📝 Ringkasan
Program Transformasi Minda (PTM) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya menganjurkan program wajib perkhidmatan bagi staf baharu lantikan tetap. Program ini bertujuan untuk mengesahkan perkhidmatan dan memupuk keperibadian, jati diri dan nilai patriotisme dalam kalangan pegawai. Program ini juga bertujuan untuk menerapkan nilai budaya kerja cemerlang dan menyediakan pegawai dengan minda kelas pertama.
JOHOR BAHRU, 19 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Pembangunan Bakat dan Kepimpinan (CTLD) telah berjaya menganjurkan Program Transformasi Minda (PTM) Bil. 26 Siri 1/2026. Program wajib perkhidmatan ini menyasarkan staf baharu lantikan tetap bagi tujuan pengesahan perkhidmatan.
Mengangkat tema “ISES dan ADAB: Pemacu Menginovasi Penyelesaian Lestari”, program ini dilaksanakan dalam dua kaedah pembelajaran. Fasa pertama melibatkan Siri Modul Ceramah secara dalam talian yang berlangsung selama lima hari, bermula 4 hingga 8 Mei 2026. Fasa ini disusuli dengan Sesi Bersama Fasilitator secara fizikal pada 18 Mei 2026. Buat julung kali, program PTM dilaksanakan secara hibrid di kampus UTM Johor Bahru dan UTM Kuala Lumpur.

Program kali ini ditawarkan kepada 114 orang peserta yang terdiri daripada gabungan Pegawai Pengurusan dan Pelaksana (PPP) serta staf akademik. Penggabungan kedua-dua kategori staf ini telah memupuk semangat kebersamaan dan kerjasama berpasukan sepanjang siri modul ceramah dan sesi bersama fasilitator.
Objektif utama pelaksanaan PTM Bil. 26 Siri 1/2026 digubal dengan teliti bagi memberikan pendedahan kepada pegawai mengenai konsep kenegaraan, prinsip dan falsafah pembentukan negara, sistem pentadbiran kerajaan serta peraturan asas perkhidmatan awam. Program ini juga bertujuan memupuk keperibadian, jati diri dan nilai patriotisme dalam kalangan pegawai supaya mereka lebih berketerampilan serta berkemampuan menyesuaikan diri dalam perkhidmatan awam. PTM turut menerapkan nilai budaya kerja cemerlang agar pegawai dapat memberikan penyampaian perkhidmatan dengan cekap dan berkesan, di samping menyediakan mereka dengan minda kelas pertama selaras dengan matlamat ke arah negara maju.
Sepanjang lima hari sesi dalam talian, para peserta didedahkan dengan tiga segmen utama Modul PTM, iaitu Segmen 1 berkaitan Negara dan Perkhidmatan Awam, Segmen 2 berkaitan Tanggungjawab dan Peranan Pegawai, serta Segmen 3 berkaitan Budaya Kerja Kelas Pertama. Ketiga-tiga segmen ini selari dengan objektif pelaksanaan Program Transformasi Minda dan disampaikan oleh penceramah yang berwibawa dan berpengalaman dalam topik serta modul yang disediakan.


Sesi Bersama Fasilitator dijalankan pada 18 Mei 2026 di UTM Johor Bahru dan Kuala Lumpur, berfungsi sebagai medan praktikal bagi menterjemahkan teori kepada tindakan. Sesi interaktif ini dipimpin sepenuhnya oleh barisan fasilitator berpengalaman universiti bagi memastikan nilai-nilai teras ISES, iaitu Integriti, Sinergi, Kecemerlangan dan Kelestarian, serta ADAB dapat dijiwai sepenuhnya oleh peserta. Sesi ini diketuai oleh Hermie Yuswan Mohd Tahir selaku Ketua Fasilitator, yang menyandang jawatan Timbalan Pendaftar Kanan, dan disokong oleh barisan jawatankuasa fasilitator.

Melalui pelaksanaan PTM Bil. 26 Siri 1/2026 ini, UTM berharap barisan staf lantikan baharu mampu memacu inovasi dan memberikan penyelesaian lestari dalam tugasan masing-masing, sekali gus menyumbang kepada lonjakan universiti ke arah pencapaian UTM ASCEND 2030.
