UTM–LETI Rusia perkukuh kerjasama antarabangsa melalui kursus latihan optik

SDGSDG4SDG17

📝 Ringkasan

Kumpulan Penyelidikan Komunikasi Gelombang Cahaya (LCRG), Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Program Latihan Akademik Antarabangsa dalam Komunikasi Optik, Bahan dan Sensor. Program ini telah menarik enam peserta dari Saint Petersburg Electrotechnical University (LETI), Rusia. Peserta telah didedahkan kepada modul kursus yang komprehensif dan latihan makmal yang melibatkan pengukuran, pencirian serta pengendalian sistem optik. Program ini juga telah meningkatkan pengetahuan dan kefahaman peserta dalam bidang fotonik secara menyeluruh.

JOHOR BAHRU, 18 April – Kumpulan Penyelidikan Komunikasi Gelombang Cahaya (LCRG), Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya menganjurkan Program Latihan Akademik Antarabangsa dalam Komunikasi Optik, Bahan dan Sensor selama dua minggu bermula 5 hingga 18 April 2026 di FKE, UTM Johor Bahru.

Program ini dianjurkan sebagai platform latihan akademik teknikal jangka pendek yang memfokuskan kepada tiga bidang utama iaitu komunikasi optik, bahan dan sensor. Seramai enam peserta yang terdiri daripada pelajar pascasiswazah dari Saint Petersburg Electrotechnical University (LETI), Rusia menyertai kursus ini selaras dengan kerjasama akademik di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua institusi.

Sesi taklimat kursus International Academic Training Programme in Optical Communication, Materials & Sensors

Sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan kepada modul kursus yang komprehensif merangkumi teori dan aplikasi teknologi optik moden. Kursus ini turut menawarkan pendekatan pembelajaran praktikal melalui latihan makmal yang melibatkan pengukuran, pencirian serta pengendalian sistem optik menggunakan kemudahan terkini di makmal LCRG. Pendekatan ini berjaya meningkatkan pengetahuan dan kefahaman peserta dalam bidang fotonik secara menyeluruh.

Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Asrul Izam Azmi menyampaikan kuliah kepada peserta dari LETI
Ir. Dr. Muhammad Yusof membimbing peserta dalam latihan praktikal optik

Selain itu, penganjuran program ini turut menekankan akses kepada latihan berkualiti dengan kos yang berpatutan, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai peserta antarabangsa mengikuti latihan berimpak tinggi dalam bidang teknologi optik. Di samping pengisian akademik, peserta turut didedahkan kepada pengalaman kebudayaan dan persekitaran kampus melalui lawatan sekitar UTM Johor Bahru. Lawatan ini memberi peluang kepada peserta mengenali fasiliti universiti serta suasana pembelajaran di UTM. Peserta juga dibawa melawat sekitar Johor Bahru bagi meneroka beberapa lokasi menarik, sekali gus memperkenalkan budaya dan kehidupan masyarakat tempatan.

Menariknya, para peserta turut berpeluang merasai pengalaman menikmati “raja buah” iaitu durian, yang menjadi antara tarikan unik Malaysia. Pengalaman ini bukan sahaja mencipta kenangan baharu, malah memperkayakan interaksi budaya antara peserta antarabangsa dan komuniti tempatan. Dalam masa yang sama, peserta menghadiri sesi kolokium yang dianjurkan bagi berkongsi pengetahuan serta hasil penyelidikan masing-masing. Sesi ini menjadi platform penting untuk pertukaran idea, memperluaskan jaringan akademik dan menggalakkan kolaborasi penyelidikan antara UTM dan LETI. Pada akhir kursus, semua peserta dianugerahkan sijil sebagai pengiktirafan terhadap penyertaan dan komitmen mereka sepanjang program berlangsung.

Sesi kolokium dan penyampaian sijil program

Secara keseluruhan, program ini bukan sahaja berjaya memperkukuh kompetensi teknikal peserta, malah mengukuhkan hubungan kerjasama akademik antarabangsa antara UTM dan LETI dalam bidang fotonik dan teknologi optik, selaras dengan usaha memperkasa jaringan global universiti.

Sesi bergambar peserta dari LETI di UTM

Explore More

UTM Open Day