Kesopanan dan Kesusilaan Rukun Negara, panduan moral pelajar universiti dalam era AI

SDGSDG4SDG16

📝 Ringkasan

Pelajar universiti perlu menggunakan teknologi AI dengan beretika dan bertanggungjawab. Prinsip Kesopanan dan Kesusilaan dalam Rukun Negara masih relevan dalam era kecerdasan buatan. AI boleh membantu meningkatkan kesantunan bahasa dan memperbaiki komunikasi, tetapi pelajar perlu sedar bahawa kesantunan sebenar bukan hanya terletak pada pilihan perkataan, tetapi juga pada niat, empati dan tanggungjawab terhadap kesan kata-kata mereka.

Rukun Negara bukan sekadar ikrar yang dilafazkan dalam majlis rasmi, tetapi satu kerangka nilai yang membentuk keperibadian rakyat Malaysia. Dalam konteks pendidikan tinggi, prinsip kelima, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan, amat penting kerana universiti bukan sahaja melahirkan graduan berilmu, malah membentuk insan yang beradab, bertanggungjawab dan berintegriti. Namun, dalam era kecerdasan buatan (AI), prinsip ini perlu ditafsir semula agar selari dengan cabaran semasa, khususnya dalam kalangan pelajar universiti yang semakin bergantung kepada teknologi digital.

AI telah membawa perubahan besar dalam dunia pembelajaran. Pelajar kini boleh mendapatkan maklumat, menyemak tatabahasa, meringkaskan nota, menjana idea dan menyiapkan tugasan dengan lebih pantas. Teknologi ini pada asasnya bukan ancaman, malah boleh menjadi alat sokongan yang berkesan sekiranya digunakan secara bijaksana.

Namun, persoalan yang lebih penting ialah sejauh mana pelajar menggunakan AI secara beretika, sopan dan bertanggungjawab. Di sinilah prinsip Kesopanan dan Kesusilaan perlu dijadikan panduan moral dalam menentukan batas penggunaan teknologi.

Tanggungjawab pelajar dalam era AI bermula dengan integriti akademik. Menyiapkan tugasan menggunakan AI sepenuhnya tanpa memahami kandungan, menyalin jawapan yang dijana mesin atau menyerahkan hasil kerja mesin sebagai karya sendiri merupakan bentuk ketidakjujuran akademik. Perbuatan ini bukan sahaja mencemarkan nilai ilmu, malah melemahkan jati diri pelajar sebagai pencari ilmu.

Dalam ucaptama Persidangan InvENT 2024, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa kecerdasan buatan perlu diaplikasikan secara bertanggungjawab dan beretika. Beliau turut mengingatkan tentang sisi gelap teknologi ini yang boleh menghakis kepercayaan terhadap realiti digital, mengubah persepsi, mencetuskan kekeliruan dan mengancam integriti maklumat.

Isu plagiarisme berasaskan AI semakin membimbangkan. Kajian pada tahun 2025 menjelaskan bahawa terdapat kebimbangan apabila pelajar menyalahgunakan teknologi ini untuk melengkapkan tugasan secara automatik tanpa kefahaman sebenar. Laporan lain turut menekankan risiko terhadap kualiti maklumat yang digunakan oleh pelajar, khususnya apabila mereka menerima jawapan mesin tanpa menilai kesahihan sumber. Keadaan ini menunjukkan bahawa cabaran utama bukan pada kewujudan AI, tetapi pada sikap pengguna yang gagal membezakan antara bantuan pembelajaran dengan penipuan akademik.

Selain integriti akademik, kesopanan digital juga menjadi aspek penting dalam tafsiran baharu prinsip kelima Rukun Negara. Teknologi AI boleh disalahgunakan untuk menyunting gambar, menghasilkan video palsu, meniru suara dan menyebarkan kandungan yang menjatuhkan maruah orang lain. Utusan Malaysia pada 12 April 2025 melaporkan kes seorang remaja di Johor yang menyunting dan menjual gambar lucah menggunakan AI melibatkan 40 mangsa.

Kes seperti ini jelas bertentangan dengan nilai kesusilaan kerana mencabul maruah, privasi dan keselamatan emosi individu. Laporan lain turut mendedahkan bahawa mangsa penyalahgunaan imej digital boleh mengalami trauma emosi, tekanan psikologi, ketakutan dan rasa malu yang mendalam.

