Jerayawara Siswa KITASelangor Zon Selatan perkukuh hubungan strategik bersama mahasiswa anak Selangor

SDGSDG4SDG8SDG9SDG10SDG16

📝 Ringkasan

Program Jerayawara Siswa KITASelangor Zon Selatan diadakan di UTM bagi meningkatkan hubungan strategik antara kerajaan negeri dan mahasiswa anak Selangor. Program ini melibatkan pelbagai agensi penting dan menawarkan peluang pekerjaan, bantuan digital dan platform dialog untuk mahasiswa. Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, menyifatkan Selangor sebagai nadi ekonomi Malaysia dan menekankan pentingnya pembangunan modal insan melalui sektor pendidikan berkualiti.

JOHOR BAHRU, 16 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh hubungan strategik dengan menjadi tuan rumah kepada penganjuran program Jerayawara Siswa KITASelangor (JSS) bagi Zon Selatan yang menghubungkan kerajaan negeri dengan mahasiswa anak Selangor. Program yang berlangsung di Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) ini merupakan siri ketujuh dalam rangkaian jelajah negeri tersebut selepas kejayaan penganjuran di beberapa institusi pengajian tinggi lain, termasuk di Sabah, Pulau Pinang dan Pahang.

Inisiatif ini diterajui oleh Jawatankuasa Tetap Pendidikan dan Modal Insan Negeri Selangor bersama Yayasan Selangor dengan jalinan kolaborasi strategik daripada pelbagai agensi penting seperti Yayasan Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (Yayasan MBI), Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS). Penganjuran ini dilihat amat signifikan memandangkan UTM mempunyai kira-kira 2,500 mahasiswa Selangor yang berdaftar daripada jumlah keseluruhan 32,000.

Majlis tersebut dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, yang mewakili Naib Canselor UTM. Dalam penyampaiannya, beliau menzahirkan penghargaan atas kepercayaan kerajaan negeri memilih UTM sebagai tuan rumah bagi menyantuni mahasiswa anak Selangor. Beliau menegaskan bahawa kehadiran pimpinan tertinggi negeri ke universiti bukan sekadar kunjungan rasmi, malah membawa makna besar dalam membina ekosistem yang menghubungkan universiti, kerajaan dan industri secara bersepadu.

“Dalam mendepani cabaran masa kini, mahasiswa bukan sahaja perlu cemerlang dalam bidang akademik seperti kejuruteraan dan sains data, tetapi juga wajib memiliki nilai adab serta sahsiah yang tinggi. Program sebegini merupakan platform terbaik bagi mahasiswa untuk berinteraksi secara langsung dan memberikan pandangan bagi mencorakkan masa depan negara yang lebih gemilang,” ujar beliau.

Menurut beliau lagi, kerjasama erat bersama Yayasan Selangor dan kerajaan negeri akan terus diperkukuh bagi memastikan agenda Malaysia MADANI yang berjiwa ihsan dapat diterapkan dalam sanubari setiap pelajar.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, menyampaikan ucapan alu-aluan mewakili Naib Canselor UTM sempena program Jerayawara Siswa KITASelangor Zon Selatan

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, menyifatkan Selangor sebagai nadi ekonomi atau Heartbeat of Malaysia. Beliau menjelaskan bahawa kekuatan utama Selangor tidak terletak pada sumber bahan mentah, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada pembangunan modal insan melalui sektor pendidikan yang berkualiti.

“Penekanan terhadap nilai ihsan dan daya tahan menjadi teras utama dalam tadbir urus agar kemakmuran dapat dinikmati secara inklusif oleh semua lapisan masyarakat menerusi Iltizam Selangor Penyayang,” tambahnya.

Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan amanat kepada mahasiswa anak Selangor sempena program Jerayawara Siswa KITASelangor Zon Selatan di UTM

Kemuncak program tersebut menyaksikan Sesi Dialog Santai Anak Selangor antara Dato’ Seri Amirudin Shari bersama mahasiswa yang membincangkan pelbagai isu berkaitan kerjaya dan cabaran teknologi masa hadapan.

“Setiap mahasiswa perlu mula merancang hala tuju kerjaya seawal tahun pertama pengajian dan tidak hanya bergantung kepada aliran semasa. Perancangan yang teliti akan membantu pelajar menguasai kemahiran yang relevan dengan keperluan industri, sekali gus memastikan mereka terus berdaya saing di peringkat global,” nasihat beliau kepada mahasiswa yang hadir.

