UTM-SMK Medini tingkat kesedaran keselamatan infrastruktur melalui Seismo Challenge Peringkat Negeri Johor

SDGSDG4SDG11

📝 Ringkasan

UTM melalui Kumpulan Penyelidikan Kejuruteraan Seismologi dan Kejuruteraan Gempa Bumi (eSEER) telah menganjurkan Seismo Challenge – Build and Shake Peringkat Negeri Johor 2026. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan infrastruktur terhadap bencana alam dan memacu kecemerlangan akademik serta kelestarian impak komuniti. 14 buah sekolah dari seluruh Johor telah menyertai pertandingan ini dan SMK Taman Damansara Aliff dinobatkan sebagai juara.

ISKANDAR PUTERI, 9 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Kumpulan Penyelidikan Kejuruteraan Seismologi dan Kejuruteraan Gempa Bumi (eSEER), Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA), dengan kerjasama strategik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Medini telah berjaya menganjurkan Seismo Challenge – Build and Shake Peringkat Negeri Johor 2026 pada 9 Mei 2026.

Program ini merupakan manifestasi jelas visi UTM ASCEND 2030 dalam memacu kecemerlangan akademik dan kelestarian impak komuniti, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 berkaitan Pendidikan Berkualiti dan SDG 11 berkaitan Bandar dan Komuniti Mampan.

Di bawah seliaan Ketua Penyelaras UTM, Dr. Muhammad Farhan Mohd Fisol, pertandingan ini telah menarik penyertaan daripada 14 buah sekolah di seluruh Johor. Sekolah yang terlibat merangkumi Sekolah Seni Malaysia Johor (SSeMJ), SMK Taman Damansara Aliff, SMK Gelang Patah, SMK Kota Masai 2, SMK Taman Rinting 2 dan SMK Pasir Gudang 3 dari daerah Johor Bahru; SMK Dato’ Sri Amar DiRaja dari Muar; Sekolah Menengah (SM) Sains Kota Tinggi dan SMK Semenchu dari Kota Tinggi; serta SM Sains Batu Pahat dan SMK Suria Perdana dari Batu Pahat. Turut mengambil bahagian ialah SMK Tengku Aris Bendahara dari Kluang, SMK Tan Sri Osman Mohd Sa’at dari Pontian, serta SMK Mersing dari Mersing.

Ts. Dr. Mohd Zamri Ramli menyampaikan taklimat teknikal kepada peserta sebelum pertandingan Seismo Challenge Peringkat Negeri Johor 2026 bermula

Kejayaan sekolah-sekolah yang bertanding adalah hasil daripada impak positif bengkel teknikal yang telah dianjurkan oleh eSEER sebelum hari pertandingan. Bengkel tersebut memberikan pendedahan mendalam mengenai mekanika struktur dan simulasi gempa bumi, membolehkan para pelajar mengaplikasikan teori reka bentuk ke dalam model bangunan mereka. Keupayaan pelajar membina struktur yang stabil mencerminkan keberkesanan pemindahan ilmu daripada pakar universiti kepada komuniti sekolah.

Sesi penjurian diketuai oleh Ts. Dr. Mohd Zamri Ramli selaku Ketua Panel Hakim, bersama barisan pakar rujukan dalam bidang struktur tahan gempa, iaitu Prof. Madya Ir. Dr. Mariyana Aida Ab. Kadir dan Ts. Dr. Mohd Nur Asmawisham Alel. Turut menyumbang ketelitian teknikal ialah Ir. Dr. Nik Zainab Nik Azizan dan Ir. Ts. Dr. Mohd Hilmy Naim Mohd Yakin. Penilaian profesional ini memastikan setiap peserta memahami prinsip kejuruteraan sebenar dalam membina persekitaran yang selamat.

Barisan juri daripada eSEER UTM menjalankan sesi penjurian model bangunan yang dibina oleh peserta Seismo Challenge 2026
Peserta menyaksikan dengan penuh debaran sesi pengujian daya tahan struktur model bangunan mereka semasa simulasi gegaran dijalankan

Setelah persaingan sengit melibatkan 14 buah sekolah, SMK Taman Damansara Aliff dinobatkan sebagai juara apabila model bangunan mereka menunjukkan daya tahan luar biasa semasa ujian simulasi gegaran. Sementara itu, SMK Medini selaku tuan rumah dan rakan kerjasama penganjur membuktikan kehebatan mereka dengan merangkul kedudukan tempat kedua dan tempat ketiga.

Pasukan SMK Taman Damansara Aliff dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Seismo Challenge Peringkat Negeri Johor 2026

Kelancaran program turut didorong oleh dedikasi barisan fasilitator pelajar UTM, iaitu Nur Alisya Mohd Nur Asmawisham, Nur Aliyah Mohd Nur Asmawisham, Nur Farzana Mamat Salleh dan Emily Puyang Jau. Penglibatan mereka mencerminkan agenda pembangunan bakat dalam UTM ASCEND 2030, di mana mahasiswa diasah kemahiran kepimpinan dan komunikasi melalui program berimpak tinggi.

Kerjasama antara SMK Medini dan eSEER UTM ini membuktikan komitmen universiti dalam mendidik generasi muda tentang kepentingan keselamatan infrastruktur terhadap bencana alam. Inisiatif ini diharapkan dapat terus menyemai minat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) demi kelestarian dan keselamatan negara pada masa hadapan.

Peserta Pertandingan Seismo Challenge bersama barisan juri, fasilitator dan tetamu jemputan bergambar kenangan pada majlis penutup program

Explore More

UTM Open Day