapi juga dalam aspek integriti, disiplin, dan profesionalisme dalam dunia akademik.

Kesimpulannya, Falsafah Pendidikan Kebangsaan merupakan panduan menyeluruh dalam membentuk modal insan yang seimbang dan harmonis. Kejayaannya bergantung kepada komitmen pelbagai pihak termasuk institusi pendidikan, ibu bapa, pelajar dan pensyarah.

Pendidikan bukan sekadar proses pemindahan ilmu, tetapi satu usaha berterusan dalam membentuk insan yang berilmu, berakhlak mulia dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan negara. Oleh itu, setiap pihak perlu berganding bahu dalam memastikan matlamat falsafah ini terus relevan dan dilaksanakan secara holistik demi melahirkan generasi yang berdaya saing serta berintegriti tinggi.

Explore More

UTM Open Day