Program ISL Aceh 2026 perkukuh kerjasama antarabangsa dan pembangunan komuniti

SDGSDG4SDG8SDG13SDG17

📝 Ringkasan

Program ISL Aceh 2026 yang diadakan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya meningkatkan kerjasama antarabangsa dan pembangunan komuniti di Aceh, Indonesia. Program ini melibatkan 105 pelajar dari Malaysia dan Indonesia yang menjalankan pelbagai aktiviti khidmat komuniti, termasuk penyediaan sistem tenaga suria, penyelenggaraan komputer, dan pengelolaan sampah. Program ini telah berjaya memberi pendedahan dan perkongsian ilmu kepada masyarakat setempat dan memupuk semangat kesukarelawanan, kepimpinan, dan keprihatinan sosial dalam kalangan mahasiswa.

ACEH, 17 Mei — Program Pembelajaran Servis Antarabangsa (ISL Aceh 2026) yang dianjurkan oleh Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merupakan satu inisiatif akademik dan kemanusiaan yang memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan ilmu dalam komuniti sebenar, di samping meningkatkan kemahiran insaniah, kesedaran global dan tanggungjawab sosial.

Program yang berlangsung pada 11 hingga 17 Mei 2026 ini melibatkan seramai 105 orang pelajar daripada dua universiti dari Malaysia, iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), serta lima universiti dari Indonesia iaitu Universitas Syiah Kuala (USK), Universitas Teuku Umar (UTU), Universitas Tadulako (Untad), Universitas Malikussaleh (UNIMAL) dan Universitas Gunung Leuser (UGL).

Antara modul yang dijalankan ialah saringan kesihatan dan penilaian status gizi, Nailcare Esthetics + Hello Microbes, pengenalan sistem tenaga suria (PLTS), penyelenggaraan komputer dan eksplorasi kecerdasan buatan (AI) sejarah, serta pengolahan sampah, eco enzyme dan bank sampah bagi membantu pembangunan komuniti setempat di Aceh, Indonesia.

Bertindak selaku Pengarah Program ialah Dr. Lukman Hakim Ismail. Program ISL Aceh 2026 menghimpunkan mahasiswa dari Malaysia dan Indonesia dalam usaha memperkukuh jaringan antarabangsa serta melaksanakan pelbagai aktiviti khidmat komuniti yang berimpak tinggi.

Program ISL Aceh 2026 telah berlangsung dengan jayanya bermula pada 12 Mei, menerusi majlis pelepasan peserta. Majlis dimulakan dengan beberapa ucapan daripada wakil institusi dan tetamu jemputan, antaranya Dr. Lukman Hakim Ismail dari UTM, Dr. Hamidah Idris dari UPSI, Dr. Sulastri M.Si selaku wakil USK, Prof. Dr. Bakhri dari Untad Palu, serta Khairul Anwar ST MT dari UGL. Majlis turut disempurnakan dengan ucapan serta pelepasan rasmi oleh Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik dan Kerjasama) UTU, Dr. Ir. M. Aman Yemen, M.Agric.Sc.

Majlis pelepasan peserta ISL Aceh 2026 disempurnakan oleh Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik dan Kerjasama) UTU

Pada hari yang sama, majlis pembukaan rasmi ISL Aceh 2026 telah diadakan di Pulau Sabang. Majlis dimulakan dengan laporan ketua panitia oleh Dr. Lukman Hakim Ismail, diikuti ucapan daripada wakil Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik dan Kerjasama) UTU yang diwakili oleh Dekan Fakultas Teknik UTU, Dr. Ir. Irwansyah ST M.Eng IPM. Seterusnya, ucapan turut disampaikan oleh wakil Datuk Bandar yang diwakili oleh Staf Ahli Bidang Ekonomi, Pembangunan dan Kewangan, Junizar, SH., M.Si.

