UTM santuni bakal jemaah Haji dalam kalangan warganya sempena Musim 1447H

SDGSDG4SDG8

📝 Ringkasan

UTM menganjurkan Majlis Meraikan Bakal Jemaah Haji bagi musim 1447H/2026M di Kediaman Rasmi Naib Canselor. Majlis itu bertujuan meraikan dan menyantuni kakitangan universiti yang terpilih sebagai tetamu Allah atau Duyufurrahman pada tahun ini. Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, menyifatkan jemputan ke Tanah Suci sebagai satu ketentuan dan rezeki yang tidak disangka-sangka. Beliau menekankan kepentingan menjaga niat dan keikhlasan hati sepanjang berada di Tanah Suci.

JOHOR BAHRU, 14 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menzahirkan tanda penghargaan dan sokongan moral kepada warganya melalui penganjuran Majlis Meraikan Bakal Jemaah Haji bagi musim 1447H/2026M yang berlangsung di Kediaman Rasmi Naib Canselor, hari ini. Majlis yang dianjurkan dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Organisasi dan Pusat Islam UTM itu bertujuan meraikan dan menyantuni kakitangan universiti yang terpilih sebagai tetamu Allah atau Duyufurrahman pada tahun ini. Untuk rekod, seramai 40 orang staf UTM daripada pelbagai peringkat jawatan berpeluang menunaikan fardu haji.

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, menyifatkan jemputan ke Tanah Suci sebagai satu ketentuan dan rezeki yang tidak disangka-sangka, sekali gus berkongsi rasa syukur kerana turut terpilih sebagai jemaah haji pada tahun ini.

Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan menjaga niat dan keikhlasan hati sepanjang berada di Tanah Suci, serta memohon agar para jemaah mendoakan kesejahteraan dan kecemerlangan universiti agar terus berkembang maju sebagai institusi pendidikan utama negara.

“Saya berpesan kepada semua, pergilah dengan hati yang suci dan niat yang baik demi Allah SWT. Doakanlah kebaikan untuk keluarga, rakan-rakan, dan Universiti Teknologi Malaysia. Saya yakin, jika hati kita suci dan niat kita benar-benar untuk membangunkan agama, bangsa, dan negara, insya-Allah hidup kita akan lebih sejahtera. Buatlah kebaikan sebaik mungkin kerana kita tidak tahu doa siapa yang akan Allah angkat,” kata beliau.

Beliau turut mengingatkan bahawa setiap jemaah perlu memanfaatkan peluang keemasan ini untuk melengkapkan rukun Islam dengan sebaik mungkin, selain menjaga adab dan ukhuwah sesama insan.

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, menyampaikan ucapan semasa Majlis Meraikan Bakal Jemaah Haji UTM 1447H/2026M di Kediaman Rasmi Naib Canselor, hari ini

Dalam majlis yang sama, tazkirah rohani turut diadakan menerusi bimbingan Prof. Madya Dr. Nurazmallail Marni, Menjalankan Tugas Pengarah Pusat Islam UTM. Tazkirah ini menekankan konsep haji mabrur serta persediaan mental dan fizikal jemaah. Antara pengisian penting lain yang turut dikongsikan ialah keperluan untuk memperbanyakkan zikir dan sedekah, serta menjaga tutur kata agar tidak mengguris perasaan orang lain sepanjang menjalankan ibadah.

Prof. Madya Dr. Nurazmallail menyampaikan tazkirah rohani mengenai konsep haji mabrur dan persediaan jemaah

Selain itu, majlis turut menyaksikan penyampaian cenderahati berbentuk kit keperluan asas ringkas kepada para bakal jemaah haji yang hadir. Para jemaah juga telah menerima sumbangan saguhati berupa wang tunai yang telah dikreditkan ke akaun masing-masing berdasarkan keahlian badan dan persatuan yang disertai seperti Badan Kebajikan Staf (BAKES), Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PERTISAS), Kesatuan Kakitangan Am (KKA), Persatuan Kakitangan Akademik (PKA), dan Persatuan Kakitangan Bakti (PERKABA). Pusat Islam UTM turut menyumbangkan peruntukan daripada Tabung Masjid Sultan Ismail bagi menjayakan majlis pada hari ini.

Sementara itu, salah seorang jemaah yang diraikan, Dr. Aimi Musa, meluahkan rasa syukur dan debaran apabila mengungkapkan bahawa inilah kali pertama beliau bakal menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

“Perasaan saya yang pertama pastinya sangat berdebar kerana ini adalah kali pertama saya akan menunaikan ibadah haji, malah saya juga belum pernah mengerjakan umrah sebelum ini. Saya amat bersyukur kerana dipilih untuk pergi ke sana. Saya akan berangkat bersama suami dan keluarga yang keseluruhannya berjumlah sembilan orang. Perjalanan kami akan bermula pada 18 Mei ini sehingga 30 Jun, iaitu selama 44 hari di sana,” kata beliau.

Pensyarah Kanan dari Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) itu turut mengulas mengenai inisiatif UTM yang menganjurkan majlis tersebut dengan penuh rasa terharu.

“Inisiatif UTM menyantuni bakal jemaah hari ini adalah sesuatu yang sangat bagus dan saya merasa sangat terharu apabila dijemput ke kediaman rasmi Naib Canselor. Sebelum berangkat, saya sedang berusaha menyelesaikan semua tugasan akademik terutamanya urusan peperiksaan dan penyeliaan pelajar supaya saya boleh pergi dalam keadaan yang tenang dan ringan tanpa meninggalkan beban kerja. Harapan saya, semoga kami semua mendapat haji yang mabrur dan dipermudahkan segala urusan kesihatan sepanjang berada di sana,” ujar Dr. Aimi.

Dr. Aimi Musa (tiga dari kiri) menerima cenderahati sebagai tanda sokongan dan penghargaan UTM sempena majlis berkenaan

Majlis ini berjaya mewujudkan suasana yang lebih akrab dan mesra antara pihak pengurusan universiti dengan para bakal jemaah. Melalui inisiatif seumpama ini, diharapkan agar dorongan moral yang tinggi dapat diberikan kepada warganya untuk melaksanakan ibadah dengan tenang dan kembali dengan haji yang mabrur.

Pihak pengurusan UTM dan wakil persatuan merakam kenangan bersama beberapa bakal jemaah haji warga UTM yang belum berangkat ke Tanah Suci

Explore More

UTM Open Day