📝 Ringkasan
Forum “Breaking the Silence” telah diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu neurodivergens, terutama autisme, dan memperkukuh sokongan sosial dan emosi kepada keluarga yang terlibat. Forum ini juga memberi penekanan pada kepentingan sensitiviti budaya dalam memahami pengalaman individu neurodivergen dan penjaga mereka.
JOHOR BAHRU, 12 Mei – Kesedaran terhadap isu neurodivergens semakin mendapat perhatian dalam masyarakat, khususnya berkaitan cabaran yang dihadapi oleh individu autisme dan keluarga mereka dalam konteks budaya yang pelbagai. Sehubungan itu, pelajar kursus Kaunseling Pelbagai Budaya (MHPB2223), Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Penduduk Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Johor, telah menganjurkan forum bertajuk “Breaking the Silence: Understanding and Supporting Neurodivergent Families” pada 12 Mei 2026 bertempat di Kafe TEEN, Kompleks Penyayang, Kempas.

Program berbentuk forum dan perkongsian pendidikan ini diadakan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap neurodivergens, khususnya autisme, serta memperkukuh sokongan sosial dan emosi kepada keluarga yang terlibat. Program ini turut memberi penekanan terhadap kepentingan sensitiviti budaya dalam memahami pengalaman individu neurodivergen dan penjaga mereka.

Pensyarah kursus MHPB2223 yang juga bertindak sebagai penasihat program, Dr. Nur Azmina Paslan, menyatakan bahawa isu neurodivergens sering dilihat daripada perspektif yang terhad tanpa mengambil kira latar budaya, stigma sosial dan kekangan akses kepada sumber sokongan yang bersesuaian.
“Masih ramai keluarga yang memilih untuk berdiam diri kerana takut stigma masyarakat, menyebabkan ibu bapa dan penjaga mengalami tekanan emosi, keletihan penjagaan serta pengasingan sosial. Justeru, program seperti ini penting untuk membuka ruang dialog yang lebih inklusif dan empati,” ujar beliau.
Beliau turut menjelaskan bahawa forum ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada masyarakat umum, malah membantu pelajar kaunseling meningkatkan kompetensi kaunseling multibudaya agar lebih bersedia mengendalikan program kesedaran dan isu berkaitan neurodivergens dalam amalan profesional pada masa hadapan.

Antara objektif utama program ialah membantu peserta mengenal pasti cabaran kesihatan mental yang dihadapi oleh individu neurodivergen dalam konteks multibudaya, mengenal pasti bias budaya yang boleh menghalang diagnosis awal, serta mengaplikasikan strategi sokongan komuniti yang lebih berkesan dan berempati.
Forum tersebut menampilkan sesi perkongsian bersama wakil ibu bapa yang berkongsi pengalaman sebenar membesarkan anak autisme dalam masyarakat yang masih kurang memahami konsep neurodiversiti. Antara isu yang diketengahkan termasuk cabaran komunikasi sosial, tekanan emosi keluarga serta keperluan kepada sistem sokongan komuniti yang lebih inklusif.

Selain sesi forum, program turut disusuli dengan soal jawab dan refleksi peserta. Pendekatan interaktif ini memberi peluang kepada peserta untuk memahami realiti kehidupan keluarga neurodivergen secara lebih mendalam serta meningkatkan kesedaran terhadap peranan komuniti dalam menyediakan sokongan psikososial yang kondusif.
Program ini melibatkan penyertaan pelajar pascasiswazah kursus Kaunseling Pelbagai Budaya Semester 2 sesi 2025/2026, staf LPPKN, staf Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), penyelia dan ahli Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE). Penglibatan aktif pelajar dalam pengurusan program turut membantu memperkukuh kemahiran insaniah, kepimpinan, komunikasi interpersonal dan pengendalian program berasaskan komuniti.

Penganjuran forum ini diharapkan dapat menjadi platform pendidikan masyarakat yang lebih terbuka terhadap isu neurodivergens, sekali gus menyumbang kepada pembentukan komuniti yang lebih inklusif, prihatin dan menyokong kesejahteraan keluarga neurodivergen.