Library On Air @ KSJ Siri 1/2026 bincang jejak karbon dan gaya hidup lestari di kampus

SDGSDG4SDG12SDG13

📝 Ringkasan

Program Library On Air @ KSJ Siri 1/2026 diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur dengan tema “Jejak Karbon & Gaya Hidup Kampus”. Program ini membincangkan kepentingan kelestarian alam sekitar dan peranan individu dalam mengurangkan jejak karbon. Dua panel jemputan, Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Sarip dan Naufal Al-Harith Muhammad Fisol, membincangkan isu ini dari perspektif akademik dan pelajar. Program ini turut menekankan kaitan langsung dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan aspirasi kampus hijau UTM Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR, 14 April — Program Library On Air @ KSJ Siri 1/2026 anjuran Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur dengan kerjasama Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) Kolej Siswa Jaya (KSJ) telah berjaya dilaksanakan dengan menampilkan perbincangan bertemakan “Jejak Karbon & Gaya Hidup Kampus” yang menekankan kepentingan kelestarian alam sekitar selari dengan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Program ini menghimpunkan dua panel jemputan iaitu Timbalan Pengarah (Menjalankan Tugas), Pusat Pelestarian Kampus UTM (UTMCCS) Kuala Lumpur, Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Sarip, serta pelajar Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Naufal Al-Harith Muhammad Fisol. Sesi ini dimoderatorkan oleh Muhammad Farkhin Abd Baser, juga pelajar Fakulti Kecerdasan Buatan.

Sesi perbincangan bersama panel jemputan sempena Program Library On Air @ KSJ Siri 1/2026

Dalam sesi tersebut, Dr. Shamsul Sarip menjelaskan bahawa jejak karbon merujuk kepada jumlah keseluruhan pelepasan gas rumah hijau yang terhasil daripada aktiviti manusia seperti penggunaan tenaga, pengangkutan dan teknologi digital. Beliau menegaskan bahawa pemahaman terhadap isu ini amat penting dalam kalangan pelajar kerana ia berkait rapat dengan usaha global menangani perubahan iklim.

Beliau turut mengaitkan isu kelestarian dengan nilai adab dan tanggungjawab moral, di mana penjagaan alam sekitar merupakan sebahagian daripada etika kehidupan. Menurut beliau, perubahan ke arah gaya hidup rendah karbon perlu bermula daripada individu, khususnya pelajar sebagai generasi yang akan mewarisi cabaran kelestarian pada masa hadapan.

Selain itu, beliau turut membincangkan impak teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI), media sosial dan penstriman digital yang menggunakan tenaga tinggi melalui pusat data, sekali gus menyumbang kepada peningkatan jejak karbon global.

Seramai 150 orang pelajar hadir menyertai Program Library On Air @ KSJ Siri 1/2026

Sementara itu, Naufal Al-Harith Muhammad Fisol berkongsi pandangan daripada perspektif pelajar mengenai realiti kehidupan di kampus. Beliau menyatakan bahawa aktiviti harian seperti penggunaan elektrik, pendingin hawa dan perkhidmatan penghantaran makanan menyumbang kepada jejak karbon tanpa disedari. Beliau menegaskan bahawa walaupun kesedaran terhadap isu kelestarian semakin meningkat, perubahan tingkah laku masih perlu diperkukuh melalui tindakan praktikal. Antara langkah kecil yang boleh diamalkan termasuk penjimatan tenaga dan pengurangan pembaziran, yang boleh dilaksanakan tanpa membebankan pelajar.

Program ini turut menekankan kaitan langsung dengan SDG, khususnya SDG 13 berkaitan Tindakan Iklim, SDG 12 berkaitan Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab serta SDG 4 berkaitan Pendidikan Berkualiti, yang menekankan pendidikan dan kesedaran terhadap kelestarian dalam kalangan masyarakat universiti.

Pada akhir sesi program, pihak penganjur turut menyediakan makanan kepada 150 orang pelajar sebagai sebahagian daripada pengisian program dan sokongan kepada kehadiran peserta, sebelum diakhiri dengan sesi bergambar bersama ahli jawatankuasa program.

Sesi bergambar bersama ahli jawatankuasa, panel jemputan dan peserta Program Library On Air @ KSJ Siri 1/2026

Secara keseluruhannya, Library On Air @ KSJ Siri 1/2026 berjaya membuka ruang perbincangan antara perspektif akademik dan pelajar mengenai peranan individu dalam mengurangkan jejak karbon serta kepentingan mengamalkan gaya hidup lestari di kampus. Program ini turut mengukuhkan usaha universiti dalam menyokong agenda SDG dan aspirasi kampus hijau UTM Kuala Lumpur.

Explore More

UTM Open Day