📝 Ringkasan
Kolesterol tinggi bukan lagi penyakit yang hanya melibatkan golongan berusia, tetapi juga golongan muda. Paras kolesterol tinggi boleh berlaku seawal usia muda dan berkembang secara perlahan tanpa disedari. Data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan satu daripada tiga individu berusia 18 tahun ke atas di Malaysia mempunyai paras kolesterol yang tinggi.
Paras kolesterol yang tinggi bukan sahaja bukan lagi penyakit dalam kalangan orang yang lebih berumur. Pada masa kini, semakin ramai golongan muda mengalami paras kolesterol tinggi akibat gaya hidup yang tidak sihat, termasuk pengambilan makanan segera, kurang aktif, dan rutin harian yang tidak seimbang. Penggunaan perkhidmatan penghantaran makanan yang semakin meluas juga menjadikan makanan segera dan makanan ultra proses lebih mudah diakses berbanding pilihan makanan yang lebih sihat. Tanpa disedari, tabiat ini boleh meningkatkan pengambilan kalori, lemak tepu dan gula secara berlebihan.
Menurut Pengarah Pusat Kesihatan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mohd Firdaus Akmal Azman, ramai golongan muda masih kurang menyedari hakikat bahawa proses pembentukan kolesterol dalam salur darah sebenarnya bermula sejak usia remaja lagi. Keadaan ini menyebabkan ramai golongan muda tidak merasakan keperluan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala, sekali gus menyebabkan masalah tersebut hanya dikesan apabila komplikasi yang lebih serius mula berlaku.
“Masalah kolesterol tinggi bukan masalah kesihatan yang hanya melibatkan golongan berusia, tetapi turut melibatkan golongan muda,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa proses arterosklerosis, iaitu pembentukan plak dalam dinding salur darah, juga boleh berlaku seawal usia muda dan berkembang secara perlahan tanpa disedari. Kenyataan ini menunjukkan bahawa kesan kolesterol tinggi bukan hanya bergantung kepada tahap bacaan semasa, tetapi juga tempoh seseorang terdedah kepada faktor risiko tersebut.
Situasi ini dilihat semakin membimbangkan apabila data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan satu daripada tiga individu berusia 18 tahun ke atas di Malaysia mempunyai paras kolesterol yang tinggi.
Dalam kalangan individu berusia bawah 40 tahun, antara faktor utama yang menyumbang kepada masalah ini ialah pemakanan tinggi lemak tepu dan lemak trans, masalah berat badan berlebihan, kurang aktiviti fizikal serta faktor genetik seperti familial hypercholesterolemia. Corak pemakanan yang tidak seimbang, termasuk pengambilan makanan segera, makanan bergoreng dan minuman tinggi gula secara kerap, menyebabkan peningkatan paras kolesterol dalam badan tanpa disedari. Pada masa yang sama, gaya hidup yang kurang aktif akibat kebergantungan kepada teknologi dan aktiviti harian yang lebih banyak dilakukan secara sedentari turut meningkatkan risiko masalah kesihatan ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa gaya hidup dan kebergantungan tinggi kepada teknologi menyebabkan ramai individu kurang bergerak dan tidak aktif secara fizikal. Faktor ini akhirnya meningkatkan risiko obesiti dan kolesterol tinggi. Amalan pemakanan yang seimbang, pengurangan pengambilan makanan bergoreng dan makanan diproses, serta peningkatan aktiviti fizikal harian mampu membantu mengawal paras kolesterol dengan lebih baik. Pengesanan awal membolehkan intervensi dilakukan sebelum komplikasi serius berlaku, sekali gus membantu mengurangkan beban penyakit tidak berjangkit dalam kalangan masyarakat pada masa hadapan.
Budaya pemakanan masyarakat tempatan yang kaya dengan makanan bergoreng dan berlemak yang tinggi juga sering menimbulkan cabaran yang besar dalam mempraktikkan cara hidup sihat. Budaya kerja masa kini, di mana orang ramai menghabiskan sebahagian besar masa mereka di dalam rumah menggunakan kemajuan teknologi, telah membawa kepada gaya hidup yang kurang aktif dalam kalangan masyarakat hari ini.
Kolesterol tinggi yang tidak dikawal sejak usia muda boleh membawa kesan serius terhadap kesihatan individu pada masa hadapan. Dr. Firdaus juga menjelaskan bahawa pengumpulan plak dalam salur darah secara perlahan-lahan boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kronik tanpa sebarang gejala awal.
“Jika proses ini berlaku pada salur darah jantung, komplikasi yang sering berlaku adalah serangan jantung yang boleh mengakibatkan kematian mengejut,” jelas beliau.
Selain serangan jantung, aterosklerosis juga boleh menyebabkan strok, gangguan kognitif, masalah pertuturan serta komplikasi pada salur darah periferi juga boleh membawa kepada risiko amputasi dalam kes yang lebih serius. Dalam konteks institusi pendidikan, universiti mempunyai peranan penting dalam membentuk budaya hidup sihat dalam kalangan pelajar. Selain menyediakan kemudahan sukan dan rekreasi, program advokasi kesihatan serta kempen kesedaran berkaitan pemakanan sihat dan penyakit tidak berjangkit perlu dilaksanakan secara berterusan.
Pemilihan makanan yang lebih sihat dan berkhasiat dan galakan terhadap amalan berjalan kaki juga dapat membantu pelajar mengamalkan gaya hidup yang lebih aktif. Pendekatan menyeluruh yang melibatkan pelajar, pihak universiti dan komuniti kampus dilihat mampu menyumbang kepada usaha mencegah peningkatan masalah kolesterol tinggi dalam kalangan generasi muda.
Beliau turut menekankan bahawa terdapat kurangnya kesedaran tentang bahaya yang berkaitan dengan kolesterol tinggi dalam kalangan golongan muda kerana orang ramai percaya bahawa hanya orang yang lebih berumur atau orang yang berlebihan berat badan lebih cenderung mengalami kolesterol tinggi.
Hakikatnya, kolesterol tinggi tidak menunjukkan sebarang tanda awal dan tidak dapat dikenal pasti melainkan menerusi ujian darah. Oleh itu, adalah amat penting untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemeriksaan kesihatan secara berkala sebagai inisiatif yang dapat membantu mencegah risiko kesihatan dalam kalangan golongan muda.