Inovasi kaki palsu 3D UTM bawa sinar harapan, kos kini lebih murah dan selesa

SDGSDG3SDG8SDG9SDG10

📝 Ringkasan

Pasukan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menghasilkan kaki palsu 3D yang lebih murah dan selesa menggunakan teknologi cetakan tiga dimensi. Inovasi ini dapat mengurangkan kos pembuatan sehingga 30 peratus dan membolehkan harga kaki palsu jauh lebih berpatutan berbanding harga pasaran sedia ada. Kaki palsu 3D ini juga direka untuk membolehkan pengguna melakukan pelbagai aktiviti seperti menaiki tangga, memandu kenderaan, dan menunggang motosikal.

Tiada siapa pernah menjangka bahawa satu detik dalam kehidupan mampu mengubah segalanya. Bagi sesetengah individu, keperluan untuk menggunakan alat bantuan mobiliti menjadi sebahagian daripada realiti kehidupan seharian yang perlu dihadapi dengan penuh ketabahan.

Namun keinginan untuk terus berdikari dan aktif sering kali terbendung oleh satu halangan yang nyata, iaitu kos kaki palsu yang mencecah ribuan ringgit. Keadaan ini menyebabkan ada yang terpaksa berpuas hati dengan kaki palsu yang sudah uzur dan rosak selama bertahun-tahun lamanya.

Masalah utama yang membelenggu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di negara ini adalah bebanan kewangan untuk memiliki alat bantuan mobiliti yang berkualiti. Kos sebuah kaki palsu konvensional di pasaran biasanya bermula daripada RM5,000 ke atas, satu angka yang amat besar bagi mereka yang sudah sedia terbeban dengan kos rawatan kesihatan. Ketidakmampuan ini memaksa sebahagian pengguna menggunakan kaki palsu yang sama sehingga bertahun-tahun lamanya walaupun ia sudah tidak lagi sesuai atau selesa untuk dipakai.

Selain faktor kos, masalah keselesaan pada bahagian soket, iaitu bahagian yang menyambungkan anggota badan dengan kaki palsu, sering menjadi keluhan utama golongan OKU. Soket yang tidak padan boleh menyebabkan kesakitan, kulit melecet, timbulnya ulser, kebas, malah luka yang sukar sembuh bagi pengguna yang mempunyai masalah diabetes.

Menyedari penderitaan senyap ini, sekumpulan penyelidik dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan (JKBSK), Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah tampil dengan satu solusi revolusioner. Di bawah pimpinan Ketua Projek dari UTM, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Muhammad Hanif Ramlee, mereka menjalin kerjasama strategik dengan beberapa pihak industri bagi menghasilkan kaki palsu menggunakan teknologi cetakan tiga dimensi (3D).

Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Muhammad Hanif Ramlee menjelaskan keistimewaan teknologi cetakan tiga dimensi yang diaplikasikan dalam penghasilan kaki palsu inovasi UTM

Inovasi ini bukan sekadar gimik teknologi, tetapi merupakan usaha serius untuk mengurangkan kos pembuatan sehingga 30 peratus, sekali gus membolehkan harga kaki palsu jauh lebih berpatutan berbanding harga pasaran sedia ada. Kesungguhan pasukan penyelidik UTM dalam membangunkan inovasi ini turut diiktiraf secara rasmi apabila sebanyak enam harta intelek berjaya didaftarkan bagi kaki palsu tiga dimensi ini. Pecahannya merangkumi satu paten yang telah diluluskan, empat hak cipta dan satu reka bentuk industri.

Antara harta intelek yang berjaya didaftarkan hasil inovasi kaki palsu tiga dimensi oleh pasukan penyelidik UTM

Keistimewaan utama inovasi kaki palsu tiga dimensi UTM ini terletak pada tumpuan yang sangat tinggi terhadap keselesaan bahagian soket dan juga parameter pencetakan 3D. Penyelidik menekankan bahawa soket merupakan titik sentuhan terus antara alat bantuan dengan kulit pengguna, menjadikannya elemen paling kritikal dalam menentukan keselesaan keseluruhan.

“Berbanding kaedah konvensional yang memerlukan pengguna melalui proses pembuatan acuan yang rumit dan tidak selesa di klinik, inovasi ini menggunakan teknologi imbasan tiga dimensi tanpa sentuhan bagi menangkap butiran geometri kaki dengan lebih tepat. Data daripada imbasan tersebut kemudiannya diproses menggunakan perisian khas sebelum dicetak menggunakan pencetak 3D mengikut parameter pencetakan 3D yang optimum serta dengan bahan polimer atau gentian yang kukuh namun ringan,” jelas beliau mengenai inovasi tersebut.

Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Muhammad Hanif Ramlee menjalankan proses pengimbasan tiga dimensi pada bahagian kaki pengguna bagi menghasilkan reka bentuk soket yang tepat dan selesa sebelum proses cetakan dilakukan
Paparan perisian yang menampilkan reka bentuk soket yang akan dicetak
Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Muhammad Hanif Ramlee menunjukkan bahagian soket pada kaki palsu tiga dimensi yang menjadi tumpuan utama dalam memastikan keselesaan optimum pengguna semasa pemakaian harian

Proses penghasilan soket ini turut melibatkan pelbagai fasa ujian seperti analisis mekanikal ISO10328, thermal, kinematik dan maklum balas yang berterusan. Selepas soket pertama dicetak dan dicuba oleh pengguna, penyelidik akan mengumpulkan maklum balas terperinci tentang bahagian yang kurang selesa sebelum melakukan reka semula dan cetakan semula sehinggalah versi akhir yang paling selesa berjaya dihasilkan. Matlamat akhirnya adalah untuk memastikan pengguna merasa selesa seolah-olah hanya memakai sepasang kasut biasa. Keseluruhan proses daripada imbasan sehinggalah pemasangan lengkap biasanya mengambil masa sekitar dua hingga empat minggu.

