TeknoHafiz UTM lahirkan profesional Muslim, dua mahasiswa pimpin Tarawih di Osaka, Jepun

SDGSDG4SDG5SDG8SDG16

📝 Ringkasan

Dua pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Muhammad Danish Arman Shah dan Iman Solehin Zuliadi, telah terpilih sebagai imam Tarawih di Osaka, Jepun semasa bulan Ramadan lalu. Kedua-dua mereka merupakan graduan program Five Excellence Track Programmes (5ETP), Teras TeknoHafiz yang bertujuan melahirkan ‘Professional Muslim’ yang kompeten dan memiliki jati diri yang kental. Mereka telah berjaya menyesuaikan diri dengan cuaca ekstrem dan menguji kualiti hafazan mereka di Jepun. Selain itu, mereka juga telah menyampaikan tazkirah ringkas dalam bahasa Inggeris dan Jepun kepada komuniti Muslim di Osaka.

Nama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi terpahat di persada antarabangsa apabila dua mahasiswa melakar sejarah tersendiri selepas terpilih menggalas amanah sebagai Imam Tarawih di bumi Osaka, Jepun sepanjang bulan Ramadan lalu.

Pelantikan Muhammad Danish Arman Shah dan Iman Solehin Zuliadi oleh Japan Da’wah Centre (JDC) bukan sekadar satu penghormatan kepada universiti, malah menjadi bukti nyata keberkesanan agenda universiti dalam melahirkan ‘Professional Muslim’ yang kompeten serta memiliki jati diri yang kental di peringkat global.

Kehadiran mereka di negara minoriti Muslim itu membuktikan bahawa keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan penghayatan ilmu agama ini memperlihatkan keupayaan graduan untuk berfungsi sebagai agen perubahan global yang berilmu, berakhlak serta berdisiplin.

Muhammad Danish merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pembangunan Sumber Manusia di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), manakala Iman Solehin sedang menuntut dalam tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM).

“Amanah yang digalas ini bermula dari 17 Februari sehingga 23 Mac 2026, susulan jemputan rasmi dari JDC yang diasaskan oleh seorang jurutera Malaysia yang telah menetap lama di sana, Zulkarnain Hasan Basri,” ujar Iman Solehin.

Iman Solehin Zuliadi, Muhammad Danish Arman Shah dan Ustaz Panji Alam Mazhisham bergambar di hadapan Japan Da’wah Centre di Osaka
Iman Solehin, Muhammad Danish dan Ustaz Panji bersama pengasas Japan Da’wah Centre, Zulkarnain Hasan Basri

Bagi kedua-dua anak muda ini, peluang berkelana ribuan kilometer untuk memimpin kariah di negara minoriti Muslim merupakan satu pengalaman yang tidak pernah terlintas di fikiran mereka sebelum ini.

Kejayaan Danish dan Iman adalah hasil daripada platform strategik universiti yang dikenali sebagai Five Excellence Track Programmes (5ETP), Teras TeknoHafiz. Program elit ini bertujuan melahirkan graduan yang seimbang, di mana mereka bukan sahaja kompeten dalam bidang sains dan teknologi, malah mempunyai kekuatan spiritual serta keperibadian berteraskan adab.

“Penglibatan ini turut selari dengan aspirasi UTM ASCEND 2030 yang menekankan pembangunan graduan berilmu, beradab, dan berwawasan global,” tambah Muhammad Danish.

Menurut Penyelaras Teras TeknoHafiz, Ustaz Panji Alam Mazhisham, program ini dirangka untuk melahirkan “Professional Muslim”.

“Kami mahu membuktikan bahawa pelajar kejuruteraan juga boleh menjadi hafiz yang mampu memimpin masyarakat. Sokongan universiti sangat kuat, di mana perjalanan kedua-dua pelajar ini ditaja sepenuhnya melalui peruntukan zakat UTM bagi menampung kos tiket penerbangan pergi dan balik,” katanya dalam satu temu bual.

Tugas sebagai imam di Jepun bukanlah sesuatu yang mudah. Antara cabaran utama yang dihadapi ialah faktor cuaca ekstrem. Setibanya mereka di Osaka, suhu mencecah 5 darjah Celsius, jauh berbeza dengan cuaca panas 30 darjah Celsius di tanah air. Iman mengakui pada awalnya beliau berasa menggigil dan kebas, namun atas semangat dakwah, beliau berjaya menyesuaikan diri dalam tempoh seminggu.

