KUDAH Plog n Go FSSH UTM kutip 20 kilogram sampah di Tasik Desa Bakti

SDGSDG3SDG12SDG13SDG15SDG17

📝 Ringkasan

Program ‘KUDAH Plog n Go FSSH’ di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya mengutip 20 kilogram sampah di Tasik Desa Bakti. Program ini merupakan inisiatif kolaboratif antara beberapa kelab pelajar yang bernaung di bawah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), UTM. Tujuan utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan memulihara alam sekitar dalam kalangan warga kampus.

JOHOR BAHRU, 24 Mei – Semangat kesukarelawanan dan keprihatinan terhadap kelestarian alam sekitar terus subur dalam kalangan komuniti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) apabila program ‘KUDAH Plog n Go FSSH’ berjaya dilaksanakan di Tasik Desa Bakti, di sini, hari ini. Program unik yang menggabungkan aktiviti riadah dan khidmat masyarakat ini berjaya mengutip kira-kira 20 kilogram sampah di sekitar kawasan tasik tersebut.

Program yang berkonsepkan ‘Kutip dan Riadah’ atau ringkasnya KUDAH ini merupakan inisiatif kolaboratif antara beberapa kelab pelajar yang bernaung di bawah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), UTM. Kelab yang terlibat secara aktif dalam penganjuran ini ialah Kelab Pelajar Pembangunan Sumber Manusia (SMART) dan Psychology Interactive Club (PSHCHIC).

Peserta program KUDAH Plog n Go 2026 melakukan senaman pemanasan badan sebelum aktiviti kutipan sampah bermula di Tasik Desa Bakti, UTM

Pengarah Program, Nurul Haziqah Affandi, yang juga merupakan mahasiswa tahun satu Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia di FSSH, menyatakan bahawa penganjuran ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada peserta. Seramai 22 orang mahasiswa dan staf UTM telah turun padang bagi menjayakan aktiviti pembersihan tersebut.

Menurut Nurul Haziqah, tujuan utama program ini dijalankan adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan memulihara alam sekitar dalam kalangan warga kampus.

“Kami ingin menerapkan budaya penjagaan alam sekitar sambil menjaga kesihatan diri melalui aktiviti senaman ringan seperti berjalan kaki atau plogging. Selain itu, objektif penting program ini adalah untuk mengeratkan silaturahim antara mahasiswa UTM daripada pelbagai tahun dan latar belakang.

“Kita sedia maklum bahawa kesibukan rutin harian sebagai pelajar sering kali membataskan interaksi sosial, jadi program seperti ini menjadi platform terbaik untuk kita saling mengenali dan bersembang santai di luar bilik kuliah,” jelasnya.

Pengarah Program KUDAH Plog n Go 2026, Nurul Haziqah Affandi (kanan), bergambar kenangan bersama peserta sebelum program bermula

Kejayaan penganjuran ini turut disokong oleh kerjasama strategik daripada beberapa Pusat Tanggungjawab (PTJ) dalam universiti serta pihak luar. Antara yang terlibat memberikan sokongan ialah Pusat Kaunseling UTM, Pusat Kesihatan Universiti serta agensi swasta, DUKE Training and Consultancy.

Para peserta program KUDAH Plog n Go 2026 bersedia untuk memulakan aktiviti kutipan sampah di sekitar kawasan Tasik Desa Bakti

“Penglibatan pelbagai pihak ini membuktikan bahawa usaha menjaga kebersihan alam sekitar adalah tanggungjawab kolektif yang memerlukan sinergi daripada semua lapisan masyarakat.

“Penganjuran program berimpak tinggi ini diharapkan dapat menjadi contoh kepada mahasiswa lain untuk terus proaktif dalam aktiviti kesukarelawanan. Pihak penganjur turut berharap agar program KUDAH dapat diteruskan pada masa hadapan di lokasi lain bagi memastikan budaya menjaga kebersihan terus menjadi gaya hidup dalam kalangan warga UTM,” katanya menutup perbualan.

Peserta program mengutip sampah menggunakan penyepit khas dalam aktiviti pembersihan kawasan sekitar Tasik Desa Bakti sempena KUDAH Plog n Go 2026

Inisiatif program ‘KUDAH Plog n Go’ ini turut bernaung di bawah beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Antara matlamat yang paling relevan dengan aktiviti tersebut ialah matlamat berkaitan Kesihatan dan Kesejahteraan (SDG 3), Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab (SDG 12), Tindakan Iklim (SDG 13), Hidupan Darat (SDG 15) dan Perkongsian Demi Matlamat (SDG 17). Secara keseluruhannya, inisiatif ini merupakan satu pendekatan holistik yang bukan sahaja menyentuh aspek fizikal dan kebersihan, malah memupuk nilai sosial serta kerjasama strategik dalam kalangan komuniti UTM.

Explore More

UTM Open Day