Mahasiswa UTM sumbang kepakaran dalam penganjuran 3rd MILRS International Symposium 2026 di UTP

SDGSDG4SDG7SDG11SDG12SDG13SDG17

📝 Ringkasan

Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya menyumbang kepakaran dalam penganjuran 3rd MILRS International Symposium 2026 di Universiti Teknologi PETRONAS. Lima orang mahasiswa UTM telah memainkan peranan penting sebagai ahli jawatankuasa pendaftaran program. Penglibatan mahasiswa UTM tersebut diselaraskan oleh Dr. Asiah Nusaibah Masri, Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT) UTM. Program ini telah melibatkan kerjasama pelbagai persatuan pelajar daripada universiti tempatan dan telah mencerminkan komitmen universiti dalam melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan mempunyai nilai kepimpinan tinggi.

SERI ISKANDAR, 25 April – Malaysian Ionic Liquids Research Society (MILRS) dengan kerjasama Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) telah berjaya menganjurkan 3rd MILRS International Symposium 2026 pada 25 April 2026 di Universiti Teknologi PETRONAS, menghimpunkan penglibatan aktif ahli akademik, penyelidik dan mahasiswa daripada pelbagai universiti di Malaysia dalam bidang cecair ionik, deep eutectic solvents (DES) dan teknologi kimia lestari.

Simposium bertaraf antarabangsa ini turut memperlihatkan penglibatan cemerlang mahasiswa daripada program Kejuruteraan Kimia (Gas), Universiti Teknologi Malaysia yang juga merupakan ahli Gas Engineering Students’ Society (GESS UTM). Seramai lima orang mahasiswa UTM iaitu Arunan Saktivel, Hafizan Tai Tet Vun, Nur Aqilah Abd Latip, Nurul Shafiza Rosli dan Nurul Azwa Kamal telah memainkan peranan penting sebagai ahli jawatankuasa pendaftaran program.

Penglibatan mahasiswa UTM tersebut diselaraskan oleh Dr. Asiah Nusaibah Masri, Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT) UTM, yang turut bertindak sebagai Setiausaha 3rd MILRS International Symposium 2026. Beliau dibantu oleh Dr. Muhammad Zulhaziman Mat Salleh daripada Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam menguruskan bahagian pendaftaran, kit peserta, sijil penyertaan dan buku program elektronik.

Barisan mahasiswa Kejuruteraan Kimia (Gas) UTM bersama Dr. Asiah Nusaibah Masri (paling kanan) yang mewakili GESS UTM sebagai ahli jawatankuasa pendaftaran bagi 3rd MILRS International Symposium 2026 di Universiti Teknologi PETRONAS

Program ini turut melibatkan kerjasama pelbagai persatuan pelajar daripada universiti tempatan termasuk UTM GESS, UTP IChemE, UTP FASSA, UTP ACS, UM IChemE dan UM CEUC. Penglibatan jawatankuasa akademik daripada Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi MARA Sarawak serta Quest International University turut menyerlahkan semangat kolaborasi antara institusi di bawah platform MILRS.

Sebahagian ahli jawatankuasa penganjur, penaja dan peserta yang menjayakan 3rd MILRS International Symposium 2026 semasa sesi penutup program di Universiti Teknologi PETRONAS

Menurut Dr. Asiah Nusaibah Masri, penglibatan mahasiswa dalam penganjuran program akademik berskala besar seperti ini mampu memberikan pengalaman yang sangat bermakna kepada pelajar di luar bilik kuliah.

“Program seperti ini membuka peluang kepada mahasiswa untuk membina kemahiran profesional seperti komunikasi, pengurusan acara, kerja berpasukan dan kepimpinan. Pada masa yang sama, mereka turut didedahkan dengan ekosistem penyelidikan serta jaringan akademik dan industri dalam bidang teknologi kimia lestari,” katanya.

Antara pengisian utama program ialah syarahan utama oleh Prof. Dr. Kheireddine Aroua daripada King Fahd University of Petroleum and Minerals, Arab Saudi, selain sesi Academia-Industry Talk yang menampilkan Prof. Dr. Cecilia Devi Wilfred daripada UTP dan ChM. Dr. Sathish Subramaniam, Pengasas dan Pengarah Urusan Prevensyn Sdn. Bhd. Simposium ini juga melibatkan pembentangan oral bagi pelajar pascasiswazah serta pembentangan poster bagi pelajar prasiswazah.

Sesi Academia-Industry Talk yang dikendalikan oleh Ts. Dr. Zulkifli Merican Aljunid Merican, menampilkan Prof. Dr. Cecilia Devi Wilfred dan ChM. Dr. Sathish Subramaniam, berkongsi perkembangan teknologi kimia lestari dan aplikasi industri semasa
Theaveraj Ravi dan Muhamad Iqbal Ishak mewakili UTM dalam sesi pembentangan oral sempena 3rd MILRS International Symposium 2026, memberi peluang kepada pelajar pascasiswazah berkongsi hasil penyelidikan bersama komuniti

Penganjuran program ini selari dengan aspirasi memperkukuh pembangunan penyelidikan mampan dan teknologi hijau, di samping menjadi platform pembangunan bakat mahasiswa dalam bidang penyelidikan dan profesionalisme. Penglibatan aktif mahasiswa UTM dalam program antarabangsa seperti ini turut mencerminkan komitmen universiti dalam melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan mempunyai nilai kepimpinan tinggi.

Wakil persatuan pelajar dari pelbagai universiti bersama Pengarah Program, Dr. Wan Zaireen Nisa Yahya. Arunan A/L Saktivel (paling kanan) mewakili GESS UTM sebagai salah seorang ahli jawatankuasa program

Melalui kerjasama strategik antara universiti dan persatuan profesional seperti MILRS, program seumpama ini dijangka terus menjadi platform penting dalam memperluaskan jaringan akademik, memperkukuh budaya penyelidikan serta memupuk penglibatan mahasiswa dalam komuniti saintifik di peringkat nasional dan antarabangsa.

Explore More

UTM Open Day