📝 Ringkasan
Program bengkel kejuruteraan seismik diadakan oleh eSEER UTM di Sekolah Menengah Kebangsaan Medini untuk mempersiapkan pelajar menjelang Pertandingan Seismo Challenge 2026. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan struktur bangunan dan memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti setempat. Pelajar dari tiga sekolah telah didedahkan kepada teknik pembinaan model bangunan menggunakan prinsip kejuruteraan dan menjalani ujian simulasi menggunakan meja gegar. Program ini dijangka melahirkan generasi muda yang peka terhadap isu keselamatan struktur dan berupaya mengaplikasikan pemikiran kejuruteraan dalam kehidupan seharian.
JOHOR BAHRU, 30 April – Selaras dengan aspirasi UTM ASCEND 2030 dalam memperkukuh penglibatan komuniti, Kumpulan Penyelidikan Kejuruteraan Seismologi dan Kejuruteraan Gempa Bumi (eSEER) dari Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melaksanakan program pemindahan ilmu melalui bengkel intensif pembinaan, penentuan kestabilan dan kekuatan struktur model bangunan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Medini.
Program yang dianjurkan bersama SMK Medini ini merupakan platform penting dalam merapatkan hubungan antara universiti dan komuniti setempat melalui perkongsian kepakaran dalam bidang kejuruteraan seismik. Ia juga berfungsi sebagai persediaan rapi buat para pelajar menjelang kemuncak Pertandingan Seismo Challenge – Build and Shake Peringkat Negeri 2026 pada 9 Mei ini.
Bengkel ini telah dikendalikan oleh Dr. Muhammad Farhan Mohd Fisol selaku penyelaras program, dengan dibantu oleh pasukan fasilitator pelajar UTM yang berpengalaman di peringkat antarabangsa, iaitu Anushri Batumanathan, Nur Farzana Mamat Solleh dan Soon Chen Wei.
Barisan fasilitator ini merupakan penerima anugerah pertandingan Pengenalan dan Demonstrasi Penyelidikan Kejuruteraan Gempa Bumi di Sekolah (IDEERs) 2025 di Tainan, Taiwan. Melalui pendekatan santai dan interaktif, mereka berkongsi pengalaman serta teknik teknikal kepada para pelajar dari tiga buah sekolah yang hadir, iaitu SMK Medini, SMK Gelang Patah dan SMK Damansara Alif.


Melalui bimbingan langsung daripada pakar eSEER UTM, para pelajar didedahkan kepada teknik pembinaan model bangunan menggunakan prinsip kejuruteraan yang betul. Peserta mempelajari analisis kestabilan dan kekuatan bahan, serta menjalani ujian simulasi menggunakan meja gegar (shake table) bagi menguji ketahanan model terhadap gegaran.
Pendekatan secara amali ini membolehkan pelajar memahami aplikasi sebenar teknologi dalam sektor pembinaan, di samping meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan struktur bangunan. Pendedahan ini bukan sahaja meningkatkan literasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), malah membina kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif dalam kalangan modal insan masa hadapan.


Menurut Dr. Muhammad Farhan, inisiatif ini merupakan bukti komitmen UTM dalam memastikan kepakaran universiti dapat dimanfaatkan secara terus oleh masyarakat. Impak pelaksanaan bengkel ini dijangka mampu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja peka terhadap isu keselamatan struktur, malah berupaya mengaplikasikan pemikiran kejuruteraan dalam kehidupan seharian. Pendedahan awal kepada teknologi meja gegar dan analisis data struktur ini juga berpotensi menjadi pemangkin kepada minat pelajar untuk menceburi bidang kejuruteraan awam yang lebih lestari dan berdaya tahan pada masa hadapan.
Secara keseluruhannya, jalinan komuniti antara eSEER UTM dan sekolah-sekolah terlibat bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pembangunan bakat STEM, malah menyumbang secara signifikan kepada pencapaian aspirasi UTM ASCEND 2030 dalam melahirkan masyarakat yang berpengetahuan, berinovasi dan bertanggungjawab terhadap keselamatan persekitaran binaan.
Dengan berakhirnya fasa bengkel pembinaan ini, komuniti sekolah yang terlibat kini bersedia untuk mempamerkan inovasi masing-masing di pentas Pertandingan Seismo Challenge – Build and Shake 2026 yang akan menyaksikan persaingan sengit dalam memartabatkan ilmu kejuruteraan di peringkat negeri.
