📝 Ringkasan
UTM telah menganjurkan Bengkel Post-Mortem dan Majlis Penghargaan Rakan Strategik Program Pemindahan Ilmu (KTP) Nexus Remaja untuk menilai impak program “Memperkasa Pendidikan dan Sahsiah Remaja” pada tahun 2025. Program ini bertujuan meningkatkan kualiti program dan memastikan setiap peruntukan dan tenaga yang disumbangkan memberikan nilai tambah kepada komuniti. Majlis penghargaan telah diadakan untuk menghargai sokongan padu pelbagai pihak, termasuk JPN Johor, yang telah bekerjasama dengan UTM dalam program ini.
JOHOR BAHRU, 20 April – Kejayaan sesebuah inisiatif kemasyarakatan bukan sekadar diukur melalui jumlah penyertaan, sebaliknya melalui impak jangka panjang yang ditinggalkan kepada golongan sasaran. Atas dasar itu, Pusat Jaringan Komuniti dan Industri UTM (UTM CCIN) telah menganjurkan Bengkel Post-Mortem dan Majlis Penghargaan Rakan Strategik Program Pemindahan Ilmu (KTP) Nexus Remaja bertempat di Dewan Peperiksaan, Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Program yang berlangsung sepanjang hari ini bertujuan meneliti semula pelaksanaan program “Memperkasa Pendidikan dan Sahsiah Remaja” sepanjang tahun 2025. Sesi dimulakan dengan bengkel penilaian yang melibatkan urus setia, fasilitator dan rakan strategik. Dalam sesi ini, setiap kelemahan diteliti secara telus, manakala setiap kekuatan diraikan sebagai panduan penambahbaikan pada masa hadapan. Perbincangan meja bulat yang dijalankan membolehkan input kritikal dikumpulkan, merangkumi aspek logistik, keberkesanan modul akademik hingga tahap penglibatan emosi peserta remaja yang menyertai program tersebut.

Timbalan Pengarah UTM CCIN, Prof. Madya Dr. Sabrinah Adam, dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa sesi refleksi seperti ini merupakan nadi kepada peningkatan kualiti program. Beliau menegaskan bahawa UTM komited memastikan setiap peruntukan dan tenaga yang disumbangkan oleh mahasiswa serta staf memberikan nilai tambah yang signifikan kepada komuniti setempat, khususnya pelajar sekolah di sekitar Johor.

Pada sebelah petang, program diteruskan dengan Majlis Penghargaan Rakan Strategik sebagai manifestasi penghargaan universiti terhadap sokongan padu pelbagai pihak. Kehadiran Ketua Penolong Pengarah (Hal Ehwal Murid), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, Mohd Khatta Muhamad, menyerikan lagi majlis tersebut. Beliau turut menyempurnakan ucapan perasmian penutup sebagai tanda penghargaan terhadap usaha yang dilaksanakan.

Dalam ucapannya, Mohd Khatta menekankan bahawa kolaborasi antara institusi pendidikan tinggi seperti UTM dan JPN Johor merupakan satu keperluan dalam mendepani cabaran sosial remaja masa kini. Beliau memuji usaha KTP Nexus yang bukan sahaja memfokuskan aspek akademik, malah turut menitikberatkan pembinaan watak dan sahsiah pelajar.
“Kerjasama ini adalah jambatan yang menghubungkan menara gading dengan realiti di sekolah. Kita memerlukan lebih banyak program berimpak tinggi seperti ini untuk memastikan anak bangsa kita tidak hanya cerdik akal, tetapi juga mulia peribadi,” ulas beliau.

Majlis diakhiri dengan sesi penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik serta sesi fotografi sebagai simbolik penghargaan dan kebersamaan. Semangat kerjasama yang dipamerkan oleh semua pihak yang hadir memberi gambaran jelas bahawa Program KTP Nexus Remaja akan terus diperkasakan dengan pendekatan yang lebih sistematik dan berimpak pada tahun 2026.
Secara keseluruhannya, sinergi yang semakin kukuh antara UTM dan rakan strategik memperlihatkan hala tuju yang jelas dalam usaha melahirkan generasi remaja yang berdaya saing, berilmu dan bersahsiah tinggi, sekali gus memastikan kesinambungan pembangunan komuniti yang lebih mampan pada masa hadapan.