Perasmian ISL Aceh 2026 oleh wakil Datuk Bandar Kota Sabang

Pada 13 Mei 2026, program diteruskan dengan pelaksanaan Modul 3, 4 dan 5 yang berlangsung di Meunasah Lamnibong. Antara modul yang dijalankan ialah Saringan Kesihatan, Penilaian Status Gizi dan Keberhasilan Lingkungan, Nailcare Esthetics + Hello Microbes serta Komputer untuk Komuniti.

Pelaksanaan modul-modul ini telah berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk setempat. Ramai penduduk di Meunasah Lamnibong hadir serta memberikan kerjasama yang baik sepanjang aktiviti dijalankan. Program ini berjaya memberi pendedahan dan perkongsian ilmu kepada masyarakat, di samping mengeratkan hubungan antara peserta ISL bersama komuniti setempat.

Peserta ISL Aceh 2026 berkongsi ilmu dan pengalaman bersama komuniti setempat melalui pelaksanaan modul komuniti

Pelaksanaan Modul 1 pada 14 Mei 2026 telah dijalankan di Pantai Iboih dengan memberi fokus kepada pemasangan sistem pam air solar di masjid. Sepanjang pelaksanaan modul tersebut, pihak UTM yang mengendalikan modul ini telah memberikan penerangan kepada penduduk setempat mengenai penggunaan pam air solar serta kelebihannya dalam membantu memudahkan urusan harian dan menjimatkan penggunaan tenaga. Penduduk turut menunjukkan minat serta memberi perhatian yang tinggi sepanjang sesi penerangan dijalankan.

Penyerahan sistem pam air solar kepada pihak komuniti sebagai usaha memperkasa penggunaan teknologi tenaga lestari di Pantai Iboih

Program diteruskan pada 15 Mei 2026 dengan pelaksanaan Modul 2 dan Modul 6 yang berlangsung di Pantai Iboih. Modul 6 yang berkaitan pengelolaan sampah, penghasilan eco enzyme dan bank sampah telah memberi pendedahan kepada penduduk mengenai cara pengurusan sisa buangan secara lebih sistematik serta penghasilan eco enzyme yang bermanfaat dalam kehidupan harian. Selain itu, Modul 2 iaitu Eksplorasi AI Sejarah turut memberi peluang kepada penduduk untuk mengenali sejarah Pulau Sabang dengan lebih mendalam melalui pendekatan teknologi dan kecerdasan buatan.

Pada sebelah malamnya, Majlis Penutup Program ISL Aceh 2026 telah berlangsung dengan jayanya. Majlis dimulakan dengan bacaan doa sebelum diteruskan dengan ucapan Pengarah Program, Dr. Lukman Hakim Ismail. Seterusnya, ucapan turut disampaikan oleh pihak Keuchik yang diwakili oleh Sekretaris Desa, Husaini.

Majlis diteruskan dengan sesi ucapan wakil setiap universiti yang berkongsi kesan, pesanan dan refleksi sepanjang penglibatan dalam program ini. Penutupan rasmi majlis telah disempurnakan oleh Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik dan Kerjasama) UTU, Dr. Ir. M. Aman Yemen, M.Agric.Sc. Majlis turut dimeriahkan dengan sesi bergambar bersama serta persembahan daripada para peserta sebelum majlis bersurai.

Persembahan kebudayaan oleh para peserta sebagai simbolik kebersamaan dan semangat kerjasama sepanjang Program ISL Aceh 2026

Secara keseluruhannya, Program ISL Aceh 2026 telah berjaya mencapai objektif dalam memperkukuh hubungan kerjasama antarabangsa antara institusi pengajian tinggi Malaysia dan Indonesia. Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk berkongsi ilmu dan pengalaman bersama komuniti setempat, malah turut memupuk semangat kesukarelawanan, kepimpinan serta keprihatinan sosial dalam kalangan mahasiswa. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan generasi yang lebih berdaya saing, berilmu dan cakna terhadap pembangunan masyarakat sejagat.

Explore More

UTM Open Day