Selain itu, kualiti hafazan mereka diuji secara maksimum. Di JDC, imam diwajibkan mengimamkan lapan rakaat solat Tarawih dengan bacaan satu muka surat al-Quran bagi setiap rakaat tanpa melihat mushaf.

“Disiplin tinggi ini menuntut tumpuan penuh (itqan) dan ulangan yang kerap (muraja’ah) sebelum masuk ke ruang solat. Pengalaman menyertai musabaqah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sebelum ini banyak membantu saya mengurangkan rasa gementar apabila berdiri di hadapan jemaah serta kamera siaran langsung (live stream) Instagram dan TikTok pusat dakwah tersebut,” tambah Iman Solehin.

Iman Solehin ketika mengimamkan solat Tarawih di Japan Da’wah Centre, Osaka

Peranan mereka di Osaka melangkaui sekadar memimpin solat. Danish dan Iman turut memikul tanggungjawab menyampaikan tazkirah ringkas dalam bahasa Inggeris, yang kemudiannya diterjemahkan ke bahasa Jepun oleh penterjemah tempatan. Tajuk-tajuk yang diketengahkan berkisar tentang nilai adab Islam, taubat, dan istiqamah yang disampaikan secara santai kepada komuniti Muslim yang terdiri daripada pelbagai negara seperti Indonesia, Mesir, dan warga tempatan Jepun sendiri.

Sesi tazkirah yang disampaikan kepada komuniti Muslim semasa bulan Ramadan

Salah satu momen paling menyentuh hati bagi mereka ialah apabila berpeluang menjadi saksi kepada proses pengislaman (syahadah) warga Jepun di JDC. Iman menceritakan pengalamannya menyaksikan tiga individu memeluk Islam, termasuk seorang wanita Jepun yang kemudiannya terus melangsungkan pernikahan dengan pasangannya dari Mesir pada malam yang sama. Danish pula diberi kepercayaan untuk menjadi saksi pernikahan tersebut memandangkan beliau mempunyai asas kefahaman bahasa Jepun yang lebih baik.

Detik bermakna apabila mereka menjadi saksi kepada majlis pengislaman saudara baharu di Osaka

Mereka juga mengadakan program pertukaran budaya di mana mereka memperkenalkan pakaian tradisional Baju Melayu berserta sampin dan butang baju melayu kepada masyarakat Jepun. Beliau menyedari bahawa orang Jepun sangat tertarik dengan keunikan budaya Malaysia dan sering bertanya mengenai maksud di sebalik pemakaian tersebut serta cara bacaan al-Quran yang merdu.

Iman dan Danish bersama komuniti Muslim antarabangsa sempena program hari kebudayaan di Osaka

“Pengalaman ini mengajar saya erti pengurusan masa yang lebih sistematik setelah melihat sendiri disiplin masyarakat Jepun. Walaupun Islam di Jepun semakin diterima, cabaran sebenar adalah untuk meyakinkan masyarakat tempatan melalui akhlak yang terpuji dan penyampaian ilmu yang sahih. Saya bersyukur kerana pihak fakulti memberikan kelonggaran dalam urusan latihan industri bagi membolehkan saya menerima jemputan berharga ini,” ujar Danish.

Sesi semakan dan pengukuhan hafazan al-Quran sebagai persediaan sebelum memimpin solat Tarawih

“Saya berharap agar kerjasama dengan JDC ini tidak terhenti setakat program imam Tarawih sahaja. Mungkin selepas ini, kerjasama berbentuk seminar dan persidangan antarabangsa di Jepun boleh dilaksanakan bagi mempromosikan keterlihatan UTM sebagai institusi yang melahirkan profesional Muslim,” ujar Ustaz Panji.

Sebagai pesanan kepada rakan-rakan mahasiswa, Iman dan Danish menekankan kepentingan menjaga hubungan dengan Allah di sebalik kesibukan akademik. Mereka menyeru agar hubungan dengan Allah perlu diperbaiki melalui jalan taubat dan meninggalkan maksiat. Jika rohani kuat, urusan pembelajaran juga akan menjadi lebih berkat dan efisien.

Di sebalik langkah mereka di bumi sakura, tersirat sebuah kisah tentang iman yang memandu hari, mengajar bahawa ilmu tanpa nilai tidak akan sempurna, serta imanlah yang menyatukan manusia merentasi budaya dan sempadan.

Explore More

UTM Open Day