Odisi HijauX terus perkasa pemindahan ilmu e-waste dalam kalangan guru dan pelajar

SDGSDG4SDG11SDG12SDG13

📝 Ringkasan

Program Odisi HijauX di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya memindahkan ilmu berkaitan pengurusan e-waste secara lestari kepada guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Usman Awang, Iskandar Puteri. Program ini telah memberi fokus kepada keupayaan enam orang guru memindahkan semula ilmu yang diperoleh daripada program 2025 kepada komuniti baharu, iaitu seramai 27 orang pelajar Tingkatan Tiga di sekolah tersebut.

JOHOR BAHRU, 22 Mei — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh peranannya sebagai universiti berimpak tinggi melalui pelaksanaan pemantauan pasca program Odisi HijauX: Jejak Lestari Kitar Semula E-Waste Anda! di bawah Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon (IPRK) 5.0. Program ini merupakan kesinambungan kepada inisiatif pemindahan ilmu berkaitan pengurusan e-waste secara lestari dalam kalangan guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Usman Awang, Iskandar Puteri.

Program kali ini memberi fokus kepada keupayaan enam orang guru memindahkan semula ilmu yang diperoleh daripada program 2025 kepada komuniti baharu, iaitu seramai 27 orang pelajar Tingkatan Tiga di sekolah tersebut.

Seramai 27 orang pelajar Tingkatan Tiga SMK Dato’ Usman Awang menyertai program pemantauan pasca sebagai peserta baharu

Terdahulu, program Odisi HijauX: Jejak Lestari Kitar Semula E-Waste Anda! telah diadakan sebanyak empat fasa pemindahan ilmu sepanjang Jun hingga Disember 2025 dan telah menerima pengiktirafan lima bintang daripada Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN), UTM.

Impak positif daripada program pemindahan ilmu di SMK Dato’ Usman Awang dapat dilihat melalui inisiatif juara kumpulan bagi Pertandingan Akhir Inovasi Kitar Semula E-Waste pada tahun 2025 yang menyertai program Pertandingan DIY Teleskop sempena Hari Profesional Teknikal Negara (HPTN 2025) di Persada Johor Bahru. Ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh daripada kumpulan Malaysia United dalam penciptaan DIY Microscope telah dimanfaatkan sepenuhnya ketika Pertandingan DIY Teleskop berlangsung. Ini menunjukkan pelajar berupaya mengaplikasikan sepenuhnya ilmu yang diperoleh semasa sesi pemindahan ilmu pada tahun 2025.

Kejayaan peserta daripada program pemindahan ilmu di SMK Dato’ Usman Awang meraih tempat ketiga dalam Pertandingan DIY Teleskop sempena HPTN 2025

Atas kejayaan ini, pelaksanaan pemantauan pasca program diteruskan dengan memberi peluang kepada para guru memindahkan semula ilmu berkaitan e-waste kepada komuniti baharu. Program ini dilaksanakan melalui pendekatan pembelajaran kolaboratif serta integrasi teknologi digital dan kecerdasan janaan (GenAI) dalam pendidikan kelestarian.

Sepanjang program pemantauan dijalankan, para guru bertindak sebagai fasilitator dengan membimbing pelajar dalam aktiviti perbincangan berkumpulan, refleksi isu e-waste, pembentangan idea serta eksplorasi inovasi berkaitan pengurusan sisa elektronik secara lestari dan sistematik. Penggunaan buku Odisi Malar Hijau turut menjadi medium pembelajaran interaktif yang membantu meningkatkan minat pelajar terhadap isu kelestarian, teknologi hijau dan tanggungjawab sosial terhadap alam sekitar.

Buku Odisi Malar Hijau yang menjadi medium pembelajaran interaktif berkaitan kelestarian

Maklum balas program juga menunjukkan bahawa pendekatan pembelajaran berasaskan komuniti dan penggunaan media interaktif berjaya meningkatkan keyakinan guru dalam memindahkan ilmu berkaitan kelestarian kepada pelajar sekolah. Antara cadangan yang diketengahkan oleh peserta bagi memperkukuh impak program termasuk penggunaan platform media sosial seperti TikTok, Instagram dan YouTube untuk menyebarkan kesedaran berkaitan pengurusan e-waste serta memperluaskan inovasi produk berasaskan sisa elektronik kepada komuniti. Selain itu, para guru turut menunjukkan kecenderungan tinggi untuk mengintegrasikan pendekatan Design Thinking sejajar dengan penggunaan GenAI seperti ChatGPT, Gemini dan NotebookLM dalam memindahkan ilmu berkaitan inovasi e-waste.

Para guru membimbing pelajar dalam kumpulan bagi melengkapkan 13 aktiviti dalam buku Odisi Malar Hijau dengan sokongan GenAI

Pelaksanaan program ini turut mencerminkan penghayatan budaya ISES Universiti Teknologi Malaysia iaitu Integriti, Sinergi, Kecemerlangan dan Kelestarian. Nilai integriti diterapkan melalui pembudayaan kesedaran terhadap tanggungjawab pengurusan sisa elektronik secara beretika dan lestari. Elemen sinergi pula dapat dilihat melalui kerjasama erat antara UTM, pihak sekolah, komuniti dan agensi luar dalam menjayakan agenda pemindahan ilmu.

Program ini mengetengahkan pendekatan pendidikan inovatif melalui integrasi STEM, GenAI, pembelajaran digital dan kreativiti pelajar dari aspek kecemerlangan, manakala nilai kelestarian menjadi tunjang utama program menerusi usaha membentuk komuniti sekolah yang lebih peka terhadap isu alam sekitar dan pembangunan rendah karbon.

Antara hasil janaan lakaran cadangan projek inovasi daripada e-waste menggunakan GenAI

Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi UTM ASCEND 2030 yang menekankan pembangunan bakat masa depan, pemerkasaan komuniti melalui ilmu, inovasi sosial dan pengukuhan jaringan strategik antara universiti dan masyarakat. Pendekatan “school-to-community sustainability hub” yang diketengahkan melalui Odisi HijauX berpotensi menjadi model pendidikan komuniti yang mampu memperkukuh budaya kelestarian dalam kalangan generasi muda.

Melalui pelaksanaan program seperti ini, UTM terus membuktikan komitmennya dalam memperkasa pendidikan lestari dan pembangunan masyarakat melalui pemindahan ilmu yang berimpak tinggi, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 4 berkaitan Pendidikan Berkualiti, SDG 11 berkaitan Bandar dan Komuniti Mampan, SDG 12 berkaitan Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab, dan SDG 13 berkaitan Tindakan Iklim.

Explore More

UTM Open Day