UTM perkukuh kelestarian organisasi melalui pemantapan kompetensi CePISO

SDGSDG4SDG12SDG13

📝 Ringkasan

Empat staf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengikuti kursus Profesional Bertauliah dalam Operasi Kelestarian atau Certified Professional in Sustainability Operation (CePISO) yang dikendalikan oleh GEES Group. Kursus ini bertujuan membina keupayaan praktikal dalam mengintegrasikan elemen kelestarian ke dalam operasi harian organisasi. Peserta telah didedahkan kepada kerangka kerja komprehensif Responsible Business Integration Model atau ReBIM 3.0 dan memperoleh pengetahuan teori dan praktikal kelestarian yang mendalam. Kursus ini mendapat kelulusan dan pengiktirafan rasmi daripada Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM).

BANGI, 14 Mei – Seramai empat orang kakitangan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengambil langkah proaktif dalam memantapkan agenda kelestarian organisasi dengan menyertai kursus profesional berprestij, Profesional Bertauliah dalam Operasi Kelestarian atau Certified Professional in Sustainability Operation (CePISO).

Kursus yang berlangsung selama dua hari pada 13 dan 14 Mei 2026 ini telah dikendalikan sepenuhnya oleh GEES Group, sebuah firma latihan dan perundingan mampan terkemuka di Malaysia. Program intensif ini dijalankan menggunakan kaedah hibrid bagi memberikan fleksibiliti kepada proses pembelajaran para peserta. Daripada empat delegasi UTM tersebut, dua daripadanya menyertai secara fizikal bertempat di Hotel Bangi Resort, manakala dua orang lagi menyertai secara dalam talian menerusi platform Google Meet.

Kakitangan yang hadir secara fizikal ialah Timbalan Pengarah Pusat Pelestarian Kampus UTM (UTMCCS), LAr. Dr. Zanariah Jasmani, dan Kiflee Jimpi, Penolong Pendaftar Kanan UTMCCS. Manakala peserta dalam talian ialah Mohd Ishamuddin Md Kusmin, Jurutera Kanan Seksyen Projek dan Penyenggaraan (SPP), dan Muhammad Helmi Ashriq Maswita, Jurutera darip Bahagian Pengurusan Aset (BPA).

“Kursus CePISO ini direka khusus untuk membina keupayaan praktikal dalam mengintegrasikan elemen kelestarian ke dalam teras operasi harian sesebuah organisasi. Sepanjang program, semua peserta telah didedahkan kepada kerangka kerja komprehensif Responsible Business Integration Model atau ReBIM 3.0. Kerangka kerja ini membimbing peserta melalui empat fasa kitaran penambahbaikan berterusan, iaitu Acknowledge, Analyse, Rank dan Address,” ujar Dr. Zanariah yang ditemui sejurus selesai kursus.

Peserta UTM yang mengikuti kursus Certified Professional in Sustainability Operation (CePISO) secara dalam talian menerusi platform Google Meet

Dr. Zanariah berkata, kehadiran ke kursus ini memberikan pulangan faedah yang sangat besar dan bernilai tinggi kepada para staf UTM dalam usaha memacu transformasi kelestarian.

“Antara faedah utama yang diperoleh termasuklah pemerolehan pengetahuan teori dan praktikal kelestarian yang mendalam, yang membolehkan mereka memahami jangkaan pemegang taruh serta memetakan keperluan pematuhan organisasi. Melalui model ReBIM 3.0, peserta diajar cara meneliti impak sebenar dan potensi kesan positif mahupun negatif terhadap hasil operasi. Mereka juga memperoleh kemahiran menilai keutamaan isu menggunakan pendekatan double materiality bagi mendepani Risiko dan Peluang Berkaitan Kelestarian (SRP) sebelum menterjemahkannya kepada pelan tindakan strategik dan sasaran yang boleh diukur,” tambahnya lagi.

LAr. Dr. Zanariah Jasmani dan Kiflee Jimpi daripada UTMCCS, dua orang wakil UTM yang menghadiri kursus CePISO secara fizikal di Hotel Bangi Resort

Program bertauliah ini mendapat kelulusan dan pengiktirafan rasmi daripada Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM). Melalui perkongsian kepakaran GEES Group yang juga merupakan rakan latihan bertauliah global di bawah Inisiatif Pelaporan Global (GRI) dan afiliasi eksklusif Persekutuan Persatuan Penganalisis Kewangan Eropah (EFFAS) di Malaysia, penyertaan empat staf UTM ini berjaya melahirkan penggerak perubahan yang kompeten untuk membina daya tahan dan ketelusan lestari yang lebih utuh dalam landskap pendidikan tinggi negara.

Inisiatif CePISO ini secara langsung menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) berkaitan Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab sebagai paksi utamanya, yang dipandu oleh matlamat berkaitan Pendidikan Berkualiti untuk memacu pencapaian matlamat berkaitan Pertumbuhan Ekonomi yang Mampan.

Wakil peserta UTM bergambar kenangan bersama peserta lain yang turut hadir secara fizikal sempena kursus CePISO di Hotel Bangi Resort

Explore More

UTM Open Day