NeuroDivergent: RayaFunRun 2026 perkasa kesedaran neurodiversiti dan pendidikan inklusif di Johor Bahru

SDGSDG4SDG10SDG17

📝 Ringkasan

Program NeuroDivergent: RayaFunRun 2026 di Johor Bahru telah berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat tentang neurodiversiti dan autisme. Program ini yang diadakan oleh Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama Persatuan Kanak-Kanak Istimewa Johor Bahru (PKAIJB) telah menarik lebih 300 peserta dan 90 sukarelawan. Program ini juga mendapat sokongan daripada Yayasan Johor Corporation dan Waqaf An-Nur.

JOHOR BAHRU, 26 April – Komitmen terhadap pendidikan inklusif terus diperkukuh apabila Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama Persatuan Kanak-Kanak Istimewa Johor Bahru (PKAIJB) berjaya menganjurkan Program NeuroDivergent: RayaFunRun 2026 yang menghimpunkan lebih 300 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat di daerah ini. Program tersebut turut disokong oleh kira-kira 90 sukarelawan dalam kalangan pelajar UTM serta Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM).

Program berimpak tinggi ini merupakan inisiatif komuniti inklusif yang dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman masyarakat terhadap konsep neurodiversiti dan autisme, di samping menyediakan persekitaran yang selamat, mesra serta menyokong kanak-kanak neurodivergen, ibu bapa dan keluarga mereka. Pelaksanaannya turut mendapat sokongan padu Yayasan Johor Corporation serta Waqaf An-Nur.

YBhg. Dato’ Mizan Yahya bersama wakil penganjur dan rakan kolaborasi Program NeuroDivergent: RayaFunRun 2026

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Mizan Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Johor Corporation, dengan kehadiran Haji Mohd Bahrin Bakori @ Bakri, Ketua Pegawai Operasi Waqaf An-Nur, Siti Noraisikin Mohd Jazuli, Pengerusi Persatuan Kanak-Kanak Istimewa Johor Bahru (PKAIJB) merangkap pengarah bersama program, serta Prof. Madya Dr. Asha Hasnimy Hashim selaku wakil FEST. Kehadiran mereka mencerminkan sokongan padu pelbagai pihak terhadap agenda inklusiviti.

Program ini turut melibatkan penyertaan aktif ibu bapa dan kanak-kanak daripada pelbagai organisasi serta pusat intervensi seperti PKAIJB, Indebrain Center, Ohsome Kiddie Center dan Raudhatul Iman, selain penglibatan komuniti umum yang menunjukkan peningkatan kesedaran dan keprihatinan terhadap isu neurodiversiti.

Menurut pengarah program, Prof. Madya Dr. Zakiah Mohamad Ashari dari FEST, pelaksanaan program seumpama ini memainkan peranan penting dalam membina kefahaman masyarakat terhadap keunikan dan potensi kanak-kanak neurodivergen.

“Program ini bukan sekadar aktiviti rekreasi, tetapi satu platform penting untuk membina kesedaran, menggalakkan penerimaan sosial serta memperkukuh jaringan sokongan antara ibu bapa, komuniti dan institusi pendidikan,” ujar beliau.

Suasana meriah Program NeuroDivergent: RayaFunRun 2026 yang menghimpunkan lebih 300 peserta dan 90 sukarelawan

Selain mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti larian santai, program ini turut diserikan dengan elemen sambutan Aidilfitri sempena bulan Syawal, termasuk pengenalan pelbagai kuih tradisi Melayu kepada peserta daripada latar belakang berbeza. Inisiatif ini sekali gus memperkayakan pengalaman budaya dalam suasana inklusif.

Lebih signifikan, kejayaan penganjuran ini turut mencerminkan kekuatan kolaborasi strategik antara institusi pendidikan tinggi dan organisasi bukan kerajaan (NGO) dalam memperkasakan komuniti, khususnya dalam bidang pendidikan khas dan perkembangan kanak-kanak.

YBhg. Dato’ Mizan Yahya bersama salah seorang peserta Program NeuroDivergent: RayaFunRun 2026

Secara keseluruhannya, Program NeuroDivergent RayaFunRun 2026 berjaya mencapai objektif dalam meraikan kepelbagaian, meningkatkan kesedaran masyarakat serta memupuk nilai inklusiviti dalam kalangan komuniti setempat.

Diharapkan agar lebih banyak program berimpak tinggi seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi menyokong pembangunan holistik kanak-kanak neurodivergen di Malaysia, khususnya di negeri Johor.

Explore More

UTM Open Day