UTM-PERODUA jalin kerjasama strategik RM1.8 juta pacu teknologi xEV negara

SDGSDG4SDG8SDG9SDG11SDG12SDG13SDG17

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (PERODUA) menjalinkan kerjasama strategik bernilai RM1.8 juta untuk memacu teknologi kenderaan elektrik (xEV) di Malaysia. Kerjasama ini melibatkan pelaburan dalam pembangunan bakat dan penyelidikan teknologi xEV bagi mendepani cabaran mobiliti hijau di Malaysia.

JOHOR BAHRU, 21 April – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan teknologi automotif negara apabila menjalinkan kerjasama strategik bersama Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (PERODUA) melalui pelaksanaan ‘Program Kejuruteraan xEV PERODUA-UTM.’

Kerjasama ini dimeterai menerusi Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Perjanjian (MoA) yang menandakan fasa baharu dalam pembangunan ekosistem kenderaan elektrik di Malaysia, dengan tumpuan kepada pemerkasaan modal insan dan penyelidikan teknologi Kenderaan Elektrik (xEV) bagi mendepani cabaran mobiliti hijau di Malaysia.

Majlis pertukaran dokumen kerjasama antara UTM dan PERODUA

Melalui kolaborasi selama lima tahun ini, seramai 10 hingga 15 pelajar cemerlang daripada program Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian akan dipilih setiap tahun untuk menyertai program khas berkenaan. Para pelajar akan mengikuti program ini selama satu tahun setengah bermula semester kedua ketika berada di tahun tiga pengajian.

Pelajar terpilih berpeluang menjalani latihan industri selama 10 minggu di PERODUA serta memperoleh pensijilan antarabangsa Institute of the Motor Industry (IMI) Level 3. Selain itu, Projek Sarjana Muda (FYP) mereka akan diselia secara bersama oleh jurutera pakar industri bagi memastikan hasil kajian menepati keperluan sebenar sektor automotif.

Sebilangan pelajar Fakulti Kejuruteraan Elektrik yang bakal terlibat dalam program khas hasil kerjasama UTM-PERODUA

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, menyifatkan kerjasama ini sebagai anjakan paradigma dalam merapatkan jurang antara dunia akademik dan industri.

“Penubuhan Makmal Kejuruteraan xEV PERODUA-UTM yang dilengkapi peralatan canggih akan meningkatkan keupayaan pelajar, sekali gus menjadikan graduan lebih berdaya saing. Integrasi kursus elektif berkaitan kejuruteraan kenderaan elektrik bateri (BEV) dalam kurikulum serta penggunaan teknologi simulasi terkini seperti sistem Hardware in the Loop (HIL) turut memastikan graduan kekal relevan dengan keperluan industri,” ujar beliau.

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim menyampaikan ucapan

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, berkata kerjasama ini merupakan langkah proaktif dalam membangunkan ekosistem kenderaan elektrik yang mampan dan kompetitif di peringkat global.

“Inisiatif ini bukan sekadar pemindahan teknologi, tetapi pelaburan jangka panjang untuk melahirkan jurutera masa depan yang mahir dalam bidang kenderaan elektrik melalui pendedahan langsung kepada persekitaran industri sebenar,” jelas beliau.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad menyampaikan ucapan

Selain memperkasa pembangunan bakat, kerjasama ini turut melibatkan pelaburan hampir RM1.8 juta, termasuk sumbangan aset teknikal bernilai kira-kira RM797,000 daripada PERODUA. Sumbangan ini merangkumi sistem simulasi HIL, unit bekalan kuasa berprestasi tinggi serta dua unit kenderaan PERODUA QV-E bagi tujuan pembelajaran praktikal.

Makmal Kejuruteraan xEV PERODUA-UTM yang diwujudkan melalui kerjasama ini berperanan sebagai pusat penyelidikan canggih dalam pembangunan teknologi kenderaan elektrik tempatan. Fokus penyelidikan merangkumi teknologi bateri, aplikasi kawalan kenderaan serta potensi penukaran kenderaan konvensional kepada kenderaan elektrik, selaras dengan keperluan industri semasa.

Naib Canselor UTM bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA memandu uji kenderaan elektrik

Melalui penyeliaan bersama antara pensyarah dan jurutera industri, penyelidikan pelajar turut memberi penekanan kepada penyelesaian masalah dunia sebenar, sekali gus meningkatkan potensi pengkomersialan inovasi berasaskan teknologi tempatan.

Pensijilan antarabangsa yang ditawarkan kepada pelajar turut menjadi nilai tambah signifikan dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan. Pengiktirafan ini membuktikan tahap kompetensi teknikal pelajar mengikut piawaian industri global, sekali gus meletakkan mereka sebagai calon pilihan dalam pasaran kerja.

Perasmian Makmal Kejuruteraan xEV PERODUA- UTM di Fakulti Kejuruteraan Elektrik
Delegasi UTM dan PERODUA di Fakulti Kejuruteraan Elektrik
Antara kenderaan dan peralatan teknikal yang digunakan dalam latihan praktikal

Pemilihan peserta program pula dibuat berdasarkan kecemerlangan akademik serta penglibatan dalam kursus elektif berkaitan kejuruteraan kenderaan elektrik. Daripada kumpulan pelajar yang mengikuti kursus tersebut, hanya calon terbaik akan dipilih untuk menyertai program intensif ini.

Secara keseluruhannya, kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen berterusan UTM dalam memperkukuh hubungan dengan industri bagi memastikan pembangunan bakat dan inovasi sentiasa selari dengan keperluan semasa. Inisiatif ini juga dijangka menjadi pemangkin kepada kemajuan teknologi hijau negara serta menyokong agenda kelestarian dalam sektor automotif.

Explore More

UTM Open Day