41 Mahasiswa UTM anjur Program Trash to Treasure, didik murid sekolah amalan kitar semula

SDGSDG4SDG12SDG13

📝 Ringkasan

41 mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Program Trash to Treasure bagi meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar dan amalan kitar semula. Program ini melibatkan 49 murid dan 16 guru pengiring dari lapan buah sekolah rendah di Kota Tinggi. Program ini berkonsep pembelajaran berasaskan pengalaman dan merupakan sebahagian daripada kursus Budi Penyayang. Aktiviti yang dijalankan termasuk Pollutant Card, Match The Trash, Save The Water dan Carbon Footprint Hopscotch. Program ini telah berjaya meningkatkan pemahaman peserta terhadap kepentingan kelestarian alam sekitar dan mendorong mereka mengamalkan gaya hidup yang lebih mesra alam.

KOTA TINGGI, 16 Mei – Seramai 41 mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya menganjurkan Program Trash to Treasure yang melibatkan penyertaan 49 murid beserta 16 guru pengiring daripada lapan buah sekolah rendah sekitar Kota Tinggi sebagai peserta utama, dalam usaha meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar dan amalan kitar semula.

Program ini dirasmikan oleh Ahli Parlimen Tenggara, Kota Tinggi, YB Hj. Manndzri Hj. Nasib. Turut hadir ialah Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) UTM, Prof. Ir. Ts. Dr. Zaini Ahmad, serta pensyarah penyelaras, Ts. ChM. Dr. Nor Suriani Sani. Program ini diketuai oleh Pengarah Program, Muhammad Afif Mohd Amril, bersama barisan jawatankuasa pelajar.

Dalam ucapan perasmiannya, Hj. Manndzri menegaskan bahawa program seperti ini bukan sekadar aktiviti kemasyarakatan biasa, sebaliknya menjadi platform penting dalam menghubungkan universiti dengan komuniti serta menyampaikan ilmu secara langsung kepada masyarakat.

Program berkonsepkan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) ini merupakan sebahagian daripada kursus ULRF 2252 Budi Penyayang dan berlangsung di Ruang Daya Cipta (RDC), Kota Tinggi, dengan pelbagai pengisian aktiviti interaktif seperti sesi perkongsian ilmu dan explorace bertemakan alam sekitar. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk Pollutant Card, Match The Trash, Save The Water dan Carbon Footprint Hopscotch yang berjaya menarik minat peserta.

Murid sekolah terlibat secara aktif dalam aktiviti checkpoint explorace sempena Program Trash to Treasure

Bagi melaksanakan aktiviti explorace, para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan bergerak secara bergilir ke setiap checkpoint yang dikendalikan oleh fasilitator daripada kalangan mahasiswa UTM. Di setiap checkpoint, murid diuji melalui pelbagai aktiviti berasaskan konsep 3R, iaitu Kurangkan (Reduce), Guna Semula (Reuse) dan Kitar Semula (Recycle), termasuk kemahiran mengasingkan sisa, mengenal pasti kesan pencemaran, mengamalkan penjimatan air serta memahami kepentingan mengurangkan jejak karbon.

Tahap kefahaman peserta dinilai berdasarkan keupayaan mereka menyelesaikan tugasan, menjawab soalan serta mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari sepanjang aktiviti, dengan prestasi setiap kumpulan diukur melalui markah yang dikumpulkan di setiap checkpoint sebelum pemenang diumumkan pada majlis penutup program.

Sepanjang pelaksanaan program, para peserta menunjukkan penglibatan yang aktif dan memberikan maklum balas positif terhadap aktiviti yang dijalankan. Pendekatan pembelajaran secara praktikal ini membantu meningkatkan pemahaman mereka terhadap kepentingan kelestarian alam sekitar serta mendorong mereka mengamalkan gaya hidup yang lebih mesra alam.

Penyampaian hadiah kepada kumpulan peserta yang berjaya menunjukkan kefahaman terhadap konsep kelestarian melalui aktiviti di setiap checkpoint explorace

Menurut Dekan FKM UTM, Prof. Ir. Ts. Dr. Zaini Ahmad, program ini walaupun kelihatan ringkas, namun memberikan impak yang besar dalam menyampaikan mesej kelestarian alam sekitar kepada peserta melalui pendekatan yang interaktif dan berkesan.

Selain manfaat kepada murid sekolah, program ini turut memberi impak kepada mahasiswa UTM dari segi pembangunan kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan menerusi pengalaman menguruskan program bersama komuniti.

Salah seorang peserta, Muhammad Faqiih dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Lintang, yang berjaya membawa pulang hadiah sagu hati, berkata program tersebut sangat menyeronokkan, khususnya cabaran di Checkpoint 2. Beliau turut berharap agar program seumpama ini dapat dianjurkan lagi pada masa hadapan kerana memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna dan menyeronokkan.

Susulan pelaksanaan program, pasukan Trash to Treasure turut menyertai Community Engagement Showcase & Co-Curriculum Carnival (CESCO 2026) di UTM dengan membuka reruai pameran bagi membentangkan hasil dan impak program kepada para juri dan pengunjung. Pembentangan tersebut membuahkan hasil apabila program ini meraih Anugerah Emas (Gold Award) bagi kategori Experiential Learning, sekali gus menduduki tempat kelima keseluruhan dalam pertandingan berkenaan.

Sesi penyampaian Anugerah Emas kepada kursus ULRF 2252 Budi Penyayang sempena CESCO 2026

Secara keseluruhannya, Program Trash to Treasure bukan sahaja mencapai objektif dalam meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan peserta, malah turut menjadi bukti keupayaan mahasiswa UTM melaksanakan program komuniti yang berimpak serta berdaya saing di peringkat universiti.

 

 

Oleh Auni Syazwani Shahrulnizat

Explore More

UTM Open Day