📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengukuhkan kerjasama strategik dengan institusi pendidikan dan industri di Wilayah Yunnan, China. Lawatan kerja enam hari itu membincangkan pembangunan bakat, integrasi kurikulum dan penilaian pensijilan halal bagi pasaran antarabangsa. UTM telah merintis ruang kerjasama dalam pembangunan kurikulum transdisiplin yang menggabungkan elemen halal merentas disiplin kulinari, nutrisi dan pengurusan hospitaliti.
KUNMING, 15 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengukuhkan kedudukannya sebagai rujukan global apabila berjaya merintis kerjasama strategik dalam ekosistem halal bersama institusi pendidikan dan gergasi industri di Wilayah Yunnan, China. Lawatan kerja selama enam hari bermula 10 Mei itu memfokuskan kepada pembangunan bakat, integrasi kurikulum dan penilaian pensijilan halal bagi pasaran antarabangsa.
Delegasi yang diterajui oleh felo penyelidik daripada Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST) diketuai oleh Pengarahnya, Prof. Madya Dr. Aminudin Hehsan, bersama Dr. Fahrul Irfan Ishak dan Dr. Norhidayu Muhamad Zain. Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) pula diketuai oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Prof. Madya Dr. Haliyana Khalid, bersama Prof. Madya Dr. Beni Widarman Yus Kelana dan Dr. Razli Ramli.
Mewakili sektor industri ialah Timbalan Pengurus Perbadanan Pembangunan Halal Johor (JHDC), Abdul Wafi Musa, yang memainkan peranan penting dalam memberikan input teknikal mengenai pematuhan standard dan potensi pasaran halal di Johor. Turut serta ialah Simon Wong, Pengerusi Konsortium Universiti-Universiti Malaysia (CMU), yang menyokong penyelarasan kerjasama antara universiti.

Hasil lawatan ke Pu’er University dan Kunming University berjaya merintis ruang kerjasama dalam pembangunan kurikulum transdisiplin yang menggabungkan elemen halal merentas disiplin kulinari, nutrisi dan pengurusan hospitaliti. Sebagai usaha pengukuhan akademik, pihak AHIBS telah mempromosikan program MSc Food bagi melahirkan graduan di Yunnan yang kompeten dalam inovasi pemprosesan makanan dan pengurusan perniagaan halal.
Cadangan ini diterima baik oleh pihak universiti rakan strategik, yang seterusnya membawa kepada komitmen pembangunan kerangka Pelancongan Mesra Muslim bagi memenuhi keperluan pasaran pelancong Muslim yang kian berkembang di Yunnan, China.

Selain pengukuhan akademik, misi strategik ini memberikan tumpuan khusus terhadap penilaian kesiapsiagaan industri di Yunnan untuk menembusi pasaran Muslim global melalui piawaian pensijilan halal Malaysia. Penilaian dilakukan oleh pihak CFiRST secara menyeluruh terhadap pemain industri utama seperti Yunnan Pu’er Tea Group Co., Ltd. dan Aini Coffee bagi meninjau potensi pensijilan halal pada produk teh tradisional serta kopi yang memiliki rantaian nilai mampan.
Melalui pembentangan strategik bersama UTM dan JHDC, pihak delegasi berjaya meyakinkan gergasi farmaseutikal seperti Yunnan Baiyao Group Co., Ltd. bahawa standard halal bukan sekadar mekanisme patuh syariah, malah merupakan instrumen jaminan kualiti, kebersihan dan keselamatan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Kesepaduan peranan CFiRST dan JHDC ini memastikan industri di Yunnan memiliki kesiapsiagaan teknikal dan ekosistem sokongan yang kukuh untuk menembusi pasaran Muslim global.

Melalui sinergi antara kepakaran akademik UTM dan pihak industri, misi strategik ini menyimpulkan wujudnya potensi besar untuk meletakkan UTM sebagai rakan strategik utama dalam penyediaan latihan kepakaran dan khidmat nasihat halal di China. Kerjasama ini secara langsung membuktikan usaha UTM bagi menyokong Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030 dalam menjadikan Johor sebagai hab rujukan halal dunia menerusi sinergi akademik-industri rentas sempadan.