Program DESA @ Kuala Selangor 2026 perkukuh agenda STEM, kelestarian dan jaringan strategik komuniti

SDGSDG4SDG11SDG13SDG17

📝 Ringkasan

Program DESA @ Kuala Selangor 2026 telah berjaya menganjurkan program pendidikan STEM, kelestarian dan jaringan strategik komuniti di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kuching Tengah dan Sekolah Kebangsaan Dato’ Maharaja Lela. Program ini melibatkan universiti, sekolah, agensi kerajaan dan komuniti untuk memperkukuh ekosistem pendidikan luar bandar melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, inovasi teknologi dan pembangunan nilai masyarakat. Program ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4, 11, 13 dan 17.

KUALA SELANGOR, 22 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur menerusi Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) Kolej Siswa Jaya (KSJ), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan JKP Pelajar Luar Kampus (PLK) telah berjaya menganjurkan Program Daerah Edukatif, STEM dan Aspirasi (DESA) @ Kuala Selangor 2026 bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kuching Tengah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Maharaja Lela.

Program ini dilaksanakan sebagai inisiatif pemerkasaan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pembangunan komuniti dan pembudayaan kelestarian secara menyeluruh dalam kalangan generasi muda.

Program berimpak tinggi ini menghimpunkan penglibatan strategik institusi pendidikan tinggi, agensi kerajaan, pihak industri serta komuniti setempat dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan luar bandar melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, inovasi teknologi dan pembangunan nilai masyarakat.

Selaras dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), pelaksanaan program ini menyokong SDG 4 berkaitan Pendidikan Berkualiti menerusi akses kepada pembelajaran STEM yang inklusif dan berkualiti, SDG 11 berkaitan Komuniti dan Bandar Mampan melalui pemeliharaan budaya serta pembangunan komuniti desa, SDG 13 berkaitan Tindakan Iklim menerusi pengukuhan kesedaran kelestarian alam sekitar, serta SDG 17 berkaitan Perkongsian Demi Matlamat melalui kolaborasi rentas institusi dan industri.

Antara fokus utama program ialah memperkukuh sinergi strategik antara universiti, sekolah, agensi kerajaan dan komuniti demi mewujudkan jaringan kerjasama yang mampan serta berimpak jangka panjang terhadap pembangunan pendidikan dan sosial masyarakat setempat. Program ini turut mengangkat elemen warisan komuniti seperti budaya sekampung, tradisi desa dan nilai kemasyarakatan sebagai komponen penting dalam membina keseimbangan antara kemajuan teknologi dan identiti sosial masyarakat.

Majlis turut menyaksikan Majlis Penandatanganan Surat Hasrat (LoI) Rakan Strategik antara UTM bersama SMK Bukit Kuching Tengah dan SK Dato’ Maharaja Lela yang disempurnakan oleh Ketua Kampus Cawangan Kuala Lumpur, Prof. Dr. Fauziah Sh. Ahmad. Kerjasama strategik tersebut mencerminkan komitmen berterusan institusi pendidikan dalam memperluas akses kepada pendidikan STEM, pembangunan bakat serta program pembangunan akademik dan sahsiah pelajar.

Ketua Kampus UTM Cawangan Kuala Lumpur, Prof. Dr. Fauziah Sh. Ahmad (tiga dari kiri), bersama Pengetua SMK Bukit Kuching Tengah, Norazilawati Ali Imran (tiga dari kanan) sempena Majlis Penandatanganan Surat Hasrat Rakan Strategik
Ketua Kampus UTM Cawangan Kuala Lumpur, Prof. Dr. Fauziah Sh. Ahmad bersama Guru Besar SK Dato’ Maharaja Lela, Nizamuddin Hj. Abdul Majid (tiga dari kiri) sempena Majlis Penandatanganan Surat Hasrat Rakan Strategik

Dari sudut pengisian akademik dan teknologi, Program DESA @ Kuala Selangor 2026 memberi penekanan signifikan terhadap pemerkasaan STEM melalui pelaksanaan modul interaktif yang menggabungkan elemen sains, teknologi, kejuruteraan dan pemikiran inovatif secara praktikal serta kontekstual.

Antara tarikan utama program ialah pameran teknologi Robot Arm & Spider, Bocobot serta EdupicoBot oleh JKP PLK yang memperlihatkan aplikasi asas automasi, sistem kawalan pintar dan robotik dalam dunia sebenar. Pameran ini bukan sahaja memberi pendedahan awal kepada pelajar berkaitan Revolusi Industri 4.0, malah berjaya meningkatkan minat terhadap bidang kejuruteraan, pengaturcaraan dan teknologi pintar yang semakin menjadi keperluan global masa kini.

