Pensyarah Sains Sukan UTM perkasa Kursus Sports Aider, tingkatkan keselamatan atlet

SDGSDG3SDG4SDG8SDG10

📝 Ringkasan

Pensyarah Sains Sukan UTM telah memperkasakan Kursus Sports Aider bagi melahirkan individu terlatih yang mampu bertindak pantas dan profesional di lapangan sukan. Kursus ini meliputi asas kecederaan sukan, keselamatan sukan, rawatan awal kecederaan, urutan sukan, teknik titik pencetus, ilmu pembalutan sukan dan kinesiologi, serta penggunaan teknologi sukan moden. Kursus ini bertujuan untuk melahirkan Sports Aider yang kompeten untuk menjaga keselamatan sukan negara ke tahap yang lebih tinggi.

Dalam dunia sukan moden hari ini, isu keselamatan atlet bukan lagi perkara yang boleh dipandang ringan. Rentetan pelbagai kes kecederaan serius, serangan jantung ketika bersukan, strok haba, patah tulang, kecederaan ligamen dan kematian mengejut di padang telah membuka mata masyarakat tentang pentingnya kewujudan individu yang kompeten dalam pengurusan kecemasan sukan.

Atas kesedaran itu, pensyarah Sains Sukan UTM telah mengambil inisiatif memperkasakan Kursus Sports Aider bagi melahirkan lebih ramai individu terlatih yang mampu bertindak pantas dan profesional di lapangan sukan.

Seorang Sports Aider yang kompeten perlu memahami asas kecederaan sukan secara menyeluruh. Mereka bukan sekadar pembantu biasa di padang, tetapi individu pertama yang bertanggungjawab menilai tahap kecederaan atlet sebelum rawatan lanjut diberikan. Mereka perlu mengetahui jenis kecederaan seperti terseliuh (sprain), ketegangan otot (strain), terkehel (dislocation), koyakan ligamen (ligament tear), kekejangan otot (muscle cramp), gegaran otak (concussion) dan strok supaya tindakan awal yang dilakukan tidak memburukkan keadaan atlet. Pengetahuan tentang anatomi dan fisiologi asas tubuh manusia turut ditekankan agar setiap tindakan lebih tepat dan selamat.

Barisan peserta yang pernah mengikuti sesi pengenalan Kursus Sports Aider yang dianjurkan oleh pensyarah Sains Sukan UTM

Selain itu, Sports Aider perlu mahir dalam aspek keselamatan sukan. Mereka perlu mengenal pasti risiko di gelanggang, padang atau pusat latihan sebelum sesuatu aktiviti dijalankan, termasuk menggunakan kaedah HIRARC iaitu Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko. Pemeriksaan keadaan cuaca, permukaan padang, alatan sukan dan tahap kesediaan atlet perlu dilakukan secara profesional. Dalam situasi kecemasan, Sports Aider juga perlu menguasai prosedur pemindahan, pengurusan situasi panik dan komunikasi kecemasan bersama pihak ambulans atau hospital.

Kemahiran rawatan awal kecederaan merupakan elemen teras dalam latihan Sports Aider. Mereka perlu menguasai teknik RICE iaitu Rehat (Rest), Ais (Ice), Mampatan (Compression) dan Tinggikan (Elevation), Resusitasi Kardiopulmonari (CPR), penggunaan Defibrilator Luaran Automatik (AED) serta teknik mengendalikan atlet yang mengalami pengsan atau trauma. Dalam sukan berintensiti tinggi, tindakan dalam tempoh “minit emas” sangat kritikal kerana kesilapan kecil boleh memberi kesan besar terhadap nyawa atlet. Justeru, latihan praktikal dan simulasi kecemasan perlu dijalankan secara berulang sehingga peserta benar-benar cekap dan yakin untuk bertindak balas.

Teknik RICE iaitu Rehat, Ais, Mampatan dan Tinggikan sebagai rawatan awal kecederaan sukan

Seorang Sports Aider yang baik juga perlu mempelajari kemahiran urutan sukan dan teknik titik pencetus (trigger point). Ramai atlet mengalami ketegangan otot, keletihan otot dan sakit otot lewat onset (DOMS) akibat latihan berlebihan. Melalui penilaian menggunakan Skala Analog Visual (VAS) atau Skala Sakit sedia ada, Sports Aider dapat membantu mempercepatkan proses pemulihan, meningkatkan aliran darah dan mengurangkan risiko kecederaan berulang. Kemahiran ini menjadikan mereka lebih bernilai dalam pasukan sukan kerana mampu membantu atlet sebelum, semasa dan selepas pertandingan.

Teknik urutan sukan termasuk teknik naik turun dan kneading dalam sesi latihan praktikal

Di samping itu, ilmu pembalutan sukan (sports taping) dan kinesiologi turut menjadi sebahagian daripada latihan yang diberikan. Teknik pembalutan tegar (rigid taping) dan pembalutan kinesiologi yang betul dapat memberi sokongan kepada sendi dan otot yang lemah tanpa mengganggu pergerakan atlet. Dalam banyak kejohanan profesional, pembalutan kinesiologi digunakan untuk meningkatkan kesedaran posisi badan, mengurangkan kesakitan dan memberi keyakinan kepada atlet untuk kembali beraksi. Tanpa latihan yang betul, penggunaan balutan boleh mendatangkan risiko kepada atlet. Justeru, pemasangan taping dan kinesio perlu dilakukan dengan tepat bagi mengurangkan risiko kecederaan.

Sesi latihan pembalutan sukan bagi memastikan sokongan yang betul kepada sendi dan otot atlet

Dalam era teknologi sukan moden, Sports Aider juga perlu celik teknologi. Mereka perlu memahami penggunaan peralatan seperti stimulasi otot elektrik (EMS), rangsangan saraf elektrik transkutaneus (TENS), terapi getaran, pistol urutan pemulihan (recovery gun), terapi sejuk (cold therapy) dan peralatan rehabilitasi. Penggunaan teknologi yang tepat dapat membantu proses pemulihan atlet menjadi lebih cepat dan sistematik. Ini menunjukkan bahawa tugas Sports Aider hari ini memerlukan gabungan ilmu sains sukan, teknologi terapi moden dan kemahiran praktikal yang cekap, jauh melangkaui peranan tradisional semata-mata.

Pendedahan kepada penggunaan peralatan teknologi sukan moden dalam proses pemulihan dan rawatan atlet

Secara keseluruhannya, seorang Sports Aider yang kompeten perlu mempunyai sikap profesional, berdisiplin dan tenang ketika berhadapan dengan situasi kecemasan. Merekalah individu pertama yang menjadi harapan atlet ketika ditimpa kecederaan di padang. Usaha memperkasakan Kursus Sports Aider di Malaysia amat penting bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir yang mampu menjaga keselamatan sukan negara ke tahap yang lebih tinggi, selaras dengan komitmen UTM dalam membangunkan kepakaran sukan yang berkualiti dan bertanggungjawab.

Explore More

UTM Open Day