📝 Ringkasan
Sambutan Jam Bumi yang diadakan pada bulan April setiap tahun bertujuan menggalakkan orang ramai menutup lampu selama satu jam untuk menunjukkan potensi penjimatan tenaga negara. Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum ini merekodkan penurunan permintaan elektrik sebanyak kira-kira 550 megawatt (MW) semasa Jam Bumi 2019. Namun, Malaysia berpotensi menikmati manfaat tenaga yang jauh lebih besar melalui sumber domestik yang sering terlepas pandang, iaitu sisa makanan. Sisa makanan di Malaysia berpotensi menjana sekitar 25,000 hingga 30,000 MWh tenaga sehari, jauh melebihi penjimatan 550 MWh yang dicapai dalam tempoh satu jam semasa Jam Bumi.
Sambutan Jam Bumi (Earth Hour) yang diadakan pada bulan April setiap tahun bertujuan menggalakkan orang ramai menutup lampu selama satu jam bukan sekadar simbolik, malah memberi gambaran jelas tentang potensi penjimatan tenaga negara.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum ini merekodkan penurunan permintaan elektrik sebanyak kira-kira 550 megawatt (MW) semasa Jam Bumi 2019, bersamaan tenaga yang mampu menyalakan kira-kira 14 juta mentol 40 watt, atau membekalkan elektrik kepada kira-kira 20,000 hingga 27,500 isi rumah Malaysia selama sehari, berdasarkan purata penggunaan 20–25 kWh sehari bagi setiap rumah.
Walaupun impak ini signifikan dari sudut kesedaran, Malaysia sebenarnya berpotensi menikmati manfaat tenaga yang jauh lebih besar melalui sumber domestik yang sering terlepas pandang iaitu sisa makanan.
Malaysia menghasilkan kira-kira 38,000 hingga 40,000 tan sisa pepejal setiap hari, dengan hampir 44–45% daripadanya terdiri daripada sisa makanan. Ini bermakna lebih daripada 17,000 tan sisa makanan dihasilkan setiap hari, yang berpotensi besar untuk ditukar kepada tenaga melalui teknologi seperti biogas dan waste-to-energy (WTE).
Kajian oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang diketuai oleh Prof Ir Dr Haslenda Hashim dengan kerjasama TNB Research menunjukkan bahawa sisa makanan di Malaysia mempunyai potensi besar untuk penjanaan tenaga secara berterusan. Secara anggaran, jika dimanfaatkan secara optimum, sisa makanan ini boleh menjana sekitar 25,000 hingga 30,000 MWh tenaga sehari, iaitu sekitar 1,000 hingga 1,200 MWÂ jauh melebihi penjimatan 550 MWh yang dicapai dalam tempoh satu jam semasa Jam Bumi.
Universiti Teknologi Malaysia (UTM), melalui syarikat spin-offnya, Unique Edge Technology Sdn. Bhd. Juga telah melaksanakan audit tenaga di loji pertama penjanaan tenaga elektrik daripada sisa domestik milik Cypark Sdn. Bhd. Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan menilai kecekapan operasi loji, malah menyumbang kepada usaha global dalam menangani krisis tenaga dunia melalui penerokaan sumber tenaga alternatif yang mampan dan cekap.
Audit tenaga yang dijalankan merangkumi analisis penggunaan tenaga, kecekapan sistem pembakaran, serta prestasi keseluruhan loji dalam menukar sisa domestik kepada tenaga elektrik. Hasil dapatan audit ini dijangka dapat membantu mengoptimumkan operasi loji, mengurangkan kehilangan tenaga, serta meningkatkan output tenaga yang dihasilkan secara lebih efisien dan berdaya saing.
Kerjasama strategik antara UTM dan Cypark Sdn. Bhd. ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memacu inovasi teknologi hijau dan menyokong agenda kelestarian negara. Di samping itu, pendekatan penjanaan tenaga daripada sisa domestik berpotensi menjadi penyelesaian penting dalam mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, sekali gus menyumbang kepada usaha menangani krisis tenaga dunia serta memperkukuh peralihan ke arah ekonomi rendah karbon.
Sumber tenaga daripada sisa ini merupakan aset domestik yang tidak bergantung kepada import bahan api. Dalam konteks geopolitik semasa, termasuk ketegangan di Timur Tengah yang berpotensi menjejaskan kestabilan bekalan minyak global melalui Selat Hormuz, laluan kritikal bagi hampir 20% perdagangan minyak dunia, kebergantungan kepada bahan api fosil import menjadi satu risiko besar kepada negara. Oleh itu, transformasi sisa sebagai sumber tenaga mampu mengurangkan kebergantungan kepada import, meningkatkan keselamatan tenaga negara, serta mengurangkan pendedahan terhadap ketidaktentuan harga tenaga global.
Selain itu, penggunaan sisa untuk penjanaan tenaga turut memberi manfaat besar kepada alam sekitar. Tapak pelupusan sisa merupakan antara penyumbang utama gas metana (CHâ‚„), yang mempunyai potensi pemanasan global kira-kira 28 kali lebih tinggi berbanding karbon dioksida (COâ‚‚) dalam tempoh 100 tahun. Dengan menukar sisa kepada tenaga, pelepasan metana dari tapak pelupusan dapat dikurangkan dengan ketara, sekali gus mengurangkan jejak karbon sektor sisa pepejal dan menyokong usaha mitigasi perubahan iklim sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk mencapai status sifar bersih karbon (net zero) menjelang 2050.
Kesimpulannya, inisiatif seperti Jam Bumi memberi impak kesedaran yang penting, namun transformasi sebenar terletak pada keupayaan Malaysia mengurus dan memanfaatkan sumber sedia ada secara optimum. Daripada sekadar memadam lampu selama satu jam, negara berpotensi menjana tenaga secara berterusan setiap hari melalui penukaran sisa makanan kepada tenaga—satu penyelesaian yang bukan sahaja lestari, malah strategik dalam menghadapi cabaran tenaga dan geopolitik global.
Prof Ir Dr Haslenda Hashim adalah merupakan Pakar Tenaga Lestari di Universiti Teknologi Malaysia