📝 Ringkasan
UTM telah memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) secara berperingkat di universiti ini sebagai langkah untuk merealisasikan kampus rendah karbon. Empat unit kenderaan elektrik dan 11 unit motosikal elektrik telah diperoleh untuk digunakan dalam sistem pengangkutan dalaman universiti. Inisiatif ini bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan berasaskan petrol dan diesel serta meningkatkan mobiliti yang lebih mesra alam.
JOHOR BAHRU, 9 April – Selaras dengan usaha merealisasikan kampus rendah karbon di bawah inisiatif UTM ASCEND 2030, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) (JTNCP) telah mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) secara berperingkat di universiti ini. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen universiti dalam mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan berasaskan petrol dan diesel dengan beralih kepada alternatif mobiliti yang lebih mesra alam bagi kegunaan rasmi universiti.
Majlis penyerahan kenderaan tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, dengan diiringi oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. P. Geol. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad, serta dihadiri oleh ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU). Majlis ini turut disertai warga UTM sebagai tanda komitmen bersama dalam menjayakan usaha pengurangan karbon melalui penggunaan kenderaan elektrik.

Melalui Unit UTMFleet di bawah Bahagian Pengurusan Aset (BPA), JTNCP, UTM telah berjaya melaksanakan perolehan empat unit kenderaan elektrik dan sebelas unit motosikal elektrik (e-motosikal). Perolehan ini dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh sistem pengangkutan dalaman universiti yang lebih cekap, moden dan mesra alam, selaras dengan aspirasi pembangunan mampan universiti.
Bagi fasa awal pelaksanaan, EV jenama BYD telah dipilih sebagai kenderaan rasmi bagi JTNCP, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) (JTNCAA), Jabatan Bendahari serta Jabatan Perpustakaan UTM. Pemilihan ini dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk kecekapan teknologi, penjimatan kos operasi serta keupayaan kenderaan elektrik dalam menyokong agenda kelestarian universiti.




Dalam masa yang sama, setiap Pejabat Pengurusan Kolej UTM turut menerima sebuah motosikal elektrik jenama Yadea sebagai langkah permulaan ke arah pembudayaan mobiliti hijau di kampus. Inisiatif ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada penggunaan teknologi hijau dalam kalangan warga kampus, malah turut menggalakkan amalan gaya hidup lestari dalam persekitaran universiti.

Pelaksanaan penggunaan kenderaan elektrik ini dijangka dapat mengurangkan pelepasan karbon secara signifikan di kampus, selain menyumbang kepada penjimatan kos bahan api dan penyelenggaraan dalam jangka masa panjang. Usaha ini juga selari dengan peranan UTM sebagai institusi pendidikan tinggi yang komited dalam menyokong agenda kelestarian global, pembangunan mampan dan inovasi berterusan.
Secara keseluruhannya, inisiatif ini mencerminkan kesungguhan UTM dalam memperkasa mobiliti hijau serta menjadi pemangkin kepada transformasi kampus ke arah persekitaran yang lebih lestari, inovatif dan berdaya saing. UTM terus komited memperluas penggunaan teknologi hijau demi kesejahteraan generasi masa depan.