📝 Ringkasan
Kursus Asas Fasilitator diadakan oleh Pusat Jaringan Komuniti dan Industri UTM (UTM CCIN) bagi mempersiapkan mahasiswa UTM dengan kemahiran insaniah sebelum mereka diterjunkan ke lapangan untuk menyantuni komuniti remaja. Program ini membabitkan latihan intensif dan aktiviti interaktif bagi menguji daya tahan mental, kreativiti serta kemahiran komunikasi. Kursus ini bertujuan melahirkan graduan yang holistik dengan keupayaan kepimpinan, komunikasi serta kesedaran sosial yang tinggi.
JOHOR BAHRU, 18 Apr – Definisi seorang fasilitator sering kali disalahertikan sekadar sebagai individu yang menguruskan perjalanan sesebuah program. Hakikatnya, mereka merupakan “arkitek sahsiah” yang memegang amanah besar dalam menyentuh hati, membina kepercayaan serta membentuk jati diri generasi muda. Menyedari peranan kritikal ini, Pusat Jaringan Komuniti dan Industri UTM (UTM CCIN) telah menganjurkan Kursus Asas Fasilitator di bawah payung Program Pemindahan Ilmu (KTP) Nexus: Memperkasa Pendidikan dan Sahsiah Remaja. Program ini berlangsung dengan jayanya di Dewan Sri Kencana, Kolej Datin Sri Endon (KDSE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), baru-baru ini.

Kursus ini dirangka khusus bagi mempersiapkan mahasiswa UTM dengan set kemahiran insaniah yang komprehensif sebelum mereka diterjunkan ke lapangan untuk menyantuni komuniti remaja. Inisiatif KTP Nexus ini bukan sekadar aktiviti bermusim, sebaliknya merupakan satu gerakan strategik universiti dalam memastikan ilmu yang dipelajari di menara gading dapat diterjemahkan kepada impak sosial yang nyata.

Program dimulakan dengan sesi taklimat awal yang menekankan kepentingan integriti, amanah dan tanggungjawab sebelum memulakan latihan intensif. Penekanan ini penting bagi memastikan setiap peserta memahami peranan sebenar sebagai fasilitator yang bukan sahaja membimbing, malah menjadi contoh kepada golongan sasaran.
Slot utama kursus kali ini menampilkan kelainan dengan kehadiran tokoh penceramah kenegaraan yang disegani dari Batu Pahat, Salwa Suradi. Kehadiran beliau membawa aura kepimpinan yang tersendiri apabila bukan sahaja berkongsi metodologi fasilitasi, malah berjaya menyuntik semangat dan keyakinan dalam diri setiap peserta.
Dalam sesi perkongsiannya, beliau menekankan bahawa seorang fasilitator yang hebat tidak hanya berbicara melalui kata-kata, tetapi berkomunikasi melalui “bahasa hati”. Beliau menyeru mahasiswa agar sentiasa memiliki empati yang tinggi dan kesabaran yang kental dalam menghadapi karenah remaja masa kini yang penuh dengan cabaran digital dan krisis identiti.
Dalam sesi perkongsiannya, beliau menegaskan bahawa fasilitator yang berkesan tidak hanya berkomunikasi melalui kata-kata, sebaliknya mampu menyentuh emosi melalui pendekatan yang berteraskan empati dan keikhlasan. Beliau turut menyeru mahasiswa agar sentiasa bersabar dan memahami cabaran remaja masa kini yang berdepan dengan tekanan digital serta krisis identiti.

Sepanjang program berlangsung, suasana di Dewan Sri Kencana kekal dinamik dengan pelbagai aktiviti interaktif. Peserta tidak hanya mendengar syarahan, malah terlibat secara aktif dalam Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang dirangka bagi menguji daya tahan mental, kreativiti serta kemahiran komunikasi. Aktiviti simulasi yang dilaksanakan mendorong peserta berfikir secara spontan dalam menyelesaikan konflik serta membina kerjasama pasukan yang mantap. Suasana yang ceria dengan sorakan dan gelak tawa jelas menunjukkan proses pembelajaran berlangsung dalam persekitaran yang positif dan kondusif.

Penganjuran kursus ini selari dengan hasrat universiti untuk melahirkan graduan yang holistik, seiring dengan aspirasi UTM Sanjungan Bangsa. Mahasiswa bukan sahaja perlu cemerlang dalam akademik, malah perlu mempunyai keupayaan kepimpinan, komunikasi serta kesedaran sosial yang tinggi. Dengan pendedahan kepada teknik fasilitasi yang berkesan, UTM CCIN optimis barisan fasilitator ini mampu menjadi ejen perubahan dalam pembangunan sahsiah remaja.

Menjelang akhir program, jelas terpancar keyakinan dalam kalangan peserta. Mereka kini tidak lagi melihat peranan fasilitator sebagai satu tugasan semata-mata, sebaliknya sebagai peluang untuk menyumbang kepada masyarakat melalui ilmu dan kemahiran. Kursus diakhiri dengan penyampaian sijil penyertaan sebagai simbol komitmen mereka dalam menggalas amanah sebagai fasilitator yang berintegriti. Dengan berakhirnya latihan asas ini, bermulalah langkah awal mahasiswa UTM untuk tampil sebagai pembimbing yang berupaya mencorakkan masa depan remaja ke arah yang lebih cemerlang.