📝 Ringkasan
Program Jelajah Ecosight 2026 diadakan di SMK Tun Sri Lanang, Tangkak untuk memperkasa pendidikan berteraskan kelestarian dan teknologi. Program ini melibatkan 29 pelajar Tingkatan 3 dan 11 guru pengiring. Fokus utama program ini adalah pembelajaran secara interaktif melalui bengkel demonstrasi penanaman hidroponik yang diintegrasikan dengan teknologi Internet of Things (IoT).
LEDANG, 28 April – Program Jelajah Ecosight 2026 Top Bidder di bawah inisiatif 1 Kolej 1 Daerah (1K1D) anjuran Kolej Dato’ Seri Endon (KDSE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dilaksanakan di SMK Tun Sri Lanang (STRILA), Tangkak sebagai usaha memperkasa pendidikan berteraskan kelestarian dan teknologi dalam kalangan pelajar sekolah menengah.
Program yang kini memasuki fasa pertama ini melibatkan penyertaan seramai 29 pelajar Tingkatan 3 bersama 11 guru pengiring. Pelaksanaan dimulakan dengan sesi ucapan alu-aluan serta pengenalan program yang memberi pendedahan awal mengenai kepentingan kelestarian dan peranan teknologi dalam menyokong pembangunan mampan.
Fasa pertama program memberi fokus kepada pendekatan pembelajaran secara interaktif melalui bengkel demonstrasi penanaman hidroponik yang diintegrasikan dengan teknologi Internet of Things (IoT). Melalui aktiviti ini, pelajar didedahkan kepada penggunaan lima sensor utama iaitu pH, paras air, kelembapan, Total Dissolved Solids (TDS) dan suhu air bagi memantau keadaan tanaman secara masa nyata.


Pendekatan secara amali ini membolehkan pelajar memahami aplikasi sebenar teknologi dalam sektor pertanian moden, di samping meningkatkan kesedaran terhadap amalan pertanian lestari. Pendedahan kepada penggunaan sensor serta analisis data turut membantu pelajar memahami kepentingan membuat keputusan berasaskan maklumat yang tepat dan sistematik.
Pelaksanaan program ini selari dengan usaha memperkukuh literasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta pendedahan kepada elemen Revolusi Industri 4.0 dalam kalangan pelajar. Selain itu, ia turut menyokong aspirasi UTM melalui kerangka UTM ASCEND 2030, khususnya dalam memperkasa bakat masa hadapan dan memacu inovasi berimpak tinggi.
Melalui penglibatan secara langsung dalam aktiviti berasaskan teknologi hijau, pelajar bukan sahaja memperoleh pengetahuan baharu, malah berupaya membina kemahiran berfikir secara kritis, kreatif dan berdaya saing. Hal ini secara tidak langsung menyumbang kepada pembentukan modal insan yang bersedia menghadapi cabaran global.
Di samping itu, Jelajah Ecosight 2026 turut memperkukuh peranan universiti dalam pemindahan ilmu kepada masyarakat, sejajar dengan teras penglibatan komuniti dalam UTM ASCEND 2030. Program ini turut diserikan dengan sesi menandatangani persetujuan jalinan kerjasama antara KDSE dan pihak sekolah bagi pelaksanaan program yang dijangka berlangsung dalam tiga fasa sepanjang tahun ini. Inisiatif ini menjadi platform penting dalam merapatkan hubungan antara universiti dan komuniti setempat melalui perkongsian kepakaran dan amalan terbaik.
Impak pelaksanaan program ini dijangka mampu melahirkan generasi muda yang lebih peka terhadap isu kelestarian alam sekitar serta berkeupayaan mengaplikasikan teknologi dalam kehidupan seharian. Pendedahan kepada sistem hidroponik pintar juga berpotensi menjadi pemangkin kepada amalan pertanian bandar dan gaya hidup lestari dalam komuniti.
Secara keseluruhannya, Jelajah Ecosight 2026 fasa pertama ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pembangunan pelajar dan komuniti, malah menyumbang secara signifikan kepada pencapaian aspirasi UTM ASCEND 2030 dalam melahirkan masyarakat berpengetahuan, berinovasi dan bertanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar.


