Kem Bina Insan KTP Nexus Remaja Siri 3 cungkil bakat dan sahsiah pelajar

SDGSDG4SDG8SDG17

📝 Ringkasan

Puluh pelajar sekolah telah menyertai Kem Bina Insan dan Kecemerlangan Akademik di bawah Program Pemindahan Ilmu (KTP): Nexus Memperkasa Pendidikan dan Sahsiah Remaja Siri 3/2026 di Hutan Rekreasi Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Program dua hari satu malam ini bertujuan mengimbangi kecemerlangan akademik dengan pemantapan jati diri dalam kalangan remaja. Peserta telah terlibat dalam pelbagai aktiviti, termasuk Modul Akademik, Modul Psikologi, Modul Adab dan Ibadah, dan Modul Robotik, serta sesi refleksi dan ceramah keibubapaan. Program ini berjaya mencapai objektif pemindahan ilmu dan memberi impak bermakna kepada peserta dalam membentuk modal insan yang seimbang.

JOHOR BAHRU, 26 April – Berlatarkan suasana semula jadi yang menyegarkan di Hutan Rekreasi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), puluhan pelajar sekolah telah menyertai Kem Bina Insan dan Kecemerlangan Akademik di bawah Program Pemindahan Ilmu (KTP): Nexus Memperkasa Pendidikan dan Sahsiah Remaja Siri 3/2026. Program dua hari satu malam yang berlangsung dari 25 hingga 26 April 2026 ini bertujuan mengimbangi kecemerlangan akademik dengan pemantapan jati diri dalam kalangan remaja.

Peserta tiba di Hutan Rekreasi UTM dengan penuh semangat bagi memulakan kembara ilmu dan sahsiah selama dua hari satu malam

Program dimulakan pada pagi Sabtu dengan sesi pendaftaran dan taklimat oleh ketua program, diikuti majlis pembukaan rasmi. Suasana di Hutan Rekreasi UTM menjadi lebih meriah apabila peserta terlibat dalam sesi ice breaking yang dirancang untuk mengurangkan rasa kekok serta mengeratkan hubungan sesama peserta. Keunikan kem ini terletak pada integrasi modul yang holistik, merangkumi aspek akademik, psikologi dan kerohanian.

Para peserta berkumpul untuk mendengar taklimat pembukaan dan aturan program

Pada hari pertama, peserta didedahkan dengan Modul Akademik 1 dan Modul Psikologi 1 yang dilaksanakan dalam suasana santai tetapi berfokus. Selain pengisian intelektual, program ini turut menekankan pembentukan disiplin diri melalui Modul Adab dan Ibadah pada waktu malam, di samping pengisian kuliah Maghrib bagi memastikan keseimbangan rohani terus dipelihara.

Aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) menyaksikan para peserta berbincang dengan tekun bagi menyelesaikan tugasan yang diberikan

Memasuki hari kedua, peserta memulakan pagi dengan aktiviti qiamullail dan solat Subuh berjemaah sebelum meneruskan riadah pagi di sekitar kawasan hutan rekreasi. Salah satu pengisian utama dalam siri kali ini ialah Modul Robotik yang dilaksanakan pada sebelah pagi. Melalui modul ini, peserta berpeluang memasang dan mengendalikan kit robotik, sekali gus menyemai minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Peserta menunjukkan minat yang tinggi semasa memasang kit robotik di bawah bimbingan fasilitator dalam Modul Robotik

Sebelum program melabuhkan tirainya, satu slot Ceramah Keibubapaan turut diadakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai peranan sokongan keluarga dalam kejayaan pelajar. Sesi refleksi yang dijalankan selepas itu memperlihatkan kematangan peserta dalam merumuskan nilai yang dipelajari, termasuk kepentingan kerjasama, keberanian mencuba serta keteguhan sahsiah dalam menghadapi cabaran remaja.

Kumpulan yang menunjukkan prestasi terbaik merakamkan kenangan bersama hadiah sebagai tanda penghargaan atas usaha mereka

Program berakhir dalam suasana penuh kesyukuran apabila peserta bersurai untuk pulang ke sekolah masing-masing. Penganjuran kem siri ketiga ini bukan sahaja berjaya mencapai objektif pemindahan ilmu, malah memberi impak bermakna kepada peserta dalam usaha membentuk modal insan yang seimbang. Kejayaan ini sekali gus mencerminkan komitmen berterusan UTM dalam memperkasa komuniti melalui perkongsian kepakaran dan sumber universiti secara berkesan.

Explore More

UTM Open Day