Mengulas mengenai peluang pekerjaan, Dato’ Seri Amirudin Shari mendedahkan bahawa Selangor merupakan hab utama bagi industri aeroangkasa dan automotif negara dengan penglibatan syarikat gergasi antarabangsa. Mahasiswa juga diingatkan agar sentiasa peka terhadap perubahan teknologi seperti kecerdasan buatan bagi memastikan mereka mampu menjadi penggerak utama kepada transformasi digital negara.

Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) menjawab soalan mahasiswa dalam Sesi Dialog Santai Anak Selangor sempena Jerayawara Siswa KITASelangor Zon Selatan
Seorang mahasiswa anak Selangor mengemukakan soalan kepada Dato’ Seri Amirudin Shari semasa sesi dialog interaktif

Dalam perkembangan yang sama, majlis turut menyaksikan pelancaran Program Data Internet Selangor yang direka khas bagi membantu merapatkan jurang digital dalam kalangan mahasiswa. Selain itu, kerajaan negeri juga mengambil peluang untuk menyantuni pelajar melalui penyerahan surat tawaran Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) yang melibatkan pemberian insentif sebanyak RM1,000 bagi setiap penerima yang layak.

Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga dari kiri) menyerahkan insentif Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) bernilai RM1,000 kepada penerima yang layak dalam kalangan mahasiswa anak Selangor di UTM
Dato’ Seri Amirudin Shari (empat dari kiri) melancarkan Program Data Internet Selangor yang direka khas bagi merapatkan jurang digital dalam kalangan mahasiswa anak Selangor

Dari sudut kepimpinan, program ini menandakan detik bersejarah dengan penubuhan rasmi Persatuan Mahasiswa Selangor (MASEL) di UTM bagi melengkapkan jaringan persatuan mahasiswa Selangor di kesemua 20 universiti awam di seluruh Malaysia. Bagi menyemarakkan semangat kesukanan, sesi penyerahan bendera kontinjen Selangor untuk Liga Sukan Anak Negeri (LASKAR) 2026 dilaksanakan secara simbolik melalui penyerahan jersi kepada wakil kontinjen mahasiswa yang bakal bersaing dalam acara seperti futsal dan e-sukan.

Dato’ Seri Amirudin Shari (empat dari kiri) menyempurnakan penyerahan jersi kontinjen Selangor kepada wakil atlet mahasiswa UTM sebagai simbolik sokongan kerajaan negeri terhadap penyertaan dalam Liga Sukan Anak Negeri (LASKAR) 2026
Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan penubuhan rasmi Persatuan Mahasiswa Selangor (MASEL) di UTM, melengkapkan jaringan persatuan mahasiswa Selangor di seluruh 20 universiti awam Malaysia

Aspek inovasi turut diberi penekanan melalui penglibatan SIDEC yang memperkenalkan Program Young Innovator MetaSEL Pitching 2026 sebagai medan mencungkil idea kreatif mahasiswa dalam bidang teknologi. Pada masa yang sama, PPAS membentangkan peranan baharu perpustakaan sebagai pusat pembelajaran komuniti yang dinamik melalui inisiatif seperti Skim Pinjaman Teknologi Asas (SEPINTAS) bagi menyokong keperluan akademik pelajar.

Turut diadakan sesi cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk komputer riba serta hadiah utama berupa sebuah motosikal Honda Wave Alpha.

Seorang mahasiswa anak Selangor yang bertuah menerima hadiah utama berupa sebuah motosikal Honda Wave Alpha sempena sesi cabutan bertuah program Jerayawara Siswa KITASelangor Zon Selatan

Penganjuran Jerayawara Siswa KITASelangor Zon Selatan ini secara keseluruhannya menjadi bukti nyata terhadap komitmen berterusan Kerajaan Negeri Selangor dalam memartabatkan agenda modal insan serta kebajikan mahasiswa anak negeri. Melalui integrasi inisiatif pendidikan, bantuan digital serta platform dialog yang inklusif, program ini berjaya membina jambatan strategik yang menghubungkan aspirasi generasi muda dengan visi pembangunan Selangor yang lebih berdaya saing dan mampan.

Dengan berakhirnya siri ketujuh program ini, sinergi antara universiti dan kerajaan negeri dapat terus diperkukuh demi melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir dalam teknologi, malah memiliki jati diri dan nilai ihsan yang tinggi selaras dengan impian Malaysia MADANI.

Dato’ Seri Amirudin Shari bersama pimpinan UTM, wakil agensi dan mahasiswa anak Selangor bergambar kenangan sempena program Jerayawara Siswa KITASelangor Zon Selatan di UTM Johor Bahru

Explore More

UTM Open Day