Karnival Selamat FKT 2026 perkukuh budaya OSH kepada warga universiti dan komuniti sekolah

SDGSDG3SDG4SDG8SDG11SDG12SDG16

📝 Ringkasan

Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Karnival Selamat FKT 2026 dengan tema “Budaya Selamat Tanggungjawab Bersama”. Karnival ini bertujuan memupuk kesedaran dan amalan keselamatan serta kesihatan pekerjaan (OSH) dalam kalangan warga FKT, staf, pelajar serta komuniti luar. Program ini menampilkan pelbagai pengisian menarik dan mendidik, termasuk pertandingan inovasi Safethon 2026, aktiviti OSH Treasure Hunt, forum kesihatan dan kesejahteraan, dan demonstrasi keselamatan hidupan liar. Karnival ini berjaya menarik penyertaan luas daripada pelbagai lapisan komuniti universiti dan komuniti sekolah.

JOHOR BAHRU, 13 Mei – Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Karnival Selamat FKT 2026 (OSH Day) bertempat di Dewan Kuliah 1, N11a UTM dengan penuh meriah dan berinformasi, mengangkat tema “Budaya Selamat Tanggungjawab Bersama”.

Karnival tahunan ini menjadi platform utama dalam memupuk kesedaran dan amalan keselamatan serta kesihatan pekerjaan (OSH) dalam kalangan warga FKT, staf, pelajar serta komuniti luar termasuk guru dan pelajar sekolah. Program ini merupakan inisiatif fakulti untuk menanam nilai keselamatan dan kesejahteraan sejajar dengan pendekatan lestari UTM di bawah naungan Pusat Pelestarian Kampus UTM (UTMCCS) dan Pejabat Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE) UTM.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor menunjukkan cara pengendalian ular berbisa yang selamat dalam demonstrasi keselamatan hidupan liar kepada peserta Karnival Selamat FKT 2026

Karnival yang berlangsung sepanjang hari itu menampilkan pelbagai pengisian menarik dan mendidik, antaranya pertandingan inovasi Safethon 2026, aktiviti OSH Treasure Hunt, forum kesihatan dan kesejahteraan bertajuk “Healthy Mind, Healthy Body” yang membincangkan isu kesihatan secara holistik, demonstrasi keselamatan hidupan liar oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, serta sesi kesedaran mengenai ergonomik di tempat kerja yang merupakan bahaya tipikal yang boleh dihadapi oleh golongan pekerja di pejabat. Penganjuran karnival ini berjaya menarik penyertaan luas daripada pelbagai lapisan komuniti universiti, termasuk staf akademik dan bukan akademik, pelajar sarjana muda serta pelajar dari sekolah menengah sekitar Johor Bahru.

Suasana forum Healthy Mind, Healthy Body yang mendapat sambutan ramai dalam kalangan warga FKT, staf, pelajar dan tetamu jemputan sepanjang Karnival Selamat FKT 2026

Penyertaan aktif kumpulan pelajar sekolah dalam Safethon 2026 menjadi tarikan utama program dan mendapat sambutan hangat daripada peserta serta para juri industri. Ini merupakan julung kali program seumpama ini diadakan, diinspirasikan daripada konsep hackathon tetapi menggunakan isu keselamatan dan kesihatan sebagai pernyataan masalah. Para peserta perlu menganalisis data yang diberikan, mengemukakan cadangan penyelesaian yang inovatif dan praktikal serta menyediakan storyboard pembentangan dalam masa hanya empat jam.

Majlis penutup Karnival Selamat FKT 2026 disempurnakan dengan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan inovasi Safethon 2026 dan aktiviti berkaitan
Peserta Safethon 2026 menyampaikan pembentangan inovasi penyelesaian mereka kepada panel juri industri dalam sesi pitching selama lima minit

Menurut Pengerusi Karnival Selamat FKT 2026, Prof. Madya Ir. Dr. Mimi Haryani Hassim, objektif utama program ialah untuk membina budaya kerja dan pembelajaran yang lebih selamat serta sihat.

“Budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan bukan sekadar mematuhi peraturan, tetapi ia merupakan gaya hidup yang perlu diamalkan setiap hari, di makmal, di pejabat, malah di rumah. Kami amat berbesar hati melihat penglibatan aktif setiap lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah dan warga universiti dalam menjayakan karnival ini,” ujar beliau semasa menyampaikan ucapan penutup.

Sementara itu, Dekan FKT, Prof. Dr. Mat Uzir Wahit, menegaskan bahawa pelaksanaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di persekitaran fakulti adalah satu keutamaan utama dalam memelihara kesejahteraan komuniti fakulti.

“Di fakulti yang berteraskan sains dan kejuruteraan, kita tidak boleh berkompromi terhadap keselamatan. Pendekatan melalui acara seperti Karnival Selamat amat penting bagi membina kefahaman mendalam dan sikap bertanggungjawab terhadap amalan OSH dalam semua aspek kerja dan pembelajaran,” katanya ketika merasmikan majlis.

Karnival ini turut menerima maklum balas positif daripada Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP), Ir. Hazlina Mat Yon, yang menyampaikan ucapan penghargaan khas atas inisiatif FKT.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi syabas kepada Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga UTM kerana berjaya menganjurkan Karnival Selamat berskala besar ini yang melibatkan bukan sahaja warga fakulti dan UTM, tetapi juga pelajar sekolah, guru serta agensi luar seperti JBPM dan pihak industri sebagai juri.

“Saya paling teruja dengan penglibatan pelajar sekolah kerana ia selaras dengan aspirasi Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (OSHMP 2026-2030) yang turut menekankan kepentingan pengintegrasian kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sekolah, seperti projek rintis Kelab OSH di 17 buah sekolah rendah dan menengah seluruh negara yang telah dilancarkan semasa tempoh OSHMP 2021-2025,” ujar beliau.

Peserta dari dalam dan luar UTM menyifatkan karnival ini sebagai medan pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna. Panel jemputan forum Healthy Mind, Healthy Body daripada fakulti lain serta Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang turut memuji usaha FKT dalam penganjuran karnival berteraskan keselamatan dan kesihatan secara besar-besaran ini.

Peserta menjalani sesi analisis komposisi badan dan mendapatkan rundingan daripada pegawai dietetik Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang

Secara keseluruhannya, Karnival Selamat FKT 2026 berjaya mencapai matlamat penganjurannya dalam memupuk budaya selamat dan sihat, bukan sahaja dalam kalangan warga universiti tetapi juga memanjangkannya kepada komuniti sekolah dan masyarakat luar. Penganjuran program seumpama ini sekali lagi membuktikan komitmen FKT dan UTM dalam memperkukuh agenda keselamatan dan kesejahteraan sejajar dengan prinsip Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) berkaitan Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik, serta aspirasi OSHMP 2026-2030 negara.

Explore More

UTM Open Day