Khamsah memberikan penerangan berkaitan Robot Spider kepada para pengunjung

Bagi pelajar sekolah rendah, modul “Little Engineer, Big Mission: Save The Earth” telah dilaksanakan menggunakan pendekatan pembelajaran STEM berasaskan aktiviti amali dan eksplorasi kreatif bagi memupuk minat terhadap sains dan teknologi sejak usia awal. Modul ini turut menekankan elemen kelestarian alam sekitar melalui aktiviti penyelesaian masalah, pemikiran reka cipta serta kesedaran terhadap kepentingan penjagaan bumi dan pengurusan sumber secara lestari.

Para pelajar Tahun 4 SK Dato’ Maharaja Lela membina set kapal terbang magnetik yang ditaja oleh Yayasan Mr. DIY

Sementara itu, pelajar Tingkatan 3 telah mengikuti modul “FutureMind STEM Lab: FLNG Model” yang memberi pendedahan kepada konsep Gas Asli Cecair Terapung (FLNG), teknologi tenaga moden serta aplikasi kejuruteraan dalam industri tenaga masa hadapan. Modul ini dibangunkan berasaskan pendekatan pembelajaran berasaskan projek dan simulasi bagi memperkukuh pemahaman pelajar terhadap aplikasi teknologi serta penyelesaian kejuruteraan dunia sebenar.

Pelaksanaannya turut diperkukuh melalui perkongsian kepakaran oleh Dr. Mohd Fitri Mohd Yakub dan Ts. Muhammad Farhan Ahmad Fauzi daripada Jabatan Kejuruteraan Elektronik Sistem, Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), UTM Kuala Lumpur.

Penglibatan kedua-dua tenaga akademik tersebut memberi nilai tambah kepada modul melalui pendedahan profesional berkaitan teknologi, inovasi dan aplikasi kejuruteraan dalam sektor tenaga moden, sekali gus memperluas perspektif pelajar terhadap potensi kerjaya dan perkembangan industri berteraskan STEM.

Para pelajar Tingkatan 3 SMK Bukit Kuching Tengah memasang komponen elektrik bagi model FLNG dalam modul FutureMind STEM Lab

Selain itu, pelajar Tingkatan 4 turut mengikuti modul “Misi GenZ: Next Gen Leader” kendalian MPP yang memberi penekanan terhadap pembangunan kepimpinan generasi muda, kemahiran komunikasi strategik, pemikiran kritis dan keupayaan membuat keputusan dalam mendepani cabaran dunia moden.

Elemen kelestarian turut menjadi antara komponen utama program menerusi ceramah “Trash To Cash” yang disampaikan oleh Pegawai Tadbir Bahagian Pendidikan Masyarakat SWCorp, Mohd Hairi Mat Fuzi. Ceramah tersebut memberi pendedahan berkaitan pengurusan sisa pepejal, ekonomi kitar semula dan kepentingan amalan gaya hidup lestari dalam kalangan masyarakat.

Dalam masa yang sama, Timbalan Pengarah Pusat Kelestarian Kampus UTM Kuala Lumpur, Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Sarip turut menyampaikan taklimat khas berkaitan pembangunan mampan dan agenda kelestarian global bagi meningkatkan kesedaran pelajar terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar serta tanggungjawab sosial generasi masa hadapan.

Penganjuran program turut menerima sokongan kukuh daripada pelbagai rakan strategik dan pihak industri. Yayasan Mr. DIY telah menyumbang penajaan bahan dan peralatan STEM bagi menyokong pelaksanaan modul pembelajaran interaktif, manakala SWCorp pula menghantar wakil penceramah bagi menjayakan pengisian ceramah berkaitan kelestarian dan pengurusan sisa pepejal kepada para pelajar sekolah rendah. Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) serta MJIIT turut menaja barangan rasmi program.

Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada Prof. Dr. Fauziah Sh. Ahmad selaku Ketua Kampus Cawangan Kuala Lumpur hasil kolaborasi strategik bersama pihak industri dan agensi berkaitan, sekali gus memperlihatkan potensi besar pelaksanaan program berasaskan komuniti sebagai platform pembangunan pendidikan, kelestarian dan inovasi sosial secara berterusan.

Haslina daripada SK Dato’ Maharaja Lela turut menyatakan penghargaan terhadap penganjuran program ini serta berharap agar lebih banyak inisiatif seumpama ini dapat diteruskan oleh pihak UTM pada masa hadapan dengan pengisian aktiviti yang lebih meluas bagi meningkatkan minat pelajar terhadap bidang kejuruteraan, teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

Penganjuran Program DESA @ Kuala Selangor 2026 membuktikan bahawa pendekatan kolaboratif antara universiti, sekolah, industri dan komuniti mampu membentuk ekosistem pendidikan yang progresif dan berorientasikan masa hadapan. Inisiatif sebegini bukan sahaja memperluas pendedahan pelajar terhadap bidang STEM dan teknologi, malah turut memperkukuh peranan institusi pendidikan tinggi sebagai pemacu pembangunan masyarakat, pemerkasaan bakat muda serta pembinaan komuniti lestari sejajar dengan aspirasi pembangunan negara.

Explore More

UTM Open Day