UTM terima pengiktirafan Talentbank 15 bidang raih penarafan tertinggi majikan

SDGSDG4SDG8

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima pengiktirafan di bawah Talentbank Graduate Employability Index. Pengiktirafan ini diberikan berdasarkan penilaian lebih 1,200 majikan di seluruh negara dan menjadi antara penanda aras penting dalam menilai tahap kesiapsiagaan graduan memasuki dunia pekerjaan. 15 bidang pengajian di UTM menerima penarafan Talentbank 6 Star Employers Choice, iaitu pengiktirafan tertinggi berdasarkan validasi majikan terhadap kualiti graduan yang dihasilkan.

KUALA LUMPUR, 11 April – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengukuhkan reputasinya sebagai institusi pilihan industri apabila menerima pengiktirafan di bawah Talentbank Graduate Employability Index dalam satu majlis yang berlangsung di Four Seasons Hotel Kuala Lumpur, hari ini.

Anugerah tersebut diterima oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof. Ts. Dr. Ali Selamat bersama wakil Pusat Kerjaya UTM (UTMCC). Pengiktirafan ini diberikan berdasarkan penilaian lebih 1,200 majikan di seluruh negara dan menjadi antara penanda aras penting dalam menilai tahap kesiapsiagaan graduan memasuki dunia pekerjaan.

UTM menerima anugerah Talentbank Employers’ Choice 2026 yang disampaikan kepada Prof. Ts. Dr. Ali Selamat bersama wakil Pusat Kerjaya UTM

Prof. Ts. Dr. Ali Selamat berkata pengiktirafan tersebut mencerminkan keberkesanan pendekatan UTM dalam membangunkan graduan yang memenuhi jangkaan industri.

Menurut beliau, “Universiti memberi penekanan kepada pembangunan bakat secara menyeluruh merangkumi kompetensi teknikal, kemahiran insaniah dan pendedahan industri bagi memastikan graduan mampu berfungsi dengan berkesan dalam persekitaran kerja sebenar”.

Sebanyak 15 bidang pengajian di UTM menerima penarafan Talentbank 6 Star Employers Choice, iaitu pengiktirafan tertinggi berdasarkan validasi majikan terhadap kualiti graduan yang dihasilkan. Bidang tersebut merangkumi perakaunan, aeroangkasa dan aeronautik, seni bina dan pembinaan, automotif, bioteknologi, kejuruteraan kimia, kejuruteraan awam, teknologi maklumat dan pengkomputeran, kejuruteraan elektrik, pengurusan sumber manusia, reka bentuk dalaman dan landskap, pemasaran, kejuruteraan mekatronik, psikologi serta ukur bahan. Kepelbagaian bidang ini mencerminkan kekuatan program akademik UTM dalam memenuhi keperluan pelbagai sektor industri.

UTM turut menzahirkan prestasi cemerlang dalam bidang strategik apabila menduduki kedudukan nombor satu dalam kalangan universiti awam bagi bidang kejuruteraan kimia dan pengurusan sumber manusia. Pencapaian ini memperlihatkan kelebihan kompetitif universiti dalam bidang berimpak tinggi.

Lebih membanggakan, beberapa bidang utama seperti automotif, kejuruteraan kimia, kejuruteraan awam, kejuruteraan elektrik dan ukur bahan berjaya mengekalkan kedudukan dalam kelompok tiga terbaik di peringkat nasional selama lima tahun berturut-turut dari tahun 2022 hingga 2026. Pencapaian ini mencerminkan konsistensi kecemerlangan akademik serta kepercayaan berterusan industri terhadap kualiti graduan UTM.

Sesi jaringan strategik bersama institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh Malaysia

Graduan UTM terus menjadi pilihan utama industri apabila universiti ini diiktiraf sebagai antara pilihan teratas majikan bagi pengambilan graduan berskala besar, khususnya dalam bidang teknologi maklumat dan pengkomputeran.

Di peringkat global, graduan UTM turut mendapat pengiktirafan sebagai pilihan majikan multinasional (MNC) dalam bidang strategik seperti kejuruteraan kimia, teknologi maklumat, kejuruteraan elektrik dan mekatronik. Pengiktirafan ini membuktikan keupayaan graduan UTM memenuhi piawaian industri antarabangsa.

Selain itu, kebolehpasaran graduan UTM yang merentasi pelbagai sektor termasuk perniagaan, teknologi dan kejuruteraan menunjukkan tahap fleksibiliti, kebolehsuaian serta kesiapsiagaan tinggi dalam menghadapi keperluan pasaran kerja yang semakin dinamik dan global.

Sesi wawancara bersama Prof. Dr. Ali Selamat

Sementara itu, Pengarah Pusat Kerjaya UTM, Dr. Suhaila Mohamad Yusuf berkata pencapaian ini selari dengan aspirasi UTM ASCEND 2030 yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat berkualiti tinggi dan peningkatan kebolehpasaran graduan. Menurut beliau, UTM komited memperkukuh laluan pembangunan bakat melalui kerjasama strategik bersama industri, sekali gus menyokong sasaran universiti dalam melahirkan lebih ramai graduan berkemahiran tinggi serta meningkatkan peratusan pekerjaan premium.

“Pendekatan berasaskan data dan maklum balas majikan membolehkan universiti menambah baik program pengajian secara berterusan agar kekal relevan dengan keperluan semasa industri,” ujar beliau.

Pencapaian ini mengukuhkan lagi kedudukan UTM sebagai institusi pendidikan tinggi yang terus komited dalam melahirkan graduan berkualiti, berdaya saing dan memenuhi keperluan industri di peringkat nasional serta global.

Prof. Ts. Dr. Ali Selamat bersama Pengarah Pusat Strategi, Risiko dan Penarafan serta Pengarah dan pegawai Pusat Kerjaya UTM bergambar bersama trofi dan sijil Anugerah Student Employability Index oleh TalentBank

Explore More

UTM Open Day