Kebergantungan berlebihan terhadap AI juga boleh melemahkan daya fikir pelajar. Seorang responden pada tahun 2024 menyatakan bahawa penggunaan kecerdasan buatan secara tidak terkawal berpotensi mengurangkan keupayaan kognitif untuk berfikir secara kreatif dan kritis, serta boleh mengurangkan daya usaha dan semangat belajar kendiri.

Apabila pelajar terlalu cepat menyerahkan proses berfikir kepada mesin, mereka berisiko menjadi pasif, kurang berdaya cipta dan kurang yakin dengan kemampuan sendiri. Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh melahirkan graduan yang mahir menggunakan alat, tetapi lemah dari segi pertimbangan nilai, empati dan kebijaksanaan manusiawi.

Walau bagaimanapun, AI tidak wajar ditolak secara mutlak. Sebaliknya, teknologi ini perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh nilai kesopanan dan kesusilaan. Langkah pertama ialah mengamalkan pemantauan kendiri. Pelajar boleh menggunakan AI sebagai alat semakan sebelum menghantar tugasan, menulis e-mel, membuat hantaran media sosial atau memberi maklum balas dalam perbincangan dalam talian.

Teknologi ini boleh membantu mengesan nada kasar, perkataan menyinggung, struktur ayat yang kabur dan hujah yang tidak seimbang. Amalan ini melatih pelajar untuk berfikir sebelum menaip, sekali gus mengurangkan buli siber, salah faham dan komunikasi yang tidak beradab.

Selain itu, AI boleh digunakan sebagai medium latihan moral. Pelajar boleh meminta teknologi ini menjana situasi dilema etika, contohnya sama ada wajar menggunakan jawapan yang dijana mesin tanpa menyatakan bantuan tersebut, menyebarkan gambar rakan tanpa izin atau meniru gaya penulisan orang lain.

Melalui simulasi ini, pelajar boleh menilai pilihan tindakan, memberi alasan dan menerima maklum balas. Kaedah ini menjadikan pembelajaran etika lebih dekat dengan realiti kehidupan digital mereka. Dalam masa yang sama, pensyarah boleh membimbing pelajar agar tidak hanya mencari jawapan yang betul, tetapi memahami sebab sesuatu tindakan dianggap beretika atau tidak.

AI juga boleh membantu meningkatkan kesantunan bahasa. Aplikasi seperti Grammarly, ChatGPT dan Hemingway Editor mampu mencadangkan ayat yang lebih jelas, sopan dan tersusun. Dalam konteks universiti, kemahiran berkomunikasi secara beradab amat penting, sama ada ketika berhubung dengan pensyarah, rakan sekumpulan, staf pentadbiran atau masyarakat luar. Kajian Rabin dan rakan penyelidik lain pada tahun ini juga menunjukkan bahawa AI berpotensi membantu meningkatkan penyampaian yang lebih sopan dalam komunikasi. Namun, pelajar perlu sedar bahawa kesantunan sebenar bukan hanya terletak pada pilihan perkataan, tetapi juga pada niat, empati dan tanggungjawab terhadap kesan kata-kata mereka.

Natijahnya, prinsip Kesopanan dan Kesusilaan dalam Rukun Negara kekal relevan, malah semakin penting dalam era kecerdasan buatan. Teknologi ini boleh menjadi peluang besar untuk memperkaya pembelajaran, memperbaiki komunikasi dan melatih pertimbangan moral. Namun, tanpa integriti dan kawalan diri, teknologi yang sama boleh membawa kepada plagiarisme, penyalahgunaan imej, kemerosotan daya fikir dan keruntuhan adab digital.

Oleh itu, pelajar universiti perlu melihat AI bukan sebagai jalan pintas, tetapi sebagai alat bantu yang mesti digunakan dengan ilmu, etika dan tanggungjawab. Apabila teknologi dipandu oleh nilai Rukun Negara, khususnya Kesopanan dan Kesusilaan, universiti mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja cerdas secara digital, tetapi juga matang, beradab dan bermaruah.

 

Disediakan oleh Muhammad Amir Syafiq Idris, Eksekutif Akademik, SPACE UTM

Explore More

UTM Open Day