Jelajah Jom Masuk Universiti 2026 Zon Selatan perkasa akses pendidikan tinggi

SDGSDG4SDG8

📝 Ringkasan

Karnival Jom Masuk Universiti 2026 Zon Selatan diadakan di Persada Johor International Convention Centre dari 18 hingga 19 April 2026. Karnival ini bertujuan menyediakan platform bagi pelajar membuat keputusan pengajian yang lebih tepat dan membantu mereka memahami pelbagai pilihan pendidikan tinggi. Penganjuran ini melibatkan penyertaan lebih 40 buah sekolah dan 88 reruai pameran, serta dijangka menarik lebih 35,000 pengunjung.

JOHOR BAHRU, 18 April – Siri jelajah Jom Masuk Universiti diteruskan bagi edisi Zon Selatan menerusi penganjuran Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 selama dua hari bermula 18 hingga 19 April 2026 di Persada Johor International Convention Centre dengan tema “DreamX: Inspiring Your Next Step” dipilih sebagai dorongan kepada pelajar dalam merancang laluan masa depan mereka.

Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini dilaksanakan di 10 zon utama seluruh negara dari Januari hingga April 2026 dan merupakan sebuah platform berskala besar yang menghimpunkan pelbagai institusi pendidikan tinggi, termasuk universiti awam dan swasta, politeknik, kolej komuniti serta institusi latihan kemahiran awam. Penganjurannya turut melibatkan penyertaan kira-kira 40 buah sekolah dan penyediaan sebanyak 88 reruai pameran, selain dijangka menarik lebih 35,000 pengunjung dari sekitar Johor, Melaka dan Negeri Sembilan bagi Zon Selatan.

Bagi Zon Selatan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bertindak sebagai penganjur utama, sekali gus mengukuhkan peranannya dalam pembangunan pendidikan tinggi negara, khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), penyelidikan dan inovasi.

Majlis perasmian Karnival Jom Masuk Universiti 2026 Zon Selatan ini disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Zainal Amin Ayub. Beliau menggalakkan pelajar agar berani menceburi bidang strategik seperti sains, teknologi, kejuruteraan dan pendidikan teknikal serta latihan vokasional, selain menekankan bahawa ilmu yang dituntut perlu dimanfaatkan untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

“Karnival ini merupakan ruang penting untuk pelajar menilai pilihan pendidikan secara lebih yakin dan berinformasi. Pemilihan laluan pendidikan bukan sekadar berdasarkan populariti sesuatu bidang, sebaliknya perlu mengambil kira kesesuaian dengan minat, bakat dan nilai diri. Peranan ibu bapa dan guru juga penting sebagai pembimbing yang memberi panduan secara seimbang,” kata Prof. Dr. Zainal Amin.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), Prof. Dr. Zainal Amin Ayub menyampaikan ucapan perasmian Karnival Jom Masuk Universiti 2026 Zon Selatan

Sementara itu, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, Naib Canselor UTM menegaskan bahawa para pelajar perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang yang tersedia untuk bertanya dan meneroka sebelum membuat keputusan berkaitan hala tuju pendidikan serta kerjaya masa hadapan.

“Institusi pendidikan tinggi perlu memainkan peranan penting dalam memastikan graduan yang dilahirkan bukan sahaja berilmu, tetapi juga adaptif, inovatif dan berdaya tahan. Penganjuran ini membuktikan bahawa kerjasama strategik antara pelbagai pihak mampu menghasilkan impak besar kepada masyarakat,” ujar Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry.

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim menyampaikan ucapan sempena Karnival Jom Masuk Universiti 2026 Zon Selatan
Gimik perasmian Karnival Jom Masuk Universiti 2026 Zon Selatan yang berlangsung di Persada Johor International Convention Centre

Karnival ini menyasarkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf, di samping ibu bapa serta masyarakat umum. Antara pengisian utama termasuk pameran pendidikan, kaunter konsultasi pengambilan pelajar serta sesi perkongsian kerjaya bagi membantu pelajar membuat keputusan pengajian yang lebih tepat.

Pendekatan interaktif turut diperkenalkan menerusi UTM Showcase: Campus Experience yang memberikan gambaran pengalaman kampus secara langsung kepada pengunjung. Selain itu, pelbagai aktiviti sampingan diadakan seperti cabutan bertuah, Star Booth Awards, Talk Show: Student Voices Live, Motivational Talk, Booth Spotlight Tour, podcast serta aktiviti Passport JMU yang menggalakkan penyertaan aktif pengunjung. Kehadiran 20 trak makanan turut menyemarakkan suasana karnival dengan konsep yang lebih santai dan mesra pengunjung.

Penganjuran JMU 2026 bertujuan menyediakan platform sehenti bagi maklumat pendidikan tinggi serta membantu pelajar membuat keputusan pengajian yang lebih tepat, selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) untuk memastikan akses pendidikan yang inklusif dan menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat.

Jelajah Jom Masuk Universiti 2026 seterusnya akan diteruskan di Sarawak dan Zon Tengah pada 25 hingga 26 April 2026, masing-masing melibatkan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai tuan rumah.

Tetamu kehormat mengadakan lawatan ke reruai pameran bagi meninjau penyertaan institusi pendidikan tinggi
Sebahagian hadirin yang hadir memeriahkan majlis perasmian Karnival Jom Masuk Universiti 2026 Zon Selatan

Explore More

UTM Open Day