📝 Ringkasan
Projek Mama Papa 5G Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya menganjurkan program keibubapaan digital di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari, Beranang. Program ini bertujuan memperkasa kemahiran dan kesedaran keibubapaan digital di kalangan ibu bapa murid di sekolah tersebut. Ibu bapa telah mendapat pendedahan penting tentang kesan negatif ketagihan gajet dan belajar mengenai pendekatan pengemudian teknologi yang sihat di rumah.
BERANANG, 1 Mei – Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi projek komuniti GeekEd di bawah dana Program Pemindahan Ilmu-Geran Teknologi Penyelidikan (KTP-RIG) UTM telah berjaya menganjurkan Projek Mama Papa 5G bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari, Beranang pada 25 April lalu. Objektif utama program ini direka khusus bagi memperkasa kemahiran serta kesedaran keibubapaan digital dalam kalangan ibu bapa murid di sekolah tersebut.
Program yang memfokuskan kepada cabaran kritikal dalam mendidik generasi Digital Natives ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan serta penyertaan aktif daripada ibu bapa. Dengan mengetengahkan tema “Memimpin Bukan Mengikut”, inisiatif tanggungjawab sosial universiti ini bertujuan memberi pendedahan penting tentang kesan negatif ketagihan gajet, di samping mengajar ibu bapa mengenai pendekatan pengemudian teknologi yang sihat di rumah.
Sesi perkongsian ilmu yang padat telah disampaikan oleh penceramah yang merangkap pensyarah FSSH, Dr. Siti Suhaila Ihwani. Menerusi ceramah tersebut, beliau membuka mata ibu bapa mengenai realiti kehidupan masa kini di mana hampir 80 peratus medium interaksi kanak-kanak telah beralih ke ruang siber. Beliau turut memperkenalkan modul Kompas 5G yang merangkumi lima prinsip teras, iaitu menetapkan peraturan (Groud Rules), menjadi contoh teladan yang baik (Good Example), membimbing carian kandungan (Guide), meluangkan masa bersama anak-anak (Get Involved), dan melindungi peranti daripada ancaman pemangsa maya (Guard).

Menurut Dr. Siti Suhaila, kebanyakan ibu bapa masa kini secara tidak sedar sering terperangkap dengan sindrom keibubapaan segera apabila menjadikan peranti pintar sebagai penyelesaian pantas untuk mendiamkan atau memujuk anak-anak yang meragam. Beliau menegaskan bahawa ibu bapa perlu kembali mengambil peranan sebagai nakhoda yang mengemudi, dan bukannya sekadar menyekat akses secara paksaan. Selain itu, pendedahan mengenai Algoritma Tabayyun turut dikongsikan bagi memupuk adab menyemak kesahihan maklumat sebelum dikongsi di platform media sosial.
Kejayaan projek komuniti ini dibantu sepenuhnya oleh 19 orang delegasi rasmi UTM yang terdiri daripada tujuh staf akademik dan 12 pelajar pascasiswazah Pengajian Islam. Bagi memeriahkan lagi suasana program, majlis turut menampilkan sesi kuiz yang menguji pemahaman ibu bapa, di mana peserta yang berjaya menjawab dengan betul diberikan hadiah.

Sesi tinjauan pra dan pasca program turut dilaksanakan oleh pihak urus setia bagi mengukur tahap keberkesanan perkongsian ilmu yang disampaikan serta memastikan objektif yang ditetapkan tercapai. Majlis diakhiri dengan acara simbolik penyerahan cenderamata penghargaan dan poster panduan Mama Papa 5G oleh Ketua Program, Dr. Nurhasmiza Abu Hasan Sazalli, dan Ketua Sub-projek, Dr. Zilal Saari, kepada pihak pentadbiran SMK Khir Johari.

Selain memberi impak langsung kepada komuniti ibu bapa dan sekolah, projek ini turut menjadi platform pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) kepada pelajar sarjana Pengajian Islam UTM dalam mengaplikasikan ilmu berkaitan dakwah digital, komunikasi masyarakat dan literasi media secara langsung bersama komuniti. Pelaksanaan program seumpama ini membuktikan komitmen berterusan UTM dalam merapatkan jurang antara universiti dan komuniti, sekali gus meletakkan institusi ini sebagai pelopor dalam menyumbang kepakaran akademik ke arah membina kelestarian institusi kekeluargaan dalam mendepani cabaran era digital.
Pelaksanaan projek komuniti ini turut menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 berkaitan Pendidikan Berkualiti melalui pemerkasaan literasi digital dan pendidikan keibubapaan; SDG 3 berkaitan Kesihatan yang Baik dan Kesejahteraan dalam meningkatkan kesejahteraan emosi serta hubungan kekeluargaan yang sihat; dan SDG 16 berkaitan Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Teguh menerusi penerapan budaya tabayyun, etika penggunaan media sosial serta kesedaran terhadap keselamatan digital dalam komuniti. Inisiatif ini turut memperlihatkan peranan universiti dalam membina masyarakat yang lebih celik digital, berinformasi dan bertanggungjawab selaras dengan cabaran era teknologi masa kini.

