📝 Ringkasan
Kira-kira 2,000 mahasiswa anak Johor berkumpul di Stadium Arena Larkin untuk menyokong aspirasi Maju Johor 2030. Program Ayuh Mahasiswa Johor ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Johor dan menampilkan Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, serta pemimpin-pemimpin negeri lain. Program ini juga membincangkan isu-isu strategik seperti persediaan mahasiswa merebut peluang pasaran kerja dan pembangunan zon ekonomi berprestij.
JOHOR BAHRU, 13 Mei – Program Ayuh Mahasiswa Johor berjaya menghimpunkan seramai 2,000 mahasiswa anak Johor dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Stadium Arena Larkin bagi menjayakan program anjuran Kerajaan Negeri Johor. Program berskala besar ini dianjurkan bagi menghimpunkan mahasiswa anak Johor serta menyokong pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Johor demi masa depan mahasiswa anak Johor.
Program ini turut dimeriahkan oleh Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi. Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, YB Aznan Tamin; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, YB Mohd Hairi Mad Shah; serta Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim. Kehadiran barisan pemimpin tertinggi ini adalah menunjukkan bahawa pembangunan belia dan mahasiswa sentiasa menjadi keutamaan dalam pentadbiran negeri Johor.

Melalui sesi Townhall yang berlangsung secara interaktif, mahasiswa berpeluang berkomunikasi secara dua hala bersama ahli panel. Melalui dialog terbuka ini, pelbagai fokus strategik dan hala tuju pembangunan mahasiswa dapat dikupas dengan lebih mendalam. Antara topik utama yang mencuri tumpuan ialah persediaan mahasiswa dalam merebut peluang pasaran kerja berimpak tinggi menerusi penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) serta zon ekonomi berprestij, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Kehadiran Naib Canselor UTM dalam program ini mencerminkan komitmen universiti untuk terus bertindak sebagai nadi utama pembekal bakat (talent feeder) yang mahir, kompeten, dan memenuhi standard industri antarabangsa yang bakal melabur di JS-SEZ. Melalui sinergi erat antara modul akademik UTM dan hala tuju JTDC, mahasiswa Johor kini berada pada landasan terbaik untuk dilengkapi dengan kemahiran masa hadapan (future-ready skills) bagi memenuhi permintaan tenaga kerja berkemahiran tinggi, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja luar.

Setinggi penghargaan diucapkan kepada para penaja utama program ini iaitu Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), KFC, QSR Brands, Pizza Hut dan juga agensi-agensi lain yang terlibat dalam memeriahkan dan menyempurnakan majlis ini.
Secara keseluruhannya, Program Ayuh Mahasiswa Johor ini telah berlangsung dengan jayanya serta bukan sahaja mampu menyatukan 2,000 mahasiswa anak Johor malah dapat memperkukuhkan hubungan antara kerajaan negeri dan institusi pengajian tinggi, UTM dan juga pihak industri yang terlibat. Program Ayuh Mahasiswa Johor ini diharap dapat terus menjadi platform yang memperluas jaringan kerjasama antara mahasiswa, kerajaan negeri, institusi pengajian tinggi dan pihak industri ke arah melahirkan generasi Bangsa Johor yang kompeten serta berdaya saing dalam merealisasikan aspirasi Maju Johor 2030.