Impak daripada inovasi ini sangat mendalam, bukan sahaja dari sudut ekonomi malah turut menyentuh kualiti hidup pengguna secara keseluruhan.

“Pengguna kini mempunyai peluang untuk kembali bergaul, bekerja, malah menjalankan aktiviti harian secara berdikari. Penggunaan bahan yang bersifat boleh terurai secara biologi turut memberikan kesan positif kepada alam sekitar kerana ia mengurangkan pencemaran sisa toksik berbanding bahan kimia dalam pembuatan tradisional. Selain itu, kaki palsu 3D ini direka untuk membolehkan pengguna melakukan pelbagai aktiviti seperti menaiki tangga, memandu kenderaan, malah menunggang motosikal,” tambah beliau mengenai keunikan inovasi berkenaan.

Salah seorang pelajar di bawah seliaan Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Muhammad Hanif Ramlee menunjukkan proses pemasangan komponen kaki palsu tiga dimensi, yang direka bentuk khusus mengikut geometri unik setiap pengguna

Maklum balas daripada mereka yang telah menerima manfaat inovasi ini sangat menyentuh hati. Salah seorang pengguna, Mohd Adi Md Sanif, staf di Bahagian Keselamatan UTM turut berkongsi pengalamannya melalui proses pemulihan selepas menjalani pembedahan amputasi akibat komplikasi paras gula darah yang tinggi. Beliau menceritakan cabaran fasa awal pemulihan yang memerlukan kekuatan dalaman yang besar, namun sokongan isteri dan kehadiran kaki palsu inovasi UTM ini telah menjadi titik perubahan dalam kehidupannya.

“Kaki palsu ini sangat memudahkan urusan harian saya. Saya kini bebas pergi ke mana-mana lokasi dan mampu membawa kenderaan sendiri. Dari segi keselesaan pula, saya akui bahawa reka bentuk soket 3D ini jauh lebih selesa berbanding kaki palsu konvensional yang kadangkala kurang tepat pada bahagian tertentu,” ujar beliau.

Adi menunjukkan demonstrasi berjalan menggunakan kaki palsu tiga dimensi inovasi UTM, kini mampu menjalankan aktiviti harian secara berdikari

Walau bagaimanapun, perjalanan inovasi ini tidak terlepas daripada cabarannya yang tersendiri. Salah satu kekangan utama ialah ketahanan jangka panjang bahan cetakan 3D. Buat masa ini, jangka hayat soket cetakan 3D adalah sekitar dua hingga lima tahun bergantung kepada kekerapan aktiviti pengguna, manakala bahagian lain seperti pilon (pylon) dan penyesuai (adapter) boleh bertahan sehingga tujuh tahun.

Selain itu, kaki palsu jenis ini masih mempunyai had dalam aktiviti lasak seperti berlari atau mendaki gunung yang memerlukan daya tahan bahan yang jauh lebih tinggi. Proses penyesuaian diri pengguna juga memerlukan masa yang agak lama, kadangkala sehingga tiga bulan, bagi memastikan keselesaan optimum dan mengelakkan kecederaan.

Memandang ke hadapan, kumpulan penyelidik mempunyai visi yang besar untuk terus memperkasakan teknologi ini. Mereka kini sedang giat membangunkan versi baharu yang dinamakan Buku Lali Aktif (Active Ankle). Matlamatnya adalah untuk menghasilkan pergerakan yang lebih semula jadi agar pengguna dapat bergerak dengan lebih lancar dan selesa. Walaupun Active Ankle ini masih berada di peringkat prototaip dan ujian makmal, ia memberikan sinar harapan baharu dalam dunia prostetik tempatan. Selain itu, mereka juga merancang untuk meluaskan manfaat ini melalui tabung bantuan crowdfunding dan kerjasama tanggungjawab sosial korporat bagi membantu lebih ramai golongan yang memerlukan.

Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Muhammad Hanif Ramlee bersama pasukan penyelidik UTM merakamkan gambar kenangan bersama Adi, staf keselamatan UTM yang turut merupakan pengguna kaki palsu tiga dimensi hasil inovasi mereka

Secara keseluruhannya, inovasi kaki palsu tiga dimensi hasil sentuhan pakar tempatan ini membuktikan bahawa teknologi canggih mampu menjadi alat bantuan kemanusiaan yang berkesan. Ia bukan sekadar tentang bahan dan komponen, tetapi tentang mengembalikan keyakinan, motivasi dan kebebasan bergerak kepada mereka yang memerlukan. Dengan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, diharapkan teknologi ini dapat dikomersialkan sepenuhnya agar tiada lagi golongan yang terpinggir daripada arus perdana masyarakat dek kerana kekangan kewangan dan keterbatasan keupayaan diri.

Explore More

UTM Open Day