Laluan Kemasukan Pelajar Lepasan di Luar Sistem Pendidikan Kebangsaan ke Universiti Awam dan Keutuhan Dasar Pendidikan Kebangsaan

SDGSDG4SDG10

📝 Ringkasan

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA). Laluan ini tidak mengiktiraf kurikulum UEC, tetapi pelajar yang memiliki SPM penuh boleh memohon kemasukan ke IPTA melalui sistem UPUOnline berdasarkan merit dan syarat-syarat program. KPT menegaskan bahawa SPM akan kekal menjadi penilaian penting bagi kemasukan ke IPTA.

Usaha pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkukuh agenda pembangunan pendidikan tinggi negara menerusi pelbagai inisiatif strategik yang diumumkan sepanjang tahun ini adalah selaras dengan aspirasi memperkasa ekosistem pendidikan tinggi yang inklusif, mampan dan berdaya saing di peringkat global. Ini termasuk pengumuman terkini berkenaan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Azlinda Azman, telah menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan aliran di luar sistem pendidikan kebangsaan adalah institusi yang tidak mengikuti kurikulum kebangsaan seperti sekolah atau institusi tahfiz dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) atau UEC (Unified Examination Certificate) atau Sijil Peperiksaan Bersepadu.

Menurutnya, laluan yang melibatkan calon yang memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh, dalam hal ini mereka boleh memohon kemasukan ke IPTA seperti biasa yang telah pun berlaku bertahun-tahun melalui sistem UPUOnline berdasarkan merit, syarat am dan syarat khas program seperti yang telah ditetapkan oleh IPTA masing-masing.

“There is no recognition on UEC silibus, yang penting kita memberi laluan tersebut dan dalam pemilihan pelajar itu nanti universiti mengikut syarat-syarat dan kriteria akan menilai pelajar,” ujar Datuk Azlinda.

Tambahnya lagi, pelajar akan dinilai berdasarkan keputusan SPM agar semua pelajar dinilai pada satu platform yang sama, penilaian merit yang sama. SPM adalah sangat penting kerana ia adalah kurikulum kebangsaan Malaysia. KPT menegaskan bahawa SPM akan kekal menjadi penilaian menjadi peniaian yang sangat penting bagi kemasukan ke IPTA.

Dekan Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Noraffandy Yahaya berpendapat, dalam menilai keputusan ini, perkara pertama yang perlu dimbil perhatian ialah pemisahan antara “laluan kemasukan terhad” dengan “pengiktirafan penuh”.

Dua lagi ahli akademik dari fakulti yang sama, Prof. Madya Dr. Muhammad Abd Hadi Bunyamin dan Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah juga berpendapat bahawa laluan terhad bermaksud negara menyediakan ruang bersyarat kepada kelompok pelajar tertentu untuk memasuki bidang pengajian yang bersesuaian dengan latar akademik mereka. Pengiktirafan penuh pula membawa maksud kelayakan tersebut diterima secara umum untuk semua program, sebagaimana kelayakan arus perdana seperti SPM, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi atau Asasi.

“Berdasarkan maklumat semasa, keputusan kerajaan lebih hampir kepada pendekatan pertama, bukan kedua. Oleh itu, perbincangan awam harus mengelakkan kesimpulan melampau bahawa dasar pendidikan kebangsaan telah diketepikan,

“Keputusan membuka laluan terhad kepada calon UEC, dengan syarat Bahasa Melayu dan Sejarah serta hanya bagi program tertentu, boleh dilihat sebagai usaha mencari titik keseimbangan antara keterangkuman dan keutuhan dasar pendidikan kebangsaan. Ia bukan keputusan yang harus diraikan secara berlebihan, dan bukan juga keputusan yang wajar ditolak secara emosional,’” tegas mereka.

Dalam pada itu, Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim berkata pendekatan ini bukan bermaksud mengurangkan kepentingan SPM, sebaliknya memperkukuh sistem pendidikan tinggi yang inklusif, berpandukan kualiti dan tetap menghormati teras Dasar Pendidikan Kebangsaan. Ia membuka ruang kepada bakat tempatan daripada pelbagai latar pendidikan untuk menyumbang kepada pembangunan negara, tanpa mengabaikan asas bahasa, sejarah dan identiti kebangsaan.

“Universiti awam, termasuk UTM, sentiasa mendukung usaha memperluas akses kepada pendidikan tinggi berkualiti. Namun, akses tersebut perlu hadir bersama tanggungjawab, kesediaan akademik dan penghayatan terhadap nilai kebangsaan. Dengan pendekatan yang seimbang, Malaysia dapat membangunkan lebih ramai bakat tempatan yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, tetapi juga memahami jati diri, sejarah dan amanah mereka kepada negara,” tambah beliau.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, dalam satu kenyataannya berkata, Kerajaan hari ini mengambil pendekatan yang seimbang, inklusif dan bertanggungjawab dalam memastikan akses pendidikan tinggi dapat diperluaskan tanpa mengorbankan asas Dasar Pendidikan Kebangsaan serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Dalam sebuah negara berdaulat, sistem pendidikan bukan sekadar soal akademik semata-mata. Ia turut melibatkan pembinaan identiti nasional, pengukuhan perpaduan, pemerkasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta kefahaman terhadap sejarah dan kenegaraan Malaysia.

“Atas sebab itu, kerajaan tidak boleh mengubah asas sistem nasional semata-mata untuk memenuhi tuntutan mana-mana aliran pendidikan tertentu. Sebaliknya, mana-mana aliran pendidikan yang mahu mendapat akses lebih luas ke institusi awam perlu menunjukkan kesediaan untuk bergerak dalam kerangka nasional negara ini,’” ujarnya.

Explore More

UTM Open Day